Kerjaya Puteri_Balqis

2009–2011: Permulaan kerjaya dan penglibatan awal

Bakat Puteri Balqis dikesan selepas beliau menjalani uji bakat ketika berusia dua tahun.[3] Semuanya bermula ketika ibu bapanya dihampiri ejen pencari bakat di Uptown Shah Alam di mana ibu bapanya berniaga di situ.[3] Selepas berjaya dalam uji bakat, Balqis terus ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam sebuah drama. Bakat beliau diwarisi daripada arwah datuknya, Mohd Aziz Arifin yang lebih dikenali sebagai Ken Arifin yang seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa zaman kegemilangan filem-filem Melayu di Studio Jalan Ampas.[3]

Balqis juga memasang angan-angan untuk mencipta nama di Hollywood dan menjadikan bintang Hollywood terkenal iaitu Dakota Fanning dan Natalie Portman sebagai idolanya dalam bidang lakonan.[3] Tidak ketinggalan, Tan Sri P. Ramlee. Pada masa sama, Balqis banyak berguru ilmu lakonan dengan barisan pelakon senior di lokasi seperti Erma Fatima dan Ellie Suriati.[3]

Balqis membuat kemunculan pertamanya di layar kaca pada 2011, dengan memegang peranan kecil dalam siri televisyen Gemilang lakonan Tiz Zaqyah, Kamal Adli dan Shahz Jaszle.

2012–2014: Kejayaan awal dan kemenangan anugerah

Selepas Gemilang berakhir, pada 2012, beliau melakonkan peranan kecil sebagai Tengku Murni dalam drama Bicara Hati bersama pelakon utamanya, Sharnaaz Ahmad dan Cristina Suzanne Stockstill. Seterusnya, beliau melakonkan watak Zara dalam drama romantik TV3, Cinta Itu Milikku lakonan Fazren Rafi dan Emma Maembong.[4]

Pada November 2012, menerusi watak Bobok lakonannya dalam telefilem Pelarian, Balqis memenangi Anugerah Skrin ke-16 menerusi Anugerah Bintang Harapan Pantene. Lakonannya sebagai Amira dalam telefilem penghargaan khas kepada P. Ramlee, Di Mana Kan Ku Cari Ganti di TV1 telah melayakkan Balqis menerima pencalonan bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah P. Ramlee yang julung kalinya diadakan pada tahun berikutnya.[5]

Penampilan sulung Balqis di layar lebar hadir pada 6 Disember 2012 apabila beliau berlakon dalam filem komedi romantik arahan Rusli Khadri, Strawberi Cinta yang mana Balqis memegang watak Ichigo yang berusia 6 tahun. Filem ini dibintangi oleh Pierre Andre dan Yana Samsudin. Beliau muncul pula dalam filem aksi seni mempertahankan diri 1 Lawan Satu[6] arahan Pierre yang mana beliau memegang watak sebagai adik kepada Radhi lakonan Mikail Andre yang bernama Sara, yang sakit tenat akibat penyakit leukemia. Filem yang turut dibintangi oleh Azlan Komeng, Along Eyzendy dan Fyza Kadir ini ditayangkan pada 27 Jun 2013 [6] dan mendapat sambutan meskipun berdepan dengan kegagalan komersial.[6]

Pada Januari 2014, Balqis melakonkan watak dirinya sendiri dalam telefilem yang menggunakan namanya sebagai judul arahan pelakon veteran Erma Fatima, lakonan Nabila Huda dan Pekin Ibrahim yang bersiaran pada 19 Januari di TV3, telefilem ini melayakkan Balqis meraih kemenangan besar di Anugerah Skrin ke-18 bagi Pelakon Wanita Terbaik Drama.[7] Kemenangannya sekali gus memperlihatkan Balqis menjadi pelakon wanita termuda yang memenangi kategori berkenaan dan menewaskan nama besar dalam kategori tersebut iaitu Normah Damanhuri, Nad Zainal dan Melly Amelin.[7][8] Di Anugerah Televisyen Asia 2014 yang diadakan di Singapura, Balqis memenangi[9] Pelakon Wanita Terbaik sekaligus turut mengalahkan finalis lain terutama aktres Joan Chen yang sudah lama mencipta nama dalam filem Hollywood seperti The Last Emperor dan Judge Dredd. Malah, kemenangannya turut membuka mata banyak pihak.[10]

2015–kini: Halfworlds dan perkembangan terkini

Pada November 2015, Balqis menjadi pelakon kanak-kanak pertama yang menghiasi Slot Akasia TV3 menerusi drama Akulah Balqis arahan Fadzil "Pali" Yahya.[11]

Selepas memenangi Anugerah Televisyen Asia 2014 di Singapura, Balqis menerima tawaran dari HBO Asia[12][13] untuk membintangi musim pertama drama fantasi Halfworlds[12] arahan Joko Anwar bersama beberapa pelakon yang terlibat termasuk Bront Palarae, dua pelakon Indonesia, Reza Rahadian dan Adinia Wirasti yang mana penggambarannya dijalankan di Thailand dan Indonesia,[12] Balqis melakonkan watak kanak-kanak perempuan buta yang bernama Tari, drama ini juga memerlukan beliau berkebolehan berbahasa Inggeris.[12][14][15][16]

Balqis memegang watak sebagai Syafiqa dalam filem pendek Kad Raya Syafiqa arahan Khairul Azwan terbitan PTS Media Group. Ia mengisahkan seorang murid bernama Syafiqa dan cikgunya yang bernama Hayati. Syafiqa terdengar perbualan cikgu Hayati bersama ibunya yang memberitahu dia tidak dapat pulang beraya kerana sibuk dengan kerja. Tanpa pengetahuan sesiapa, Syafiqa rupanya mengidap penyakit kanser otak dan meninggal dunia. Sebelum meninggal, Syafiqa sempat membuat sekeping kad raya khas untuk cikgunya.[17]

Pada November 2016, filem kedua lakonannya, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! menemui penonton di pawagam, dalam filem terbitan bersama Les' Copaque Production dan KRU Studios, beliau melakonkan watak Aqish, seorang anak yatim piatu yang meminati Upin & Ipin.[18] Filem yang ditayangkan pada 24 November 2016 turut dibintangi oleh Awie, Remy Ishak, Sara Ali, Gambit Saifullah dan Asyiela Putri sebagai Upin & Ipin.[19]

Pada 2 Disember 2016, Balqis berlakon di samping Janna Nick dan Raja Afiq dalam telefilem Tangisan Izara arahan Shuhaimi Lua Abdullah, yang mana beliau memegang watak Izara.[20]

Beliau diberikan peranan sebagai Aleya dalam siri televisyen Andainya Takdir lakonan bersama Shukri Yahaya dan Nina Iskandar arahan Along Kamaludin yang disiarkan di Slot Samarinda TV3 dari 29 Mei hingga 22 Jun 2017.[21]

Balqis menjayakan peranan Ayesha dalam filem drama biografi romantik arahan Kamal G, Makrifat Cinta lakonan Syamsul Yusof dan Nora Danish yang ditayangkan pada 1 Februari 2018. Ia merupakan filem ketiga lakonan beliau.[22][23] Selain itu, beliau muncul bersama Rosyam Nor, Syamsul Yusof dan Fattah Amin dalam filem KL Special Force arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan pada 8 Mac 2018.[24] Balqis memegang watak sebagai Amirah, anak perempuan Ketua Pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), ASP Roslan yang dilakonkan oleh Rosyam.

Balqis kembali aktif berlakon selepas beberapa bulan terlantar sakit.[25] Beliau menjayakan versi watak kecil protagonis dalam Camelia menerusi watak Camelia/Maryam kepada Diana Danielle yang bersiaran di TV3.

Rujukan

WikiPedia: Puteri_Balqis http://english.astroawani.com/entertainment-news/a... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/puteri-ba... http://beautifulnara.com/14-gambarsekitar-penggamb... http://www.budiey.com/drama-bicara-hati/ http://www.budiey.com/drama-gemilang-bakal-kalahka... http://www.budiey.com/sekitar-pelancaran-drama-cin... http://www.budiey.com/senarai-keputusan-pemenang-a... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.imdb.com/name/nm7386189/ http://www.ohbulan.com/ask-2012-senarai-penuh-peme...