Kerjaya Patrick_Teoh

Rediffusion

Pada tahun 1966, Teoh menyertai Rediffusion sebagai seorang "Juruhebah Rancangan Bahasa Inggeris gred 3" yang memperoleh gaji M$150 sebulan. Bagi tiga bulan pertama, beliau tidak dibenarkan memasuki studio. Sebaliknya, beliau menulis skrip dan memilih lagu untuk Lunch Time Melodies, semata-mata untuk ditolak dan digesa buat semula oleh penyelia beliau. Selepas tiga bulan itu, beliau dibenarkan untuk bertugas di studio ketika waktu puncak, yang mana tugas utama beliau adalah untuk menekan butang untuk memainkan rancangan yang dirakam terlebih dahulu. Selepas enam bulan, beliau dibernarkan berhebah menurut skrip yang diluluskan terlebih dahulu. Dalam masa 2 tahun, Teoh dinaikkan pangkat kepada Pembantu Pengurus Rancangan dan setahun selepas itu, belaiu menyandang jawatan Pengurus Rancangan untuk Rediffusion. Kenangan terpenting dalam kerjaya beliau dalam Jabatan Rancangan Bahasa Inggeris Rediffusion adalah apabila Teoh diberitahu oleh Penyelia Jabatan ketika itu bahawa beliau tidak akan banyak menyumbang kepada industri kerana kecacatan fizikalnya (Teoh mengidap polio pada usia 7 tahun). Namun begitu, Teoh menggantikan penyelia itu sebagai Penyelia Rancangan Bahasa Inggeris.

Beberapa tahun kemudian, Patrick diberi jawatan Pengurus Bahagian 'Perkhidmatan Bunyi dan Filem', iaitu satu bahagian yang didirikan oleh Redifussion untuk menceburi industri pengiklanan yang kian lumayan. Atas permintaan untuk bakat suara Teoh dari seluruh pelosok negara, prestasi bahagian itu amat memuaskan lalu berjaya mengaut untung selepas sembilan bulan.

Pengarah pengurusan ketika itu memberitahu Teoh bahawa menurut syarat dalam kontrak pekerjaannya beliau hanya berhak menerima gaji dan mana-mana pendapatan lain yang dikutip daripada bakat profesional beliau (termasuklah bakat suara) merupakan hakmilik sah syarikat. Namun, oleh sebab Teoh merupakan seorang pekerja contoh, pengarah pengurusan tersebut membuat pengecualian lalu membenarkan beliau untuk menyimpan separuh daripada yuran suara latar beliau. Teoh yang ketika itu serang mengutip sehingga enam kali gajinya dalam yuran suara latar tidak setuju dengan syarat barunya lalu meninggalkan Rediffusion.

Suara Malaysia

Pada tahun-tahun terakhir Teoh bersama Rediffusion, Malaysia sedang mengalami pemesatan dalam industri pengiklanan. Ekonomi tempatan kian mantap, dan kerajaan pula memperkenalkan peraturan 'Buatan Malaysia', iaitu sekurang-kurangnya 65% daripada unsur-unsur dalam iklan yang disiarkan melalui media elektronik mestilah berbangsa Malaysia atau buatan Malaysian. Maka Teoh sering kali diminta untuk kerja suara latar, sampaikan pada satu detik dalam kerjaya beliau, sehingga 99% iklan berbahasa Inggeris yang tersiar dalam media elektronik disuarakan beliau sendiri. Maka inilah bagaimana beliau bergelar "Voice of Malaysia".

Mobile Disco

Teoh juga dihargai sebagai pelopor mobile disco di Malaysia. Pada pertengahan 1970-an, terletusnya era disko di negara. Pada masa itu, Patrick kerap diambil untuk bekerja sebagai DJ untuk parti persendirian dan majlis seumpamanya. Ketika satu majlis tahunan bagi industri pengiklanan, beliau dibawa masuk sebagai 'sokongan' untuk kugiran yang membuat persembahan. Hadirin memberi reaksi positif kepada irama disko yang diputarkan beliau, lalu beliau diminta untuk membuat persembahan untuk saki-baki malam itu. Setelah majlis itu tamat, beliau dijemput untuk membuat persembahan di majlis untuk memutarkan banyak lagi lagu disko. Setelah melihat kelarisan 'mobile disco', Teoh membuka sebuah syarikat bernama "The Music Machine" khususnya untuk tujuan itu.

Pemberita

Pada Jun 1984, TV3 memulakan penyiaran di Lembah Klang. Patrick, bersama-sama Mahadzir Lokman, Wan Zaleha Radzi, Robert Lam, dand Caryn Lim diambil untuk menjadi pemberita untuk stesen ini. Pada hari terakhir Lim bertugas, Teoh merupakan pemberita bersama. Teoh menyatakan bahawa Caryn bakal meninggalkan studio, lalu berdiri dan mencium pipi rakan setugasny.. Oleh itu tercetusnya kontroversi apabila media cetak (yang peliknya, kebanyakannya akhbar berbahasa Cina) membuat kecoh mengenai ciuman tersebut.

Setelah dua tahun bekerja di TV3, Teoh mendapati jadual penyampaian beritanya dikurangkan. Apabila ditanya oelh beliau mengenai pengurangan itu, editor beliau memaklumkan beliau bahawa mulai bulan yang kemudian, pihaknya tidak lagi memerlukan perkhidmatan Teoh. Sehingga hari ini, Teoh sendiri langusng tidak tahu sebab yang munasabah mengenai pemberhentian itu.[1]

Radio 4

Pada tahun 1994, stesen radio 24 jam yang baru Time Highway Radio membuktikan dirinya sebagai pesaing hebat kepada stesen radio RTM. Maka RTM memutuskan untuk menjenamakan semula Radio 4, dan mengambil DJ baru seperti Teoh dan Yasmin Yusoff. Slot rancangan temu bual Teoh ketika itu berkumandang dari 9 pagi hingga 12 tengahari setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Apabila Radio 4 mula disiarkan selama 24 ham, Teoh turut mengcarakan satu rancangan pada slot 12 tengah malam hingg atill 3 pagi berjudul Midnight Magic. Dalam Midnight Magic, Teoh menjemput para pendengar untuk memanggil stesen dan menceritakan cerita hantu dalam satu langkah yang nyata popular di kalangan pendengar.

Slot radio Teoh kian hari kian popular, dan selepas seketika beliau merasa bahawa rancangan beliau mesti mengorak selangkah lagi agar menjadi lebih baik. Namun, beliau ketiadaan sumber untuk meningkatkan mutu rancangan beliau. Pada tahun 1997, Patrick meninggalkan Radio 4, dan sehingga hari ini beliau tidak lagi kembali berhebah di corong radio.

Pentas dan TV

Pada akhir 1980-an, Joe Hasham dan Faridah Merican mendirikan The Actors Studio. Salah satu projek terulung mereka ialah kursus lakonan yang mana mereka menjemput Teoh untuk menyertainya. Selepas menjalankan kursus, The Actors Studio mementaskan "A Man For All Seasons" di mana Patrick diberi peranan sampingan sebagai Kardinal Wolsey. Inilah kemunculan pertama teoh di pentas Malaysia. Kini Teoh seorang pelakon sepenuh masa dan seorang ahli Instant Café Theatre Company yang aktif.

Sehingga kini, teoh pernah berlakon dalam pelbagai pementasan, termasuk:

  • Tidak bertarikh: A Man For All Seasons (Cardinal Wolsey)
  • Tidak bertarikh: Savages (General Garcia)
  • Tidak bertarikh: Antigone (Creon)
  • 1991: Twelfth Night (kapten laut)
  • 1992: MacBeth (King Duncan/The Porter)
  • 1993: Philadelphia, Here I Come (si bapa)
  • 1993: Death And The Maiden (Dr. Rivaldo)
  • 1999: Accidental Death Of An Anarchist (Superintenden)
  • 1999: Gross Indecency, The Trials of Oscar Wilde (Queensbury)
  • 2000: Executive Spa (pelbagai watak)
  • 2000: The Merchant Of Venice (Shylock)
  • 2001: Goldfish Tale (Ah Kong)
  • 2002: Wish I Was There (Old Man)
  • 2005: Hamlet in Malay (Polonius)
  • 2006: Julius Caesar (Cassius)
  • 2006: The Homecoming (Sam)
  • 2006: Frankenstein In Love (Jeneral Garcia Perez)
  • Tidak bertarikh: Me, The Mortal (pelbagai watak)
  • Tidak bertarikh: STAGE (Janitor)
  • Tidak bertarikh: Life Sdn. Bhd. Parts I, II, III

Teoh juga pernah muncul dalam beberapa rancangan televisyen:

  • 2004: Show Me The Money, sitkom berbahasa Inggeris di ntv7 (Peranan sampingan)
  • 2005: Daddy’s Girls, sitkom berbahasa Inggeris di Mediacorp Singapura (Peranan utama)
  • 2006-2007: Jazz Café, rancangan muzik/temu bual di RTM2 (Hos)
  • 2007: My Starz, rancangan realiti di TV3 (Juri)

Projek lain

  • Pada tahun 1970-an, Teoh mengacara rancangan radio RTM berjudul "Kee Huat's Fantastic Facts and Fancies" [2][3]. Format rancangan ini serupa kepada Ripley's Believe It Or Not. "Kee Huat's Fantastic Facts and Fancies" merupakan rancangan radio bertaja tanpa henti yang terpanjang dalam sejarah Malaysia, setelah 26 tahun berkumandang.
  • Pada tahun 1984, Teoh mendirikan studio pascapenerbitan Addaudio sebagai pesaing kepada Rediffusion secara tidak langsung. Syarikat ini masih beroperasi masa ini.
  • Teoh menyandang jawatan Pengarah Dialog dan Suara untuk usaha sulung Walt Disney Pictures untuk mengalih suara sebuah filem cetera animasi besar ke Bahasa Malaysia. Filem tersebut ialah filem animasi utama Disney pada tahun 1999 yang berjudul Tarzan.