Pengisytiharan Perkahwinan

Penyerta-penyerta dalam perkahwinan biasanya mencari pengakuan sosial untuk hubungan mereka, dan banyak masyarakat memerlukan kebenaran rasmi daripada badan agama atau sivil. Oleh itu, ahli sosiologi membezakan antara upacara perkahwinan yang dilakukan di bawah naungan agama, dan perkahwinan sivil yang diberi kebenaran oleh negara.

Di dalam banyak bidang kuasa, upacara perkahwinan sivil berlaku pada masa yang sama dengan perkahwinan agama, walaupun kedua-dua itu adalah berasingan secara teori. Dalam kebanyakan negara Amerika, paderi atau pihak berkuasa agama menjalani upacara perkahwinan, dan dalam kes tersebut, pihak berkuasa agama bertindak serentak sebagai ejen untuk negara. Dalam sebilangan negara yang lain seperti Perancis, Jerman dan Rusia, perkahwinan harus dibenarkan oleh negara sebelum upacara agama boleh diadakan. Sebilangan negara membenarkan perkahwinan sivil untuk keadaan yang tidak dibenarkan oleh banyak agama, seperti perkahwinan sama jantina atau kesedudukan sivil, dan perkahwinan boleh disahkan hanya melalui kuat kuasa undang-undang seperti dalam perkahwinan common law yang merupakan pengisytiharan kehakiman bahawa dua orang yang tinggal sebagai pasangan rumah tangga adalah berhak untuk kesan-kesan perkahwinan. Sebaliknya, terdapat juga orang-orang yang mempunyai upacara agama yang tidak diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil. Contoh-contohnya termasuk:

  • balu-balu yang akan menghilangkan pencennya jika dia berkahwin semula
  • pasangan homoseksual
  • sebilangan taifah yang mengiktirafkan poligami
  • pasangan bersara yang akan menghilangkan manfaat pencen jika berkahwin semula secara undang-undang
  • lelaki Islam yang ingin mengamalkan poligami yang dibiarkan berlaku dalam sesetengah keadaan di bawah agama Islam
  • pendatang yang tidak ingin menarik perhatian pihak berkuasa imigresen tentang perkahwinannya kepada pasangan yang telah ditinggalkan di tempat asalnya ataupun kerumitan undang-undang imigresen yang menyusahkan pasangannya untuk melawatnya dengan visa pelancong.

Secara tradisi di Eropah, pejabat gereja-gereja merasmikan perkahwinan melalui pendaftaran. Oleh itu, pengenalan Zivilehe (perkahwinan sivil) oleh Canselor Otto von Bismarck pada tahun 1875 merupakan satu langkah yang penting untuk memisahkan dengan jelas gereja daripada negara serta untuk melemahkan, secara terancang, peranan gereja Kristian dengan berkesan. Undang-undang ini mewajibkan pengisytiharan perkahwinan di hadapan seorang kerani kerajaan daripada pentadbiran sivil (kedua-dua pasangan berikrar tentang kesudian untuk berkahwin) sebagai prosedur untuk mengesahkan perkahwinan dari segi undang-undang dan oleh itu, mengurangkan perkahwinan yang dirasmikan oleh paderi menjadi hanya sebuah upacara peribadi.