Latar belakang Perang Vietnam

Vietnam dijajah oleh negeri China sejak tahun 110 S.M. sehinggalah mencapai kemerdekaan dalam tahun 938. Selepas bebas dari belenggu dan kongkongan China, Vietnam tidak henti-henti menentang keganasan oleh kuasa-kuasa luar.

Dalam abad ke-19, Vietnam menjadi wilayah jajahan Perancis. Perancis menguasai Vietnam selepas mengadakan beberapa siri peperangan kolonial di Indochina mulai tahun-tahun 1840-an hingga ke tahun-tahun 1840-an. Pengluasan pengaruh Perancis disebabkan hasrat untuk menyaingi kebangkitan Empayar British dan keperluan mendapatkan hasil mentah seperti getah dan bijih bagi maksud menggerakkan perindustrian di Perancis untuk bersaing dengan penguasaan menyeluruh oleh industri British.

Semasa pemerintahan Perancis, segolongan rakyat Vietnam dibakar semangat nationalisme dan mahukan kemerdekaan daripada penjajahan Perancis. Beberapa pemberontakan dan tentangan dibuat oleh banyak kumpulan-kumpulan nationalis, tetapi usaha mereka gagal. Dalam tahun 1919, semasa Persetiaan Versailles sedang dirundingkan, Ho Chi Minh meminta untuk bersama-sama membuat perundingan supaya boleh menghujahkan kemerdekaan untuk Vietnam. Permintaannya ditolak dan Vietnam dan seluruh takluk Indochina terus kekal sebagai tanah jajahan Perancis.

Kumpulan penentang Viet Minh akhirnya berjaya mendapat sokongan popular dan berjaya mengusir penjajah Perancis dari bumi Vietnam. Semasa Perang Dunia II, Vietnam dikuasai oleh Tentera Jepun. Kerajaan Vichy Perancis berkerjasama dengan pihak Jepun yang menghantar bala tentera ke Indo-China sebagai pasukan berkuasa di kawasan tersebut. Kerajaan Vichy Perancis menjadi kerajaan boneka kerana kuasa pemerintahan sebenarnya di tangan pihak Jepun. Pemerintah Vichy Perancis mentadbir Indochina sehingga tahun 1944 apabila Kerajaan Vichy Peranchis tumbang selepas Tentera Berikat menakluki Perancis dan Jeneral Charles de Gaulle diangkat sebagai Pemimpin Perancis.

Setelah kerajaan Vichy Perancis tumbang, pemerintah Jepun menahan Pentadbir-pentadbir Perancis dan memalukan pembesar-pembesar kolonial di khalayak ramai. Pihak Jepun kemudiannya menggalakkan kebangkitan pergerakan nasionalis di kalangan rakyat Vietnam. Pada pengakhir Perang Dunia II, Vietnam diberikan kemerdekaan oleh pihak Jepun. Ho Chí Minh kembali ke Vietnam untuk membebaskan negaranya daripada dijajah oleh kuasa asing. Dia menubuhkan pergerakan penentang, dan menerima bantuan kumpulan OSS (yang akan berubah menjadi CIA kelak).

Pada penghujung Perang Dunia II, pergerakan Viet Minh di bawah pimpinan Ho Chí Minh berjaya membebaskan Vietnam daripada belenggu penjajah, Tetapi kejayaan itu untuk masa yang singkat sahaja. Pihak Tentera Jepun telah menawan pemerintah Perancis dan memberikan Vietnam satu bentuk “kemerdekaan” sebagai sebahagian daripada rancangan Jepun "membebaskan" bumi Asia daripada penjajahan Barat. Banyak bangunan awam diserahkan kepada kumpulan-kumpulan nasionalis.

Ho Chi Minh Berkuasa

Tentera Perancis di Vietnam.

Di Persidangan Potsdam, pihak Berikat memutuskan Vietnam ditadbir oleh Tentera British dan China yang akan menyelia penyerahan senjata Tentera Jepun dan kepulangan mereka pulang ke Jepun. Kumpulan Viet Minh pimpinan Ho Chi Minh sebelumnya dibantu pihak Jepun di Indochina apabila para pentadbir dan pemerintah rakyat Perancis dipenjarakan. Bangunan awam juga diserahkan oleh pihak Jepun kepada kawalan oleh Viet Minh. Selepas Jepun menyerah kalah, kumpulan nasionalis Vietnam, kumpulan Komunis dan lain-lain kumpulan mengambilalih pentadbiran negeri.

Pada 2 September 1945, Ho Chi Minh mengisytiharkan penubuhan sebuah kerajaan baru Vietnam di bawah pimpinan beliau. Dalam ucapannya, beliau memetik Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat dan sebuah pancaragam memainkan lagu "The Star Spangled Banner." Ho Chi Minh yang menjadi agen Komunis Antarabangsa Ketiga sejak awal tahun 1920-an mengharapkan kerajaan Amerika Syarikat akan menyokong kerajaan baru di Vietnam, walaupun kerajaan baru itu sebuah kerajaan di bawah pengaruh Komunis. Harapan beliau Amerika Syarikat akan mengkotakan ucapan-ucapan Franklin D. Roosevelt yang menentang kolonialisme Eropah selepas Perang Dunia II. Franklin D. Roosevelt mahukan rakyat negara-negara Dunia Ketiga menentukan nasib mereka sendiri. Akhirnya, di bawah pimpinan Harry S. Truman, Amerika Syarikat menukar rentak dan tidak membantah Perancis menduduki semula tanah-tanah jajahannya, termasuk Vietnam, selepas tamat perang.

Kumpulan pimpinan Ho Chí Minh mengumumkan penubuhan sebuah kerajaan Vietnam, dan Maharaja Bao Dai dipaksa turun takhta. Namun demikian, kerajaan itu dapat bertahan beberapa hari sahaja. Dengan ketibaan tentera China, kerajaan pimpinan Ho Chi Minh tiada berkuasa lagi. Apabila pemerintah Perancis dibebaskan selepas Jepun menyerah diri, kuasa penjajah bertapak semula, khususnya di kawasan selatan Vietnam. Tentera Perancis mendarat semula di bahagian utara Vietnam.

Pihak mana yang berkuasa di Vietnam menjadi rumit apabila Tentera Bersekutu kembali ke Vietnam selepas bulan September 1945. Indochina dibahagikan kepada zon-zon kependudukan oleh Tentera Bitish dan Tentera China. Tentera China masuk ke kawasan Vietnam Utara selang beberapa hari selepas ucapan Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam. Tentera China menduduki kawasan di sebelah utara Garisan 16 darjah garis lintang (16th parallel). Pasukan Tentera British sampai dalam bulan Oktober 1945 dan menguasai kawasan-kawasan di selatan garisan lintang tersebut.

Di bahagian selatan, pihak Perancis berjaya memujuk Tentera British untuk mengembalikan kuasa kepada pihak Perancis. Pegawai-pegawai Perancis yang dibebaskan daripada penahanan Jepun dalam bulan September 1945 diambil semula sebagai pentadbir. Perancis gembira dengan Keadaan di selatan Vietnam. Di sebelah utara, kerajaan Perancis menrundingkan dengan Kerajaan Nasionalis China dan juga dengan Kumpulan Viet Minh di bawah pimpinan Ho Chi Minh. Pihak Perancis bersetuju meninggalkan Shanghai sekiranya Kerajaan Nasionalis China membenarkan Perancis menguasai semula Vietnam Utara. Ho Chi Minh dan Viet Minh bersetuju pihak Perancis kembali menduduki Hanoi sekiranya Perancis memberikan pengiktirafan kepada kemerdekaan Vietnam di dalam satu Kesatuan Perancis.

Dalam masa perundingan dijalankan, Ho Chi Minh mengambil kesempatan menghapuskan lain-lain kumpulan nasionalis Vietnam. Setelah beberapa lama berunding, tiada penyelesaian dicapai mengenai pembahagian kuasa antara Perancis dan Viet Minh. Tentera China berundur ke sempadan sendiri dan tentera Perancis masuk menguasai Hanoi. Kumpulan Viet Minh melarikan diri ke kawasan pendalaman dan pergunungan. Di sana Viet Minh menyusun satu insurgensi yang membawa kepada Perang Indochina. Perancis berperang dengan Viet Minh untuk mengembalikan penguasaan wilayah Vietnam kepada koloni Perancis.

Ho Chí Minh mendapat bantuan China apabila pihak Komunis bertapak di negeri China, dan dibekalkan dengan persenjataan dan bekalan yang diperlukan oleh Ho Chi Minh untuk menjadikan pasukan gerilanya menjadi satu pasukan tentera regular.

Pasukan Viet Minh akhirnya berjaya menang besar mengalahkan tentera Perancis di pertempuran Dien Bien Phu dan pihak Perancis terpaksa merundingkan pengunduran mereka dari bumi Vietnam. Vietnam Utara yang berada di bawah Ho Chí Minh dijadikan sebuah kerajaan Komunis.

Pembahagian Vietnam Kepada Utara dan Selatan

Viet Minh secara berperingkat bertukar menjadi satu pasukan tentera konvensional yang berkelengkapan moden. Proses perubahan ini dicepatkan apabila Republik Rakyat China berjaya mengambilalih pemerintahan negeri China. Pada mulanya Viet Minh tidak berupaya menewaskan tentera Perancis di kawasan berpenduduk di Vietnam Utara, pasukan tersebut berjaya bertapak di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan China dan juga di kawasan pendalaman seperti di Laos. Akhirnya Viet Minh berjaya menumpaskan tentera Perancis di Dien Bien Phu, dan pihak Perancis terpaksa berundur dari Vietnam. Seluruh Indochina diberikan kemerdekaan, termasuk Laos dan Kemboja. Tetapi Vietnam dibahagikan kepada 2 bahagian berbeza, dengan garis lintang 17 darjah utara (17th parallel) sebagai garis pemisah.

Vietnam terbahagi dua – Vietnam Utara sebagai sebuah negara Komunis dipisahkan oleh sebuah kawasan bebas tentera (demilitarised zone) dengan Vietnam Selatan. Kerajaan Vietnam Selatan yang didokong oleh Amerika Syarikat, enggan mengadakan pilihanraya yang bertujuan mencantumkan semula Vietnam seperti yang dipersetujui di Persidangan Geneva 1954.

Di sebelah utara, wujud Republik Demokratik Vietnam di bawah Viet Minh, dan di selatan pula wujud Vietnam, sebuah kerajaan bukan Komunis di bawah Maharaja Bao Dai. Tidak lama selepas itu, Bao Dai digulingkan oleh Ngo Dinh Diem, yang kemudiannya menubuhkan Republik Vietnam atau lebih dikenali sebagai Vietnam Selatan. Seperti ditetapkan samasa Perjanjian Geneva 1954, pembahagian kepada dua bahagian ini adalah sementara sahaja, sementara menunggu keputusan satu pilihanraya untuk memilih ketua negara yang akan diadakan dalam tahun 1956.

Ngo Dinh Diem

Dalam tahun 1955, Ho Chi Minh melancarkan kempen untuk memusnahkan kumpulan anti-revolusioner di Vietnam Utara. Pemilik tanah dan lain-lain anti-revolusioner ditahan dan dibunuh. Bilangan mereka yang dibunuh dianggarkan oleh Stanley Karnow seramai 6,000 orang. Manakala, R.J. Rummel pula menganggarkan kematian seramai 200,000 orang.

Melihat dasar kerajaan Vietnam Utara ini, kerajaan Ngo Dinh Diem enggan merundingkan pilihan raya yang ditetapkan, dan keputusan ini disokong oleh Amerika Syarikat yang risaukan kemenangan puak Komunis. Ngo Dinh Diem juga mempersoalkan kewibawaan pilihan raya yang dikendalikan oleh pihak Vietnam Utara. Kerajaan Ngo Dinh Diem tidak menandatangani Perjanjian Geneva, ia ditandatangani oleh bekas maharaja Bao Dai. Dengan itu, Ngo Dinh Diem merasakan tiada salah jika kerajaannya tidak menurut peruntukan Perjanjian tersebut.

Pihak Komunis memang bersiap sedia untuk menyerang Vietnam Selatan, sejak sebelum Perjanjian Geneva ditandatangani. Persiapan ini dibuat sekiranya penyatuan tidak dapat dicapai melalui kemenangan dalam pilihanraya. Ho Chi Minh memerintahkan beribu-ribu orang agen Komunis untuk menyusup masuk ke Vietnam Selatan, dan menyediakan tempat tersembunyi untuk simpanan senjata.

Dalam musim panas 1955, Ngo Dinh Diem melancarkan kempen mengecam Komunis, bila mana anasir Komunis dan anasir-anasir anti kerajaan telah ditahan ataupun dibunuh. Dalam masa ini, penghijrahan besar-besaran berlaku. Dianggarkan 100,000 orang berhijrah daripada kawasan selatan ke Vietnam Utara, dan lebih 1 juta berhijrah dari Vietnam Utara ke selatan. Dalam bulan Januari 1959, Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Vietnam meluluskan resolusi sulit memberikan kuasa untuk perjuangan bersenjata di Vietnam Selatan.

Ho Chi Minh menerima hantaran senjata dan peralatan lain daripada Kesatuan Soviet dan China melalui Pelabuhan Haiphong. Peralatan dan senjata ini kemudiannya dihantar melalui Laluan Truong Son (dipanggil Laluan Ho Chi Minh oleh pihak Amerika Syarikat) kepada NLF and Viet Cong di Vietnam Selatan. Laluan Truong Son ini melalui negara jiran Laos dan Kemboja, dan berakhir kira-kira 50 km di luar Saigon. Ini merumitkan keadaan, dan Amerika Syarikat tertekan kerana tidak dapat menyerang laluan ini tanpa memasuki ataupun menakluki kawasan negara-negara tersebut. Dalam masa yang sama, Laos dan Kemboja sendiri menghadapi pemberontakan oleh kumpulan-kumpulan Komunis di negara mereka. Di Laos, kumpulan Pathet Lao dipengaruhi dan dilengkapkan oleh Vietnam Utara. Kemboja secara rahsia membenarkan kawasannya digunakan oleh Vietnam Utara untuk penghantaran bekalan kepada pemberontak di Vietnam Selatan.

Apabila tentangan kepada pemerintahan Ngo Dinh Diem semakin kuat dan terbuka, Vietnam Utara mencetuskan satu insurgensi di Vetnam Selatan. Barisan Pembebasan Kebangsaan (National Liberation Front) diuruskan, dibaiyai dan diberikan perbekalan oleh Vietnam Utara. Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China semakin terlibat.

Insurgensi Secara Terbuka

Dalam bulan Disember 1960, dengan arahan diberikan dari Hanoi, anasir Komunis di Vietnam selatan menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan NLF untuk menggulingkan kerajaan Vietnam Selatan. Barisan Pembebasan Kebangsaan terdiri daripada dua kumpulan berbeza (i) para intelek Vietnam Selatan, seperti Truong Nhu Tang, yang menentang kerajaan pimpinan Ngo Dinh Diem dan (ii) anasir Komunis seperti Nguyen Thi Binh, yang terus tinggal di Vietnam Selatan selepas pembahagian Vietnam dan penghijrahan beramai-ramai tahun 1954 dan dibantu oleh anasir Komunis yang dihantar ke selatan oleh Viet Minh. Tentera Vietnam Utara menguasai sebahagian besar wilayah timur negara Laos dan membekalkan NLF dengan senjata melalui Laluan Ho Chi Minh.

Pada mulanya, kerajaan Presiden diem menunjukkan keupayaan menangani insurgensi dengan bantuan penasihat-penasihat tentera Amerika Syarikat. Dalam tahun 1962, Vietnam Selatan seakan-akan sedang menang dalam perjuangan menentang insurgensi. Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat mendapat laporan positif daripada Gen. Paul D. Harkins, pegawai pemerintah Ketumbukan Bantuan ketenteraan (Military Assistance Command, Vietnam) ataupun MACV. President John F. Kennedy menambah bilangan "penasihat" Amerika Syarikat dengan harapan tentera Amerika dapat mengalahkan insurgensi seperti yang berjaya dicapai oleh pasukan keselamatan Tentera British di Malaya semasa Darurat.

Pertempuran Di Ap Bac

Pada 2 Januari, 1963 pertempuran besar-besaran yang pertama berlaku di Ap Bac di antara pasukan ARVN (Tentera darat Republik Vietnam) seramai 1,400 orang anggota dan pasukan Komunis Vietnam Selatan seramai 350 orang. Tentera ARVN mengalami kekalahan teruk dan mengalami 83 anggota terkorban dan 108 orang lain cedera sementara pihak tentera Komunis berjaya melepaskan diri dengan hanya 18 orang anggota terkorban.

Pertempuran Ap Bac dalam tahun 1963 menunjukkan peningkatan insurgensi di Vietnam Selatan kesan daripada perolehan anggota, senjata dan bekalan daripada Vietnam Utara. Pemberontakan kini dibuat secara terang-terangan. Presiden Ngo Dinh Diem kian dibenci oleh rakyat kerana kerajaannya menganjurkan nepotisme dan korupsi. Kerajaan Presiden Ngo Dinh Diem juga berat sebelah kepada minoriti beragama Kristian dengan membelakangkan kumpulan majoriti yang beragama Buddha. Kerajaan Amerika Syarikat mulai yakin bahawa Presiden Diem tidak akan berupaya menewaskan Vietnam Utara. Bahkan Amerika Syarikat mengesyaki Presiden Ngo Dinh Diem akan membuat perjanjian dengan Vietnam Utara.

Putera Sihanouk dan Pakatannya

Dalam tahun 1965, Putera Sihanouk dari Kemboja membuat pakatan dengan China dan Vietnam Utara membolehkan tentera Vietnam Utaramenubuhkan pengkalan tentera yang tetap di Kemboja. Vietnam Utara dan China juga boleh menggunakan Pelabuhan di Sihanoukville untuk hantaran senjata dan perbekalan tentera. Dalam tahun 1970, Putera Sihanouk digulingkan oleh Perdana Menteri Lon Nol dan laluan melalui Sihanoukville tidak lagi dibenarkan. Dalam masa itu, Laluan Ho Chi Minh telah dibangunkan dan kini boleh mengendalikan lori dan trak tentera. Laluan Ho Chi Minh menjadi nadi penting bagi NLF di Vietnam Selatan dan menjadi sasaran serangan udara oleh Tentera Udara Amerika Syarikat

Prinsip Perjuangan

Kerajaan Vietnam Selatan dan sekutunya terdiri dari negara-negara Barat mencerminkan konflik ini sebagai penggunaan kuasa tentera sebagai cara untuk mengubah suasana politik melalui tentangan prinsip Komunisme bagi membolehkan mereka menyekat pengluasan pengaruh Komunisme oleh Soviet Union dan China di Asia Tenggara. Ini mencorakkan bentuk penentangan kuasa besar di masa-masa akan datang.

Kerajaan Vietnam Utara melihat peperangan ini sebagai satu perjuangan untuk menyatukan semula negara Vietnam di bawah pimpinan sebuah negara sosialis dan untuk menghalau pencoroboh asing – sebagai ikutan kepada penentangan mereka terhadap penjajahan Perancis.

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Perang Vietnam http://members.ozemail.com.au/~yeulee/Topical/Hmon... http://www.australiansatwar.gov.au/throughmyeyes/v... http://www.awm.gov.au/encyclopedia/vietnam/statist... http://www.americanwarlibrary.com/vietnam/vwatl.ht... http://www.answers.com/topic/battle-of-ia-drang http://www.asiamaya.com/panduasia/vietnam/e-01land... http://www.bartleby.com/quotations/012004.html http://www.bmj.com/content/336/7659/1482 http://www.country-data.com/frd/cs/laos/la_glos.ht... http://www.users.erols.com/mwhite28/warstat2.htm