Penjagaan kesihatan sejagat

Penjagaan kesihatan sejagat (juga disebut liputan kesihatan sejagat, liputan sejagat, atau perawatan sejagat ) adalah sistem penjagaan kesihatan di mana semua penduduk negara atau wilayah tertentu diberi jaminan akses kepada penjagaan kesihatan. Secara amnya, penjagaan kesihatan sejagat menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada semua penduduk dan mereka yang tidak berkemampuan. [1]Penjagaan kesihatan sejagat bermaksud semua orang mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, bukan bermaksud liputan untuk semua kes dan untuk semua orang. Sesetengah negara mempunyai sistem penjagaan kesihatan sejagat yang dibiayai oleh kerajaan, manakala sesetengah yang lain menetapkan syarat agar semua warganegara membeli insurans kesihatan swasta. Penjagaan kesihatan sejagat dapat ditentukan dengan tiga dimensi kritikal: siapa yang dilindungi, perkhidmatan apa yang dilindungi, dan berapa banyak kos yang ditanggung. [1] Organisasi Kesihatan Sedunia menyatakan ia bermakna semua warganegara dapat mengakses perkhidmatan kesihatan tanpa menanggung kesulitan kewangan. [2] Ketua Pengarah WHO menggambarkan liputan kesihatan sejagat sebagai "satu konsep paling kuat yang ditawarkan oleh kesihatan awam" kerana menyatukan "perkhidmatan dan memberikannya secara menyeluruh dan bersepadu". [3] Salah satu tujuan penjagaan kesihatan sejagat adalah untuk mewujudkan sistem perlindungan yang memberi peluang yang sama rata untuk semua orang menikmati tahap kesihatan paling tinggi. [4]Sebagai sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Lestari, negara-negara anggota PBB telah bersetuju untuk berusaha mencapai liputan kesihatan sejagat di seluruh dunia pada tahun 2030. [5]