Politik Perancis

Rencana utama: Politik Perancis
Fail:Logo de la République française.svgLogo Republik Perancis. Cogan katanya bererti: "Kebebasan, kesamaan dan persaudaraan"

Republik Perancis ialah sebuah republik semiberpresiden kesatuan dengan tradisi demokratik yang kukuh. Perlembagaan Republik Kelima diluluskan melalui pungutan suara pada 28 September 1958 dan banyak mengukuhkan kekuasaan cabang eksekutif berhubungan dengan parlimen. Cabang eksekutif itu sendirinya dipimpin dua orang ketua, iaitu: Presiden Republik yang diundi secara langsung oleh hak undi dewasa universal untuk penggal 5 tahun (dahulunya 7 tahun) dan merupakan Ketua Negara, dan Kerajaan, yang dipimpin Perdana Menteri yang dilantik oleh Presiden.

Parlimen Perancis ialah sebuah badan perundangan dwidewan yang terdiri daripada sebuah Dewan Undangan Negara (Assemblée Nationale) dan sebuah Senat. Timbalan-timbalan Dewan Undangan Negara mewakili kawasan-kawasan pengundian setempan dan diundi secara langsung untuk penggal 5 tahun. Dewan Undangan berkuasa melucutkan Kabinet, dan maka itu majoriti dalam Dewan Undanganlah yang menentukan pilihan kerajaan. Senator-senator pula dipilih oleh sebuah kumpulan pengundi untuk penggal 6 tahun (asalnya 9 tahun), dan separuh kerusi-kerusinya diserahkan kepada pilihanraya setiap tahun bermula September 2008.[9] Kuasa perundangan Senat adalah terhad; sekiranya timbul perselisihan antara kedua-dua dewan, Dewan Undanganlah yang menentukan keputusan muktamad, kecuali bagi undang-undang perlembagaan dan lois organiques (undang-undang yang disediakan secara langsung oleh perlembagaan) dalam sesetengah kes. Kerajaan berpengaruh kuat terhadap pembentukan agenda Parlimen.

Politik Perancis disifatkan oleh dua kelompok yang bertentangan haluan politik: satunya berhaluan kiri, berpusatkan Parti Sosialis, dan yang lain itu berhaluan kanan, mula-mulanya berpusatkan Rassemblement pour la République (RPR) dan kini pewarisnya Kesatuan Pergerakan Popular. Cabang eksekutif kini didominasi ahli UPM.