Pembiayaan Pertubuhan_Bangsa-Bangsa_Bersatu

Kompleks Pusat Antarabangsa Vienna di Austria. Pejabat-pejabat PBB mengambil sebahagian besar daripada kompleks ini.

Sistem PBB dibiayai dengan dua cara, iaitu sumbangan taksiran dan sumbangan suka rela daripada ahli-ahli negara. Perhimpunan Agung meluluskan peruntukan yang biasa dan menentukan taksiran untuk setiap ahli. Secara umumnya, taksiran ini berdasarkan keupayaan relatif setiap negara, sebagaimana yang diukur oleh statistik pendapatan negara, bersama-sama dengan faktor-faktor yang lain. Peruntukan setiap dua tahun untuk PBB dan agensi-agensi khasnya dibiayai oleh sumbangan taksiran.

Perhimpunan Agung telah mewujudkan prinsip bahawa PBB harus tidak terlalu bergantung kepada mana-mana satu ahli dalam pembiayaan operasinya. Oleh itu, PBB mengenakan had maksimum untuk sumbangan taksiran bagi peruntukan biasa. Pada Disember 2000, Perhimpunan menyemak semula skala taksirannya untuk membayangkan keadaan dunia yang terkini. Antara perubahan daripada penyemakan itu, had maksimum diturunkan daripada 25% ke 22%. Amerika Syarikat merupakan ahli yang tunggal yang mencapai had maksimum ini, tetapi ia masih menunggak bayaran sebanyak beratus-ratus juta dolar (sila lihat: Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di bawah skala taksiran yang diamalkan pada tahun 2000, penyumbang-penyumbang utama (selain Amerika Syarikat) untuk peruntukan PBB yang biasa bagi tahun 2001 adalah seperti berikut: Jepun (19.63%), Jerman (9.82%), Perancis (6.50%), United Kingdom (5.57%), Itali (5.09%), Kanada (2.57%), Sepanyol (2.53%), dan Brazil (2.39%).

Rancangan-rancangan untuk agensi-agensi PBB yang khas (seperti UNICEF, UNDP, UNHCR, dan WFP) tidak termasuk dalam peruntukan biasa, dan dibiayai secara suka rela oleh kerajaan ahli-ahli. Sehingga tahun 2001, sumbangan ini daripada Amerika Syarikat sahaja dianggarkan berhampiran AS$1.5 bilion pada jumlahnya. Sebahagian daripada ini adalah dalam bentuk barangan pertanian yang diderma kepada penduduk-penduduk yang menderita, tetapi sebahagian besarnya masih merupakan sumbangan dalam bentuk wang.