Etimologi Orang_utan

Perkataan Orang Utan berasal dari bahasa Melayu. Perkataan "orang utan" diserapkan ke dalam Bahasa Inggeris sebagai orang utan (kadangkala dieja orangutang).

Kali pertama orang Barat mengakui penggunaan nama orang utan bagi mawas Asia ini ialah tabib Belanda Jacobus Bontius pada 1631 menerusi karangan Historiae naturalis et medicae Indiae orientalis (Sejarah alam dan perubatan Hindia Timur) yang menyatakan bahawa beliau diberitahu oleh orang Melayu bahawa mawas ini mampu bercakap tetapi berat mulut "melainkan dipaksa".[4] Nama "orang utan" muncul dalam beberapa deskripsi zoologi Nusantara dalam bahasa Jerman pada abad ke-17. Barangkali perkataan "orang utan" didatangkan kepada ilmuwan Barat daripada loghat Banjar.[5]

Cribb et al. (2014) berhujah bahawa catatan Bontius tidak memaksudkan mawas tetapi manusia yang mengalami suatu penyakit tenat (barangkalinya kretinisme) malah penggunaan kata "orang utan" itu disalah erti oleh Nicolaes Tulp, orang pertama yang menyiarkannya dalam bahan bacaan.[6]

Perkataan "orang utan" mula-mula disebut dalam bahasa Inggeris pada tahun 1691 dieja orang-outang, malah ejaan yang berakhir dengan -ng daripada -n terdapat dalam banyak bahasa. Ejaan ini masih digunakan dalam bahasa Inggeris hingga kini tetapi kini dikira salah.[7][8][9] Kehilangan "h" dari "utan" dan perubahan dari -n ke -ng menandakan bahawa perkataan ini masuk bahasa Inggeris daripada bahasa Portugis.[5] Pada 1869, ahli alamiah British Alfred Russel Wallace, salah seorang pencetus teori evolusi moden, menerbitkan catatan beliau mengenai hidupan liar Malaysia: The Malay Archipelago: The Land of the Orang-Utan and the Bird of Paradise (Kepulauan Melayu: Bumi Orang Utan dan Burung Cenderawasih).[4]

Nama genus Pongo datang daripada catatan abad ke-16 oleh Andrew Battel, seorang kelasi Inggeris yang ditahan oleh Portugis di Angola yang menghuraikan dua ekor "raksasa" seakan manusia yang bernama Pongo dan Engeco. Kini dipercayai bahawa yang dihuraikan beliau itu ialah gorila, tetapi pada abad ke-18, istilah orang utan dan pongo digunakan bagi semua mawas besar. Lacépède menggunakan istilah Pongo bagi genus orang hutan selepas ahli botani Jerman Friedrich von Wurmb menghantar rangka dari Nusantara ke Eropah.[10]

Rujukan

WikiPedia: Orang_utan http://arts.anu.edu.au/grovco/Gorilla%20Biology.pd... http://www.environment.gov.au/tax/reo/index.html http://www.yorku.ca/arusson/Papers/GoI%20OU%20acti... http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2012/03... http://www.alphadictionary.com/goodword/word/orang... http://www.antaranews.com/en/news/75425/stop-orang... http://www.bbc.com/news/science-environment-418488... http://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960... http://edition.cnn.com/2014/12/23/world/americas/f... http://www.eco-business.com/features/new-deal-for-...