Raja_Ali_bin_Raja_Jaafar

Raja Ali Ibni Raja Ja'afar menjadi Yang Dipertuan Muda Riau ke-8 pada tahun 1844 berikutan kemangkatan saudaranya, Raja Abdul Rahman, Yang Dipertuan Muda ke-7.Pada zaman baginda memerintah, Riau khususnya Pulau Penyengat yang merupakan pulau kediaman Yang Dipertuan Muda menjadi pusat pendidikan agama Islam yang terkenal pada abad ke-19. Raja Ali sendiri ialah seorang raja yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal agama Islam.Baginda telah membina banyak pusat pendidikan Islam dan menjemput para ulama supaya mengajar di Riau. Baginda juga sering meminta nasihat daripada sepupu-sepupu baginda yang mahir dalam ilmu agama terutama Raja Ali Haji, putera Raja Haji Ahmad ibni Raja Haji.Baginda juga melarang rakyatnya bermain judi dan meminum arak serta mengharamkan segala muzik yang melalaikan. Baginda menjalankan undang-undang syariah dan mewajibkan pemakaian tudung dan menghukum mereka yang melalaikan solat terutama Solat Jumaat.Malah baginda juga sering berkunjung ke rumah para pembesar dan rakyatnya untuk bertanyakan keperluan mereka. Sikap baginda yang ramah tanpa mengenal batas umur, pangkat dan agama membuatkan baginda disenangi bukan sahaja oleh rakyat jelata malah juga para pedagang sehingga Riau semakin ramai dikunjungi oleh peniaga-peniaga asing. Orang Belanda juga menyukai Raja Ali kerana sikap sopan dan ramahnya sehingga Belanda menghantar doktor untuk merawat Raja Ali ketika baginda sedang gering.