Racun_kulat
Racun_kulat

Racun_kulat

Racun kulat merupakan bahan kimia yang digunakan untuk membunuh atau mengawal perkembangan kulat patogen. Penggunaan racun kulat amat penting dalam pertanian kerana terdapat banyak penyakit tanaman yang disebabkan oleh kulat patogen. Kulat menjadi punca penyakit tanaman iaitu seperti reput akar, hawar daun, karat, smut dan kulapuk debu.Penyakit berpunca daripada kulat agak sukar dikawal dengan menggunakan bahan kimia kerana perosak ini tidak semestinya terdedah kepada bahan racun yang disembur. Terdapat beberapa masalah mengawal penyakit yang disebabkan oleh kulat atau bakteria. Pertama, kulat hidup pada tumbuhan yang menjadi perumah. Oleh kerana hubungan yang sangat rapat antara kulat dengan perumah, maka ini menyukarkan untuk memperolehi bahan kimia yang membunuh kulat sahaja tanpa mencederakan tanaman. Kedua, miselium kulat tidak hanya terdapat pada permukaan tetapi juga dibahagian dalam tisu tumbuhan. Selalunya semburan racun kulat akan membunuh miselium di bahagian luar sementara miselium di bahagian dalam akan terus membiak. Ketiga, terdapat beberapa jenis kulat yang sukar dikawal kerana kedudukannya di bawah permukaan tanah dan terlindung daripada semburan racun kulat. Kadangkala patogen ini bersifat sistemik dan ia tidak berada di satu tempat sahaja. Patogen boleh bergerak dari satu organ ke satu organ lain dalam tumbuhan. Patogen yang begini sukar dikawal kerana kebanyakan racun kulat bertindak secara sentuhan.