Pembabitan Negara Lain Perang Vietnam

Australia dan New Zealand

Australia dan New Zealand menghantar pasukan tentera ke Vietnam Selatan sebagai mengotakan komitmen yang diberikan di bawah perjanjian ANZUK. Australia dan New Zealand mempunyai pengalaman luas berperang dalam hutan belantara setelah sekian lama berkhidmat di Semenanjung Tanah Melayu semasa Darurat dan juga di Borneo semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia. tentera New Zealand berkhidmat di bawah pemerintahan Tentera Darat semasa bertugas di Vietnam.

Australia mendokong Teori Domino, kerana kedudukan geografi yang dekat dengan Asia Tenggara membuat Australia paling terancam sekiranya Teori Domino menjadi kenyataan. Daripada detik hantaran pertama pakar penasihat tentera dalam tahun 1962, sehingga penarikan keluar batalion tentera Australia dari kem Nui Dat dalam bulan November 1971, seramai 50,000 orang anggota, meliputi anggota Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara telah berkhidmat di Vietnam. Penasihat Tentera Australia terakhir diundurkan pada bulan Disember 1972. Daripada bilangan ini, 496 orang terbunuh dan 2,400 orang lain cedera.

Untuk memenuhi komitmen penghantaran tentera ke Vietnam , Australia memperkenalkan Skim Khidmat Negara. Skim ini menerima tentangan rakyat dan tidak popular. Keengganan melaporkan diri untuk khidmat negara boleh dikenakan hukuman denda ataupun penjara. Pada tahun 1972 apabila skim ini dimansuhkan, 17 orang dipenjarakan kerana enggan berkhidmat. Kerajaan Konservatif akhirnya tewas kepada kerajaan Buruh disebabkan oleh kemarahan rakyat. Perang Vietnam menyebabkan bantahan sosial dan politik paling besar di Australia sejak referendum kerahan tenaga dalam tahun 1914.

Penglibatan ketenteraan paling tinggi untuk Australia pada sesuatu masa adalah seramai 7,672 askar penempur. Bilangan paling tinggi tentera New Zealand ditugaskan di Vietnam Selatan adalah seramai 552 orang. Bilangan ini signifikan kerana Tentera Darat Australia hanya berjumlah 28,000 orang dalam tahun 1965 sementara jumlah anggota New Zealand jauh lebih kecil. New Zealand pada mulanya menghantar askar jurutera dan pasukan artileri, dan diikuti dengan pasukan New Zealand Special Air Service.

Askar Australia dan New Zealand menggunakan taktik rondaan kumpulan kecil seperti mana operasi di Malaysia. Mereka tidak menggunakan denai hutan, membawa bekalan air tambahan dan menggunakan pendekatan “hati dan jiwa” untuk mendapatkan sokongan daripada penduduk tempatan. Ini berbeza dengan doktrin yang digunakan oleh Tentera Amerika, yang mementingkan penggunaan pasukan yang besar dan menggunakan kuasa tembakan yang ada. Tentera Australia dan New Zealand lebih menitik beratkan mendapatkan kerjasama penduduk tempatan, menggunakan taktik yang sama digunakan semasa perang cegah pemberontakan komunis di Malaysia.

Korea Selatan

Anggota Divisyen Harimau Korea Selatan di Phu Cat Menunggu Giliran menaiki Huey

Pasukan Korea Selatan merupakan kontinjen kedua paling besar selepas kontinjen Tentera Amerika. Anggota tentera Korea Selatan berkhidmat selama 1 tahun di Vietnam sebelum digantikan. Pada kemuncaknya, 50,000 orang tentera Korea selatan berkhidmat di Vietnam. Lebih dari 5,000 anggota tentera Korea Selatan terbunuh dan 11,000 yang lain cedera

Korea Selatan berhasrat untuk campur tangan di Vietnam sejak tahun 1954 lagi untuk menentang pengluasan pengaruh komunis. Pelawaan bantuan oleh Korea Selatan ditolak oleh Perancis. Dalam tahun 1964, Presiden Johnson meminta bantuan antarabangsa untuk Vietnam Selatan. Korea Selatan menyahut seruan dan menghantar tentera ke Vietnam Selatan. Pada 8 Januari 1965, Kabinet Korea Selatan meluluskan penghantaran unit-unit perubatan dan askar jurutera ke Vietnam dengan alasan peperangan di Vietnam mempunyai kesan langsung kepada Korea Selatan.

Pada 25 Februari 1964, pasukan askar jurutera tiba di Bien Hoa, Vietnam Selatan dan ditugaskan membina jalan raya lingkaran di Saigon. Pasukan ini diikuti oleh Kumpulan Kapal Pengangkut “Sea Gull” dan Kumpulan Bantuan Pembinaan askar jurutera. Dalam bulan Jun 1965, Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan dengan rasminya meminta bantuan tentera penempur dari Korea Selatan. Penghantaran tentera penempur diluluskan oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan dalam bulan Ogos 1965. Kos penghantaran pasukan tentera Korea Selatan dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.

Pada 22 September 1965, Divisyen “Harimau” Korea Selatan tiba di Qui Nhon dan Markas Tentera Korea Selatan ditubuhkan. Briged Marin ”Naga Biru” tiba dalam bulan Oktober dan ditempatkan di Teluk Cam Ranh. Pada 22 september 1966, Divisyen ke-9 “White Horse” tiba untuk berkhidmat di Vietnam dengan dituruti oleh Divisyen “Cross Stars” (Markas Logistik ke-100)

Pada 24 Februari 1972 Briged Marin “Blue Dragon” meninggalkan Vietnam diikuti dengan Kumpulan Kapal Pengangkut “Sea Gull” dalam tahun 1973. Divisyen “Harimau” dan Divisyen ke-9 “White Horse” meninggalkan Vietnam dalam tahun 1972. Divisyen “Harimau” mengalami 2,111 anggota terbunuh dan 4,474 yang lain cedera. Kesemuanya, lebih daripada 300,000 orang anggota Tentera Korea Selatan telah berkhidmat di Vietnam Selatan.

Semasa perkhidmatan mereka di Vietnam Selatan, kontinjen Korea Selatan juga terlibat dengan kerja-kerja penempatan semula penduduk dan berjaya memindahkan 1.2 juat orang penduduk Vietnam. Kerja-kerja pembangunan melibatkan pengagihan 19,640 tan barang makanan, membuat derma 6,400 jentera pertanian, pembinaan 3,319 buah rumah dan sekolah, 132 buah jambatan dan 394 kilometer jalan raya.

Thailand

Sebagai anggota SEATO, Thailand (di bawah pimpinan tentera) juga memberikan sokongan tentera kepada Amerika Syarikat. Di Vietnam Selatan, pasukan batalion "Queen Cobra" dan lain-lain unit Tentera DiRaja Thailand berkhimdat di Vietnam Selatan di antara tahun 1965 hingga 1971. Tentera DiRaja Thailand bertugas di Laos untuk beberapa lama, di dalam pasukan-pasukan dipanggil batalion "Unity". Pada teorinya, mereka sepatutnya menjadi tentera upahan, tetapi pada hakikatnya mereka adalah anggota regular Tentera Diraja Thailand. Tentera Thailand ini bertempur menentang Pathet Lao dan juga Viet Minh di Laos. Tentera Thailand aktif di Laos antara tahun 1970 hingga 1972.

Thailand juga membenarkan Amerika Syarikat membina pengkalan udara di Udon, Korat, Nakhon Phanom, U-Tapao, Takhli dan Don Muang yang kemudiannya digunakan untuk melancarkan serangan udara ke atas Vietnam. U-Tapao umpamanya sangat besar dan boleh digunakan untuk melancarkan serangan pengebom B-52 Stratofortress. Lain-lain pengkalan digunakan untuk penempatan pesawat seperti F-105 Thunderchief dan juga pasukan penyelamat CSAR. Operasi oleh Tentera Udara Amerika banyak yang dikelaskan sebagai sulit, dan dirahsiakan sehingga ke hari ini. Helikopter yang digunakan dalam operasi tentera untuk membebaskan SS Mayaguez dilancarkan daripada pengkalan di Thailand.

Kesatuan Soviet

Kesatuan Soviet bersama dengan China merupakan pembekal utama persenjataan kepada Vietnam Utara. Juruterbang Kesatuan Soviet juga ditugaskan ke Vietnam Utara sebagai juruterbang pengajar, tetapi “secara sukarela” menjalani misi tempur. Anggota tentera Kesatuan Soviet juga berkhidmat di Vietnam Utara membuat penilaian ke atas prestasi senjata-senjata mereka, khususnya sistem pertahanan udara.

China

Penglibatan China bermula dalam tahun 1962 apabila Mao Zedong bersetuju membekalkan Hanoi dengan 90,000 laras senjata api tanpa dikenakan bayaran. Apabila Amerika Syarikat melancarkan Rolling Thunder, China menghantar batalion askar jurutera dengan dilindungi pasukan meriam anti kapal terbang untuk membantu kerja-kerja pembaikan dan juga untuk membina jalan raya, jalan keretapi dan lain-lain kerja pembinaan. Ini membolehkan unit-unit PAVN dilepaskan untuk berkhidmat di kawasan Selatan.

Dalam tahun-tahun 1965 hingga tahun 1970, lebih 320,000 orang tentera China berkhidmat di Vietnam Utara, paling ramai dalam tahun 1967 apabila 170,000 anggota tentera China berkhidmat di Vietnam Utara. 1,100 orang tentera China terbunuh sementara 4,200 orang cedera semasa berkhidmat di Vietnam Utara.

Malaysia

Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dengan peperangan di Vietnam, Pengkalan Udara Butterworth digunakan oleh Tentera Australia untuk membolehkan pergerakan udara ke Vietnam. Mulai tahun 1964, Malaysia memberikan latihan kepada hampir 2,900 orang pegawai tentera dan polis Vietnam. Pegawai-pegawai Vietnam dilatih dalam kumpulan 20 hingga 30 orang untuk latihan singkat dalam tindakan cegah pemberontakan yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia. Malaysia juga memberikan sedikit kelengkapan cegah pemberontakan termasuk kenderaan polis dan tentera, di samping bekalan perubatan. Dalam tahun 1967, Malaysia menerima jemputan untuk menghantar 4 orang pakar pembangunan luar bandar untuk program penempatan semula dan pendamaian di Vietnam Selatan. Kumpulan pakar tersebut akan membuat cadangan mengenai keselamatan kampung dan peperangan psikologi. Tetapi Kerajaan Vietnam tidak yakin dengan keberkesanan program yang dijalankan.

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Perang Vietnam http://members.ozemail.com.au/~yeulee/Topical/Hmon... http://www.australiansatwar.gov.au/throughmyeyes/v... http://www.awm.gov.au/encyclopedia/vietnam/statist... http://www.americanwarlibrary.com/vietnam/vwatl.ht... http://www.answers.com/topic/battle-of-ia-drang http://www.asiamaya.com/panduasia/vietnam/e-01land... http://www.bartleby.com/quotations/012004.html http://www.bmj.com/content/336/7659/1482 http://www.country-data.com/frd/cs/laos/la_glos.ht... http://www.users.erols.com/mwhite28/warstat2.htm