Kerjaya Pekin_Ibrahim

2004–2009: Permulaan kerjaya

Semasa tahun terawal penglibatannya dalam bidang lakonan, Pekin memulakan kerjayanya dalam industri filem hanya sebagai pelakon pembantu. Beliau menjayakan peranan dalam filem pertamanya Di Ambang Misteri diarahkan oleh Silver Chung pada tahun 2004. Beliau kemudian berlakon dalam filem Cinta Terakhir arahan Along Kamaludin juga sebagai watak pembantu; Pekin kemudiannya membintangi telefilem Ombak Laut China Selatan arahan Rashid Sibir yang dibintangi oleh Eman Manan. Pada tahun 2009, beliau menerima tawaran untuk menjayakan watak penting sebagai pelakon seram dalam filem seram Skrip 7707 arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen.

2010–2014: Kejayaan awal

Ketika menjayakan watak Bakar dalam Bunohan

Kerjaya Pekin mula meningkat selepas beliau ditawarkan untuk memegang peranan sebagai Musalman dalam filem seram komedi pecah panggung Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) arahan Mamat Khalid. Pada tahun 2012, beliau menjayakan peranan utama sebagai Bakar dalam Bunohan arahan Dain Said. Dalam filem ini, Pekin terpaksa bercakap dalam loghat Kelantan kerana ia bukanlah masalah besar baginya kerana beliau berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang. Pada Jun tahun sama, beliau melancarkan buku biografi pertama yang mula ditulis pada 2009, Memoir Bukan Memoir terbitan Merpati Jingga yang berkisarkan tentang pengalamannya sebagai artis.[11] Bagaimanapun, tidak lama selepas buku ini dikeluarkan, buku tersebut dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu serbuan pada 12 Jun kerana dikatakan menyebarkan kandungan yang merosakkan akidah umat Islam.[12] Pekin yang pada mulanya terkejut dengan rampasan bukunya berkata,[12] salah faham yang timbul itu bagaimanapun sudah diselesaikan dan kandungan bukunya tidak mempunyai sebarang masalah kerana ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum diterbitkan.[12][13]

Pekin kemudiannya terlibat dalam pementasan teater Tattoo Gestapo yang merupakan bentuk teater yang diimpikan selama ini.[14] Pekin memegang watak sebagai Mustafa, yang mengalami konflik bersama rakan sekerja dan akhirnya konflik itu berakhir dengan hukuman mati.[14] Pementasan kedua yang dilakonkan di bawah produksi Rumah Anak Teater selepas Ju&Meo yang berdasarkan adaptasi naskah karya William Shakespeare, Romeo dan Juliet dipentaskan pada 2011,[14] yang diarahkan dan dilakonkan bersama Mislina Mustaffa.[14] Di dalam Tattoo Gestapo, Pekin digandingkan dengan Benjy yang membuat kemunculan semula selepas ditahan selama dua tahun kerana terlibat dalam kes dadah.[14]

Pada tahun 2013, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh Mamat untuk membawakan peranan sebagai pelakon utama dalam filem komedi muzikal, Rock Oo!: Rimba Bara Kembali yang merupakan kesinambungan filem pertama, Pekin membawakan kembali watak Slash @ Wan Sulaiman. Beliau mengikat kontrak tiga filem bersama Metrowealth Pictures dan seterusnya muncul dengan filem pertama lakonnannya bersama syarikat itu, Cerita Kita arahan Pierre Andre lakonan bersama Yana Samsudin dan Fezrul Khan,[15] filem keduanya bersama Metrowealth ialah Paku Pontianak arahan Ismail "Bob" Hasim, lakonan bersama Uqasha Senrose yang melakonkan watak utama sebagai Melati,[16] diikuti oleh filem terakhirnya bersama Metrowealth, Lagenda Budak Hostel. Nama beliau terus meningkat dalam industri perfileman Malaysia apabila beliau melakonkan peranan dalam sebuah filem fiksyen sains Apokalips X yang juga arahan Mamat. Beliau kemudian membawakan peranan yang besar dalam filem Ophilia (2014) yang diarahkan oleh Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaluddin sebagai salah satu daripada ahli-ahli dalam kumpulan skinhead.[17]

2015–kini: Kerjaya pengarahan dan kejayaan arus perdana

Pada 15 Januari 2015, beliau melakonkan peranan utama sebagai Asyraf, seorang kontraktor binaan dalam filem dokumentari seram arahan Syafiq Yusof, Villa Nabila yang diinspirasikan oleh kisah benar tragedi banglo Villa Nabila di Johor pada November 2013.[18][19][20][21] Mencari kelainan daripada biasa, Pekin menggalas watak yang tidak pernah dilakonkannya sebelum ini iaitu menjadi perempuan, menerusi filem Coverina arahan Khalid Nazri (adik kepada Ahmad Idham). Pekin membawa watak Kamelia, gadis yang bersopan santun, tetapi sebenarnya gadis itu adalah lelaki yang bernama Kamal Ali.[22][23][24][25]

Pekin seterusnya ditawarkan oleh Syamsul Yusof untuk menjayakan peranan dalam Munafik sebagai Fazli. Filem ini ditayangkan pada 26 Februari 2016 dan merupakan satu kejayaan komersial, berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM 17.04 juta dalam masa 2 bulan.[26] Pekin telah mengambil langkah besar dalam portfolio kerjayanya apabila beliau mula menduduki kerusi pengarah menerusi arahan sulungnya Mat Moto yang memulakan tayangan perdana pada 14 Januari 2016.[27] Pada 22 September, beliau muncul dalam filem Volkswagen Kuning yang berdasarkan dari kisah benar.[28][29] 2016 merupakan tahun cemerlang untuk Pekin apabila filemnya berjaya membawa pulang tiga anugerah di Festival Filem Malaysia ke-28 termasuk Cerita Asal Terbaik, Pelakon Baru Terbaik untuk Falisha Crossley, dan Pelakon Lelaki Terbaik melalui Pekin sendiri.[30] Selepas kemenangannya di Festival Filem Malaysia 2016, beliau berkata:

"Mat Moto amat bermakna bagi saya kerana ia dekat di hati saya dan ia merupakan arahan pertama saya. Saya tidak menyangka bahawa watak saya boleh menang walaupun ia sukar untuk menjayakannya, tetapi ia tidak begitu berat. Dari segi emosi, saya fikir terdapat watak-watak lain yang lebih berat di luar sana. Ini ialah kemenangan Festival Filem Malaysia pertama saya sejak berada di dalam industri ini selama lebih daripada 20 tahun. Ia juga pencalonan kedua saya dan pertama bagi saya adalah pada tahun 2012 untuk Festival Filem Malaysia ke-25 untuk filem Bunohan".[31]

Pekin kembali membawakan semula watak Slash Haji Tapah dalam kesinambungan ketiga dan terakhir filem Rock, Rock Bro! yang ditayangkan pada 27 Oktober.[32][33] Pada November 2016, Pekin bersama pelakon Idris Khan menubuhkan syarikat penerbitan Centro Pictures yang diasaskan dengan sokongan beberapa rakan kongsi lain,[34] syarikat itu menerbitkan filem sulung bertajuk KL Wangan.[34] Pekin dan Idris dilaporkan bakal menerbitkan filem kedua berjudul Anarki, pada pertengahan 2017.[34] Malah, Pekin juga memberitahu beliau akan menghasilkan kesinambungan filem Mat Moto.[34][35][36]

Pada Januari 2017, Pekin mengumumkan akan menerbitkan filem dokumentari petamanya yang bertajuk Madness of Borneo bagi mempromosikan keindahan negeri Sabah yang digelar "Negeri Di Bawah Bayu", yang mana beliau bekerjasama dengan Raja Mukhriz selaku pengarah.[37] Penggambaran filem ini dijalankan pada April, di mana krew KL Media House Production memulakan penggambaran.[38] Filem kedua arahannya, KL Wangan ditayangkan pada 21 Disember 2017 dengan skrip ditulis oleh beliau sendiri dengan barisan pelakon termasuk beliau sendiri, Faizal Hussein, Emily Lim dan Kazuto Soon. Bagi mempromosikan filem ini, beliau mengetuai sesi jelajah promosi bersama barisan pelakon di 20 lokasi menarik di seluruh negara.[39][40] Pekin memegang watak sebagai Jimmy, seorang peluncur lagenda dan salah seorang ahli peluncur Trio Malaya dalam filem Surf This Love: Gelora Juara arahan Wan Haafiz yang ditayangkan pada 22 Februari 2018.[41] Beliau kembali menjayakan watak Musalman dalam filem seram komedi arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah 3 yang ditayangkan pada 9 Ogos 2018.[42] Selain itu, beliau juga bakal muncul dalam filem Manap Karaoke juga arahan Mamat yang akan diumumkan tarikh tayangan rasmi.

Pekin bekerjasama dengan Raja Ahmad Alauddin (Allahyarham) menerusi drama rantaian Tuan Puteri Saadong; memegang watak sebagai Sultan Abdullah. Untuk drama ini, beliau mendalami ilmu seni mempertahankan diri terutamanya silat yang sinonim dengan era kehidupan berlatar belakangkan tahun 1660-an.[43]

Pekin bersama-sama dengan Aeril Zafrel, Johan As'ari, Riz Amin, Cristina Suzanne, Siti Saleha dan Dee Dee Nash telah menjayakan filem 7ujuh yang ditayangkan pada 8 November 2018. Beliau memegang watak sebagai Mus.[44] Beliau menggalas watak Cikgu Azman dalam filem Adiwiraku 2 yang kini dalam penerbitan. Untuk menjayakan watak lakonannya, beliau sanggup berulang-alik dari ibu negara ke Gemencheh, Negeri Sembilan selama dua bulan. Menurut Pekin, "Memang susah untuk menukar cara pertuturan, apatah lagi lidah saya sudah sebati dengan loghat Kelantan. Saya perlu membuat persediaan yang cukup untuk menghidupkan karakter Cikgu Azman".[45][46]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Pekin_Ibrahim http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/superbike-bm... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/pekin-ibr... http://www.beritasini.com/2013/10/pekin-ibrahim-ne... http://www.budiey.com/pekin-lancar-buku-memoir-buk... http://www.budiey.com/pekin-undang-kontroversi-jad... http://www.budiey.com/tattoo-gestapo-teater-saya-i... http://www.imdb.com/name/nm1932988/ http://www.imdb.com/title/tt4124122/ http://www.rotikaya.com/pekin-ibrahim-malas-bercak... http://www.rotikaya.com/pekin-ibrahim-saya-ada-buk...