Geografi Perancis

Rencana utama: Geografi Perancis

Sementara Perancis Metropolitan terletak di Eropah Barat, Perancis juga mempunyai sebilangan wilayah di Amerika Utara, Caribbean, Amerika Selatan, bahagian selatan Lautan Hindi, Lautan Pasifik, dan Antartika.[10] Wilayah-wilayah ini mempunyai bentuk kerajaan yang berbeza-beza dari jabatan seberang laut hingga kolektiviti seberang laut.

Perancis Metropolitan meliputi 551,695 kilometer persegi (213,010 batu persegi) menjadikannya negara yang terbesar dari segi keluasan dalam Kesatuan Eropah, hanya sedikit lebih besar berbanding Sepanyol. Perancis memiliki pelbagai landskap, dari dataran pantai di utara dan barat hingga banjaran gunung Alp di tenggara, Massif Central (Pusat Puncak Gunung) di selatan tengah dan Pyrenee di barat daya. Pada ketinggian 4,807 meter (15,770 kaki) atas paras laut, puncak tertinggi di Eropah Barat, Mont Blanc, terletak di banjaran Alp pada sempadan antara Perancis dan Itali.[11] Perancis Metropolitan juga mempunyai sistem sungai menyeluruh seperti Sungai Loire, Garonne, Seine dan Rhône, yang memisahkan Massif Central daripada Alp dan mengalir ke laut Mediterranean di Camargue, titik terendah di Perancis (2 m / 6.5 kaki bawah paras laut).[11] Corsica terletak di luar pesisiran Mediterranean.

Gambar satelit Perancis metropolitan, Ogos 2002

Jumlah keluasan tanah Perancis, termasuk jabatan-jabatan dan wilayah-wilayah seberang lautnya (kecuali Tanah Adélie), ialah 674,843 kilometer persegi (260,558 batu persegi), iaitu 0.45% jumlah keluasan tanah Bumi. Namun begitu, Perancis memiliki zon ekonomi eksklusif kedua terbesar di dunia, meliputi 11,035,000 kilometer persegi (4,260,000 batu persegi), iaitu kira-kira 8% jumlah keluasan segala zon ekonomi eksklusif di dunia, mengekori Amerika Syarikat (11,351,000 km² / 4,383,000 batu persegi) dan mendahului Australia (8,232,000 km² / 3,178,000 batu persegi).[12]

Perancis Metropolitan terletak di antara selarian 41° dan 50° Utara, pada sisi barar Eropah dan maka itu, terletak dalam lingkungan zon sederhana utara. Bahagian utara dan barat laut mengalami iklim sederhana, namun, satu gabungan pengaruh maritim, latitud dan altitud menghasilkan kepelbagaian iklim di baahgian-bahagian lain dalam Perancis Metropolitan.[13] Bahagian tenggara didominasi iklim Mediterranean. Di barat, iklimnya ditakluki iklim lautan dengan curahan hujan yang banyak, musim sejuk yang ringan dan musim panas yang nyaman. Di pedalaman, iklimnya lebih cenderung kepada iklim benua dengan musim panas yang terik dan diselubungi ribut, musim sejuk yang lebih dingin dan kurangnya hujan. Iklim Alp dan kawasan pergunungan lain terutamanya beriklim Alp secara semula jadi dengan bilangan hari-hari yang mengalami suhu di bawah paras beku melebihi 150 setiap tahun dan liputan salji bertahan sehingga enam bulan.