Quipucamayoc Quipu

Quipucamayoc (Bahasa Cusco Quechua: khipu kamayuq yang bermaksud "penguasa khipu") adalah para akauntan Empayar Inca yang mencipta dan menyelesaikan simpulan Quipu. Quipucamayoc boleh melakukan operasi aritmetik asas, seperti penambahan, penolakan, pendaraban, dan pembahagian. Mereka juga boleh merekod aliran cukai, mengesan jenis kerja yang dilakukan, menyimpan rekod pengeluaran ekonomi, menetapkan kalendar dan menjalankan bancian untuk setiap penduduk. Menurut Guaman Poma, Quipucamayoc boleh "membaca" Quipu dengan mata tertutup.

Quipucamayoc terdiri dari kaum lelaki yang berumur antara 50 ke 60 tahun,[3] dan mereka bukanlah satu-satunya golongan yang menggunakan Quipu dalam masyarakat Inca. Ahli sejarah Inca juga dikatakan menggunakan Quipu ketika menceritakan tentang sejarah Empayar Inca kepada orang Sepanyol (tidak diketahui sama ada mereka hanya mencatat nombor penting atau benar-benar mencatat cerita itu sendiri). Golongan muda bangsawan Inca biasanya diajar membaca Quipu di pusat pengajian Inca yang setaraf universiti moden, yacha-huasi (secara harfiah bermaksud "rumah pengajaran") sebagai latihan penting untuk menjadi golongan birokrat.[4]