Keturunan Long Yunus Perbandingan_Raja_Kelantan_Long_Gaffar_dan_Long_Yunus

Long Yunus (1762-1794)

Long Yunus turut serta dalam rombongan Long Gaffar ke Terengganu. Semasa di Terengganu Long Yunus telah dikahwinkan dengan Tuan Chik Jumat, Chik Puan Balai Dua, anak perermpuan Engku Tenang Wangsa Terengganu. Sebagai membalas jasa di atas kesetiaannya terhadap Long Gaffar, Long Yunus pula telah diberikan kuasa memerintah meliputi kawasan pantai bermula di Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal sehingga Bukit Tanjung (Narathiwat). Walaupun diberikan kuasa memerintah wilayah tersebut, kuasanya adalah terbatas. Kuasa pemerintahan sebenar masih lagi berada di bawah kekuasaan Baginda Long Gaffar yang berpusat di Limbat. Long Yunus tidak boleh menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Baginda Long Gaffar di Limbat. Konsep pembahagian kuasa yang diasaskan oleh Baginda Long Gaffar ini terus diamalkan dan dihormati sehinggalah kemangkatan Long Yunus.

Tengku Muhamad (1794-1800)

Menantu Long Yunus (suami Cik Ku Tuan Nawi) dan putera kepada Sultan Terengganu iaitu Sultan Mansor. Pemerintahannya tidak lama kerana kurang disenangi terutamanya oleh putera sulong Long Yunus iaitu Long Muhamad. Pemerintahan berakhir selepas berjaya dikalahkan oleh Long Muhamad pada 1801.

Long Muhamad (Sultan Muhamad I 1801-1835)

Baginda merupakan putera sulung Long Yunus dan tidak mempunyai anak (digelar Marhom Mandul). Baginda telah mengambil anak Temenggong Long Tan iaitu Long Senik Mulut Merah sebagai anak angkatnya.

Long Jenal (1835-1837)

Adik Long Muhamad (Sultan Muhamad I 1801-1835) dan memakai gelaran Yam Tuan Kelantan.

Long Senik Mulut Merah (1837-1886)

Baginda yang mula-mula sekali memakai gelaran Sultan dan digelar Sultan Muhamad II. Baginda merupakan anak Temenggong Long Tan dan menantu kepada Baginda Long Seri. Pada 1844 Istana Kota Bharu (kemudiannya dikenali sebagai Istana Balai Besar pada zaman Sultan Muhamad IV) telah dibina dengan mengambil tukang-tukang dari Limbat atas arahan Baginda Long Seri. Pada masa pemerintahannya, usaha-usaha bagi melemahkan penguasaan Limbat ke atas Kota Bharu giat dijalankan. Pada masa pemerintahannya juga menyaksikan peningkatan pengaruh Siam, ia dipercayai ada hubung kait dengan cubaan bagi mendapatkan pengiktirafan Siam terhadapnya sebagai pemerintah Kelantan.

Sultan Muhammad II atau Long Senik Mulut Merah ibni al-Marhum Tengku Temenggong Long Tan (Tengku Temenggong Ariya Pahlawan) ibni al-Marhum Sultan Long Yunus (Sultan Kelantan), mempunyai dua orang puteri dan seorang putera;

  1. Tengku Putri atau Long Sulong binti Sultan Muhammad II (Sultan Kelantan) berkahwin dengan Tengku Ahmad atau Sultan Tengah ibni al-Marhum Tengku Muhammad (Pemangku dan Yang di-Pertuan Muda Kelantan, 1795-1800) ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah I (Sultan Terengganu). Tengku Ahmad (Tengah) ialah pemangku Sultan Kelantan sementara menggantikan Tuan Long Ghaffar yang masih muda berumur sembilan tahun semasa kemangkatan ayahandanya Sultan Muhammad II) dan bukan putera Sultan Muhammad II, baginda adalah putera Tengku Muhammad Terengganu, menantu Sultan Muhammad II
  2. Tengku Putri Che’ atau Engku Na Nik (Tengku Raja Patani) binti al-Marhum Sultan Muhammad II (Sultan Kelantan) berkahwin dengan Tengku Besar Long Puteh (Raja Patani)
  3. Tuan Long Ghaffar (Tengku Petra Dalam Kebun) ibni al-Marhum Sultan Muhammad II (pewaris tahta yang sah)