Kecerdasan Orang_utan

Orang utan antara primat yang cerdas sekali. Banyak eksperimen menunjukkan bahawa ia dapat menyelesaikan masalah kehilangan barang nyata (internal displacement) dengan strategi berepresentasi.[66] Selain itu, Zoo Atlanta mempunyai komputer skrin sentuh yang digunakan oleh dua ekor orang utan Sumatera dalam simpanannya untuk bermain. Saintis berharap agar data yang dikumpul akan membantu penyelidik untuk mengetahui corak-corak pergaulan seperti sama ada mawas itu mempelajari kelakuan secara kaedah cuba-cuba ataupun meniru dan oleh itu menjurus kepada strategi pemuliharaan yang baharu.[67]

Kajian 2008 ke atas dua ekor orang utan di Zoo Lepizig menunjukkan bahawa orang utan boleh menggunakan "kesalingan berkira" (calculated reciprocity) yang melibatkan penimbangan untung rugi bertukar buah tangan dan mengikuti hal ini sepanjang masa. Orang utan adalah spesies bukan manusia pertama yang dicatatkan berbuat demikian.[68] Orang utan mahir sekali membina sarang. Ia membina sarang setiap malam dalam hanya lima ke enam minit serta memilih dahan-dahan yang diketahui boleh menanggung berat badan dirinya.[69]

Penggunaan alat

Orang utan tawanan boleh menggunakan objek buatan manusia dengan cara-cara kreatif yang tersendiri.

Penggunaan alat oleh orang utan diperhatikan oleh ahli primatologi Birutė Galdikas dalam populasi bekas tawanan.[70] Selain itu, dilaporkannya pembuatan dan penggunaan alat-alat canggih daripada populasi orang utan di Suaq Balimbing (Pongo abelii) pada 1996.[71] Orang-orang utan ini membangunkan set peralatan untuk kegunaan mencari makanan yang terdiri daripada alat-alat mengeluarkan serangga untuk digunakan di liang pokok, serta alat mengeluarkan benih daripada buah-buahan berkulit keras. Orang utan menyelaraskan alat-alatnya mengikut sifat kerja yang sedang dilakukan, dan keutamaan diberikan kepada penggunaan alat-alat pegangan mulut.[72] Keutamaan ini juga didapati dalam kajian eksperimen terhadap orang utan (P. pygmaeus) dalam tawanan.[73]

Ahli primatologi Carel P. van Schaik dan ahli antropologi biologi Cheryl D. Knott melanjutkan kajian terhadap penggunaan alat oleh populasi orang utan liar dengan membandingkan variasi penggunaan alatan antara setempat berkenaan pengolahan buah apa-apa (Neesia). Orang-orang utan Suaq Balimbing (P. abelii) didapati mahir menggunakan alat mengeluarkan serangga dan benih berbanding orang utan liar.[74][75] Para saintis berhujah bahawa perbezaan ini adalah dari segi budaya, di mana orang utan di Suaq Balimbing hidup dalam kelompok berbanyak dan oleh itu lebih toleran bergaul; ini menyebabkan keadaan baik untuk penyaluran sosial.[74] Bukti lanjut bahawa orang utan yang lebih bergaul lebih mungkin menunjukkan kelakuan berbudaya datang daripada kajian terhadap kelakuan membawa daun orang utan bekas tawanan yang dipulihkan di pulau Kaja di Borneo.[76]

Orang utan liar (P. pygmaeus wurmbii) di Tuanan, Borneo, dilaporkan menggunakan alat untuk komunikasi berbunyi.[77] Ia menggunakan daun-daun untuk melantangkan lagi teriakan "kucupan memekik". Mawas ini boleh menggunakan kaedah penguatan ini untuk memperdaya pendengar untuk menyangka bahawa orang utan ialah haiwan yang lebih besar.[77]

Pada 2003, para pengkaji dari enam buah tapak kajian lapangan orang utan berasingan yang menggunakan skema pengekodan kelakuan yang sama membandingkan kelakuan orang utan dari setiap tapak.[78] Mereka mendapati bahawa setiap populasi orang utan masing-masing berkelakuan berbeza. Bukti menunjukkan bahawa perbezaannya adalah dari segi budaya; pertama, makin jauh jarak maka makin jauh bezanya, menunjukkan berlakunya difusi budaya, dan kedua, makin banyak bergaul maka makin banyaklah repertoir budaya orang utan. Kesimpulannya, pergaulan memudahkan penyebaran budaya.[78]

Kemungkinan keupayaan berbahasa

Kajian terhadap keupayaan orang utan menggunakan lambang dan isyarat dijalankan dari 1973 hingga 1975 oleh ahli zoologi Gary L. Shapiro dengan Aazk, seekor orang utan betina muda di Fresno City Zoo (kini Chaffee Zoo) di Fresno, California. Digunakannya teknik-teknik oleh ahli psikologi David Premack, yang menggunakan token plastik untuk mengajarkan kemahiran berbahasa kepada Sarah si cimpanzi.[79] Shapiro terus mengkaji keupayaan berbahasa dan belajar oleh orang utan bekas tawanan di Taman Negara Tanjung Puting di Kalimantan dari 1978 hingga 1980.[80]

Pada ketika itu, Shapiro mengajar orang utan bekas tawanan untuk mempelajari dan menggunakan isyarat dengan mengikut teknik-teknik ahli psikologi R. Allen Gardner dan Beatrix Gardner, yang mengajar Washoe si cimpanzi pada akhir 1960-an. Dalam satu-satunya kajian perisyaratan yang pernah dijalankan di dalam persekitaran semula jadi mawas besar, Shapiro membela seekor orang utan betina muda bernama Princess yang mempelajari hampir 40 isyarat (mengikut kriteria pembelajaran isyarat oleh ahli psikologi Francine Patterson bersama Koko si gorila), serta melatih Rinnie, seekor orang utan betina dewasa yang lepas bebas, yang mempelajari hampir 30 isyarat dalam tempoh dua tahun.[80] Untuk kajian disertasi, Shapiro mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran isyarat oleh empat ekor orang utan muda dalam tempoh 15 bulan.[81]

Rujukan

WikiPedia: Orang_utan http://arts.anu.edu.au/grovco/Gorilla%20Biology.pd... http://www.environment.gov.au/tax/reo/index.html http://www.yorku.ca/arusson/Papers/GoI%20OU%20acti... http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2012/03... http://www.alphadictionary.com/goodword/word/orang... http://www.antaranews.com/en/news/75425/stop-orang... http://www.bbc.com/news/science-environment-418488... http://www.cell.com/current-biology/fulltext/S0960... http://edition.cnn.com/2014/12/23/world/americas/f... http://www.eco-business.com/features/new-deal-for-...