Ciri-ciri Parlimen

Perjumpaan Parlimen biasanya diketuai oleh seorang "Speaker" atau Yang di-Pertuan. Di sesetengah negara, antaranya United Kingdom, prinsip ketuanan Parlimen ("Parliamentary supremacy") dipraktikkan. Di negara-negara ini, mahkamah tidak boleh menyatakan bahawa sesuatu undang-undang yang dibuat oleh parlimen adalah "ultra vires" — iaitu melebihi had kuasa parlimen. Kebanyakan negara dengan parlimen juga ada kekebalan parlimen untuk anggota-anggota mereka. Ini memastikan seseorang ahli parlimen tidak boleh didakwa untuk sesuatu pernyataan yang dibuat dalam dewan parlimen.

Biasanya, perundangan dicadang di dewan bawah parlimen, yang mempunyai lebih ramai ahli — di negara-negara tertentu, dewan bawah mungkin mempunyai beratus-ratus anggota. Walaupun perundangan biasanya perlu diluluskan oleh kedua-dua dewan parlimen, dalam sistem Westminster dewan tinggi biasanya tidak boleh menolak perundangan yang berkait dengan hal-hal kewangan. Selepas sesuatu undang telah dilulus oleh parlimen, ia perlu ditandatangani oleh Raja atau ketua negara.

Biasanya dalam negara dengan parlimen, ketua negara dan ketua kerajaan bukan orang yang sama. Dalam sistem Westminster yang mempraktikkan Raja berperlembagaan ("constitutional monarchy"), ketua negara hanya bermain peranan simbolik, dengan kuasa sebenar dalam tangan ketua kerajaan. Walaupun perlembagaan negara-negara tertentu seperti Malaysia menyatakan ketua negara bertindak hanya dengan nasihat ketua kerajaan, sebenarnya "nasihat" ini hampir selalu diikuti.

Ketua kerajaan di negara dengan parlimen biasanya dipanggil Perdana Menteri (PM). Seorang Perdana Menteri mesti mempunyai "keyakinan" majoriti ahli-ahli dewan bawah parlimen untuk memimpin kerajaan. Jika sesuatu undi tiada keyakinan (no-confidence vote) diluluskan oleh dewan bawah, Perdana Menteri mesti letak jawatan. Biasanya, Perdana Menteri dilantik oleh ketua kerajaan, tetapi calon yang dipilih hampir selalu pemimpin parti politik yang menang pilihan raya terakhir. Di sesetengah negara, Perdana Menteri boleh dilantik daripada ahli dewan tinggi, tetapi ini amat jarang dilakukan.