Pekan_Cina
Pekan_Cina

Pekan_Cina

Pekan Cina (Cina: 唐人街, Bahasa Inggeris: Chinatown) ialah satu bahagian kawasan bandar di mana tinggalnya ramai orang Cina di luar negara majoriti etnik Cina di China Raya. Pekan Cina terdapat di seluruh dunia, termasuk Asia Timur, Asia Tenggara, Amerika Utara, Australia dan Eropah. Dahulunya, Pekan Cina yang penuh sesak di kawasan bandar biasanya dielak oleh orang awam bukan Cina yang memandangnya sebagai kawasan setinggan etnik serta pusat-pusat maksiat dan kepulauan kebudayaan di mana berkumpulnya "orang-orang asing yang tidak boleh berasimilasi". Kini, banyak Pekan Cina lama dan baru dianggap sebagai pusat-pusat komersial dan pelancongan yang penting. Ada juga yang berfungsi sebagai pusat-pusat kepelbagaian budaya, itupun secara bersifat luaran.Kebanyakan Pekan Cina tertumpu pada pelancongan komersial, sementara yang lain merupakan komuniti penempatan dan pekerjaan sebenar; ada juga yang kedua-duanya sekali. Pekan Cina juga terdapat dalam pelbagai bentuk dari kawasan setinggan hingga tapak-tapak moden daripada pembangunan terkini. Dalam sesetengah Pekan Cina, pelaburan terbaru telah menghidupkan semula kawasan-kawasan yang terbiar dan terjejas, menjadi pusat-pusat kegiatan ekonomi dan sosial. Adakalanya, ini membawa kepada pemulihan dan pengurangan sifat kecinaan kawasan-kawasan ini.Sesetengah Pekan Cina panjang sejarahnya, seperti yang terletak di bandaraya Nagasaki, Jepun, atau Jalan Yaowarat di Bangkok, kedua-duanya diasaskan oleh pedagang Cina lebih 200 tahun dahulu. Pekan Cina, San Francisco, California merupakan Pekan Cina pertama yang didirikan di luar Asia, ketika Serbuan Emas California yang bermula pada tahun 1848. Bandaraya-bandaraya lain di Amerika Utara di mana didirikan Pekan Cina ditubuhkan pada pertengahan abad ke-19 merangkumi hampir semua penempatan utama sepanjang Pantai Barat dari San Diego hingga Vancouver. Menjelang separuh kedua abad ke-19, wujudnya juga Pekan Cina yang sibuk di New York dan Chicago. Penemuan emas di Australia mencetuskan pendirian Pekan-pekan Cina yang agak kecil di bandaraya-bandaraya di situ, dan penghijrahan orang Cina ke New Zealand dan Afrika Selatan menghasilkan penempatan kecil yang juga bergelar "Chinatown" di sana. Pekan-pekan Cina di Eropah, seperti yang terdapat di Jerman, Belanda dan United Kingdom, kebanyakannya lebih kecil dan lebih baru berbanding Pekan-pekan Cina di Amerika Utara. Di Itali, gerakan haluan kanan telah cuba mengehadkan pertumbuhan "Pekan Cina" di beberapa bandaraya. Pekan-pekan Cina lain yang lebih baru, seperti di Las Vegas, Dubai, dan Santo Domingo turut meraih pengiktirafan rasmi.