Penghembusan_(fonetik)

Dalam bidang fonetik, penghembusan atau aspirasi ialah letusan udara yang kuat yang mengiringi pelepasan (atau penutupan bagi prahembusan) sesetengah obstruen. Untuk memerhati perbezaan antara bunyi berhembusan dan tak berhembusan, anda boleh meletakkan tangan atau lilin bernyala di hadapan mulut anda, kemudian mengatakan perkataan Inggeris tore ([tʰɔɹ]) dan store ([stɔɹ]). Ketika menyebut tore, anda dapat merasakan hembusan udara pada tangan atau melihat api lilin berkerlip, tetapi tidak ketika menyebut store. Dalam kebanyakan loghat bahasa Inggeris, bunyi t dihembuskan dalam perkataan tore tetapi tidak dalam perkataan store.Aksara yang menandakan penghembusan dalam Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA) ialah huruf "h" superskrip, [ʰ] . Konsonan tak berhembusan biasanya tidak ditandai dengan jelas, tetapi adanya aksara untuk menandakan konsonan tak berhembusan dalam Sambungan IPA, iaitu tanda sama dengan "=" superskrip, [⁼].