Syarikat sendirian berhad Pendaftaran syarikat di Malaysia

Takrifan

Syarikat ini ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan sekurang-kurangnya 2 orang diperlukan bagi menajanya, Ahli-ahli syarikat ini dihadkan kepada 50 orang sahaja dan satu-satu masa.

Mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 1965 sesebuah syarikat sendirian berhad mempunyai sifat-sifat seperti seorang manusia iaitu, Mempunyai namanya sendiri, Boleh didakwa atau mendakwa atas namanya sendiri di Mahkamah, Mempunyai alamat yang tertentu, Mempunyai aset atas namanya sendiri, Tertubuhnya sepanjang sehingga tindakan diambil bagi membubarkannya, (perpetual secession) walaupun ada di antara ahli-ahlinya yang meninggal dunia.

Organisasi syarikat

Syarikat Sendirian Berhad dianggotai oleh Lembaga Pengarahnya dalam mana akan dilantik, Pengerusi Lembaga Pengarah, Juruaudit Syarikat, Lain-lain Pengarah

Kuasa Lembaga Pengarah

Pihak berkuasa tertinggi syarikat ialah jemaah pengarahnya Lembaga Pengarah akan membuat ketetapan ke atas segala dasar yang perlu dijalankan oleh Syarikat. Semua kuasa yang tidak di untuk atau dikhaskan di dalam undang-undang syarikat (Article of Association) adalah di dalam tangan Lembaga Pengarah tetapi berpandukan Akta Syarikat 1965 dan mereka bertanggungjawab kepada Mesyuarat Agung ke atas kemajuan syarikat tersebut. Kakitangan syarikat itu adalah menjadi penggerak kepada perniagaan dan merekalah yang menjalankan segala arahan Lembaga Pengarah. Lembaga Pengarah juga berkuasa mengambil dan membuang pekerja-pekerja syarikat itu.

Liabiliti pemegang saham

Faedahnya perniagaan secara ini adalah dalam perkara liabiliti yang dikenakan kepada ahli-ahlinya. Liabiliti mereka terhad kepada jumlah saham yang dibeli dan sekiranya syarikat itu mengalami kerugian dan perlu dibubarkan tiap-tiap ahli akan menanggung rugi sebanyak harga saham yang telah dibeli olehnya. Dari segi undang-undang yang berhutang ialah syarikat tersebut dan bukan ahli-ahlinya.

Liabiliti syarikat

Sebelum satu-satu kumpulan itu membuat keputusan untuk menubuhkan sesebuah Syarikat Sendirian Berhad, ada empat perkara yang perlu dipertimbangkan :-

Cukai kerajaan

Semua syarikat berhad dikenakan cukai keuntungan sebanyak 28% ke atas untung bersihnya.

Mesyuarat Agung

Mesyuarat Agung hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun dimana satu penyata kira-kira tahunan perniagaan yang telah diaudit oleh Juruaudit Syarikat, dibentang untuk mendapat kelulusan bersama-sama dengan laporan-laporan pengarah dan juruaudit.

Aspek pengurusan

Pengurusan Syarikat hendaklah mengikut kehendak Akta Syarikat 1965. Jika Pengarah-Pengarah serta kakitangan engkar menurut kehendak-kehendak Akta Syarikat kesemua mereka boleh didenda oleh Pendaftar Syarikat atau didakwa di Mahkamah.

Dokumen berkanun

Syarikat mestilah ada dokumen berkanun seperti berikut, Buku Daftar Pemegang Saham, Buku Daftar Pengarah, Pengurus, Setiausaha dan Cagaran, Buku Minit Mesyuarat, Cop Mohor, Buku Sijil Saham.

Dokumen ini hendaklah disimpan mengikut kehendak Akta Syarikat bersama dengan mohor Syarikat dan buku kira-kira. Semuanya mestilah diperolehi walaupun perniagaan tidak berjalan.

Pendaftaran

Pendaftaran Syarikat Sdn. Bhd. dijalankan oleh Pendaftar Syarikat (ROC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tingkat 11 – 17, Putra Place, 100, Jalan Putra, Kuala Lumpur. Pendaftaran mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan dan dijalankan dalam tiga peringkat :–

Peringkat pertama

Permohonan mencari nama syarikat – bayaran-bayarannya RM30.00 bagi satu nama yang dipohon.

  1. Dua naskhah buku Memorandum & Articles Of Association (Tataujud & Tataurusan Perbadanan)
  2. Borang 48A – Pengakuan Statutori tiap-tiap Pengarah Sebelum dilantik
  3. Borang 6 – Pengakuan Statutori tiap-tiap Setiausaha Sebelum dilantik
  4. Bayaran pendaftaran syarikat adalah mengikut modal dibenarkan (Authorised Capital) syarikat.

Sijil Pertubuhan Perbadanan

Sijil Pertubuhan Perbadanan (Borang 9) akan dikeluarkan dalam masa satu minggu sekiranya kehendak-kehendak telah dipatuhi.

Perbelanjaan penubuhan syarikat

Perbelanjaan bagi menubuhkan Syarikat Sendirian Berhad ini adalah lebih besar daripada syarikat biasa iaitu mengikut modal yang dibenarkan (authorised capital). Sekiranya modal yang dibenarkan ialah RM100,000.00 bayaran untuk mendaftarnya ialah RM1,000.00. Lebih besar modal yang dibenarkan, maka lebih banyaklah bayaran bagi mendaftarnya. Lain-lain perbelanjaan ialah belanja setem, atas dokumen-dokumen di atas sekurang-kurangnya RM220.00 lagi. Oleh yang demikian bagi menubuhkan sesebuah syarikat sendirian berhad mempunyai modal yang dibenarkan sebanyak RM100,000.00 perbelanjaannya adalah lebih kurang RM1,220.00.

Selain daripada perbelanjaan-perbelanjaan di atas ialah perbelanjaan untuk setiausaha syarikat bagi menyediakan dokumen-dokumen di atas yang mana bayarannya adalah lebih banyak dari bayaran pendaftaran syarikat.

Di bawah ini diturunkan kadar bayaran pendaftaran untuk syarikat sendirian berhad sepertimana yang telah ditetapkan oleh Akta Syarikat 1965.

Laporan selepas penubuhan

Selepas penubuhan syarikat dikehendaki memfail tiga jenis laporan dengan Pejabat Pendaftar Syarikat. Laporan-laporan itu ialah,

  1. Borang 24- Saham Syarikat
  2. Borang 44- Kedudukan Pejabat Berdaftar Syarikat
  3. Borang 49 - Butir-butir berkaitan dengan Pengarah, Pengurus & Setiausaha

Peringatan

Patut juga diingatkan bahawa syarikat sendirian berhad tidak dibenarkan mengeluarkan iklan untuk mempelawa orang ramai membeli sahamnya. Penjualan saham hanya dibuat secara lisan iaitu kepada kenalan dan sahabat handai sahaja.

Memandang kepada perkara-perkara di atas, adalah dinasihatkan supaya syarikat sendirian berhad ini ditubuhkan hanya apabila ada satu-satu rancangan tertentu yang akan dikendalikan seperti untuk menambah modal atau bertujuan untuk memperluaskan perniagaan.

Kelebihan

  1. Liabiliti perniagaan adalah terhad kepada sumbangan modal sahaja.
  2. Kontuniti atau Syarikat terjamin – iaitu Syarikat tidak akan dibubar dengan kematian seseorang pemegang saham.
  3. Kemudahan untuk mendapat modal.
  4. Kemudahan dari segi penukaran hakmilik.
  5. Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh perundangan.
  6. Potensi untuk perkembangan luas.
  7. Pemilik saham tidak dibebankan dengan tanggungjawab pengurusan.

Kekurangan

  1. Rumit untuk diuruskan serta terikat dan tertakluk kepada Akta Syarikat.
  2. Cukai Pendapatan yang tinggi.
  3. Saham Syarikat tidak boleh dijualbeli melalui Pasaran Saham.