Biografi Ramanujacharya

Kelahiran

Rāmānujā lahir pada tahun 1017 di kampung Sri Perumbudur, Tamil Nadu. Bapanya ialah Asuri Kesava Dikshita dan ibunya Kantimati. Menurut tradisi, Kesava Dikshita dan Kantimati telah berdoa kepada Dewa Parthasarathy untuk mendapat cahaya mata. Doa mereka terkabul apabila Dewa Parthasarathi muncul dalam mimpi Kesava dan berjanji untuk lahir sebagai anaknya. Sejak kecil, Rāmānujā mempunyai daya pemahaman dan kepintaran yang menakjubkan dalam memahami persoalan falsafah.

Pendidikan awal

Ketika Rāmānujā berusia 16 tahun, bapanya meninggal dunia. Ini mendorong keluarganya untuk berpindah ke Kanchipuram bagi mendapat ketenangan. Di Kanchipuram, beliau menyertai Gurukula Yadava Prakasa, seorang pendeta Advaita yang terkenal. Meskipun pada mulanya Yadava Prakasa amat mengagumi kepintaran Rāmānujā, beliau menjadi risau apabila mendapati kecendurungannya untuk Bhakti. Sering kali, guru dan pelajar sering bercanggah pendapat dalam menafsirkan sastera agama. Akhirnya, khuatir Rāmānujā akan menjadi ancaman kepada fahaman Advaita, Yadava Prakasa bersuhabat dengan beberapa orang pelajarnya untuk membunuhnya. Bagi melaksanakan rancangan jahatnya,Yadava Prakasa membawa pelajar-pelajarnya untuk lawatan ke Ganges. Dalam perjalanan, mereka bercadang untuk membunuh Rāmānujā dan kemudian, menebus dosa dengan mandi di sungai Ganges.

Govinda Bhatta, seorang abang saudara Rāmānujā berjaya mengetahui rahsia Yadava Prakasa dan membantunya untuk melarikan diri. Rāmānujā berjaya kembali ke kampungnya, Kanchi.

Waris Yamunacharya

Rāmānujā seterusnya, menerima Kanchi, seorang alim daripada kasta rendah sebagai gurunya. Atas nasihat Kanchi, Rāmānujā melakukan perkhidmatan membawa air untuk pemujaan harian Varada Raja Perumal.

Sementara itu, nama Rāmānujā telah tersebar luas. Yamunacharya, ketua kuil Sri Rangam, teringin untuk melantik Rāmānujā sebagai penggantinya. Rāmānujā mendapat tahu tentang ini melalui kawannya, Kancipurna. Namun, sebelum beliau sempat berjumpa dengan Yamunacharya, beliau telah meninggal dunia. Apabila Rāmānujā tiba di Sri Rangam, jasad Yamunacharya telah dibawa ke tempat pembakaran mayat. Apabila Rāmānujā bergegas ke tempat pembakaran mayat, beliau mendapati tiga jari kanan jasad itu terlipat dalam genggaman. Beliau memahami bahawaterdapat tiga hajat akhir Yamunacharya yang tidak terkabul. Rāmānujā berikrar bahawa dia akan menunaikan semua hajat itu. Sebaik sahaja beliau melafazkan ikrarnya, ketiga-tiga jari jasad Yamunacharya itu terbuka!

Tiga janji Rāmānujā ialah:

  • Pertama, “Saya akan kekal sebagai seorang Vaishnava dan menulis ulasan Tiruvaimoli oleh Nammalvar.”
  • Kedua, “Saya akan menulis ulasan untuk kitab Brahmasutra.”
  • Ketiga, “Sebagai mengenang Rishi Parasara, penulis Vishnu Purana dan bapa Veda Vyasa, saya akan meninggalkan seorang Vaishnava hebat dengan nama itu.”

Dengan menerima mendiang Yamunacharya sebagai gurunya , Rāmānujā mempelajari falsafah Vishishtadvaita daripada Mahapurna, seorang pelajar Yamanucharya.

Ketua Biara Sri Rangam

Ketika dalam usia 30-an, Rāmānujā menjadi seorang rahib dengan mengambil ikrar rahib di Kanchipuram. Kemudian beliau menerima tanggungjawab sebagai ketua biara Sri Rangam. Dengan ini, bermulalah zaman keemasan mazhab Śri Vaiṣṇava dan falsafah Viśiṣṭādvaita. Rāmānujā memperkenalkan pelbagai aturan dan tradisi pemujaan di kuil. Beliau memeriksa khazanah kuil Sri Rangam, memecat beberapa orang pegawai yang tidak jujur dan melantik pegawai-pegawai baru.

Orang ramai mula melawat Rāmānujā untuk mendapatkan ilmu dan restunya. Ramai orang menjadi pengikutnya dengan mengikuti ajaran Śri Vaiṣṇava . Beliau juga melatih tujuh puluh empat orang yang telah berumah tangga untuk menjadi guru.

Rāmānujā menerima Asthakshari Mantra (Aum Namo Narayanaya) daripada Gosthipurna. Sebelum memberikan Maha Mantra itu, Gosthipurna telah menegah Rāmānujā mendedahkan mantera itu kepada orang-orang yang tidak layak. Peliknya, sebaik sahaja beliau menerima Maha Mantra itu, Rāmānujā memanjat sebuah menara kuil dan melaungkannya dalam khalayak ramai. Apabila disoal oleh Gosthipurna, Rāmānujā mengakui kesalahannya dan menyatakan bahawa beliau sanggup memasuki neraka demi memberikan kebebasan kepada orang lain. Kagum dengan kemuliaan hatinya, Gosthipurna, sujud di hadapannya.

Di Sri Rangam juga, Rāmānujā juga mengajar Tiruvaymoli oleh Nammalvar dan Divya Prabandham bagi memenuhi janjinya kepada Yamunachaya. Usaha Rāmānujā berjaya apabila Divya Prabandham menerima status yang sama seperti sastera Sanskrit.

Rāmānujā merupakan seorang pemimpian dan pentadbir yang hebat. Beliau membahagikan masyarakat Śri Vaiṣṇava kepada tujuh puluh empat kawasan uskup dan setiap satu uskup diketuai oleh seorang Simhāsanādhipati atau seorang alim yang telah berumah tangga. Ketua-ketua uskup ini memainkan peranan penting dalam perkembangan ajaran Viśiṣṭādvaita dalam kalangan penduduk di bawah uskup mereka.

Sri Bhasya

Seperti yang dijanjikannya di depan jasad Yamunacharya, Rāmānujā menulis ulasan Brahmasutras (atau Vedantasutras) oleh Badarayana (Vyasa) menurut falsafah Vaishnavisme. Ulasan ini dikenali sebagai Sri Bhasya. Hasil penulisan ini menjadi asas falsafah Vishishtadvaita. Bagi menghasilkan karya ini, Rāmānujā dan Kuresa, berjalan kaki ke Kashmir, di mana satu-satunya salinan Vṛtti oleh Bodhāyana, iaitu satu ulasan Brahmasutras, masih wujud.

Bagi memenuhi janji ketiganya kepada Yamunacharya, Rāmānujā menamakan anak Kuresa, seorang pengikut setianya sebagai Parasara Bhatta. Beliau juga mengarahkan Parasara Bhatta untuk menulis ulasan Vishnu Sahasranama.

Hijrah ke Melkote

Semasa Rāmānujā berada di Sri Rangam, beliau terpaksa menghadapi ancaman daripada Kulottunga Chola, seorang penganut Shaivisme yang fanatik. Apabila Kulottunga mengarahkan Rāmānujā untuk mengakui kemuliaan Dewa Shiva, Rāmānujā berpindah ke Melkote, berdekatan kota Mysore. Di Melkote, beliau membina sebuah kuil Vishnu (dikenali sebagai Celuvanarayana atau SelvapillaI). Bagi menghargai bantuan penduduk-penduduk kasta rendah yang membantunya untuk mendapatkan arca purva Vishnu yang tertanam di sebuah bukit, Rāmānujā membenarkan mereka untuk memasuki kuil itu untuk tiga hari setiap tahun.

Selepas kemangkatan Kulottunga Chola, Rāmānujā kembali ke biaranya di Sri Rangam. Sebelum itu, beliau menabalkan sebuah patungnya sendiri di kuil Melkote, atas permintaan penduduk tempatan. Sebuah patung Ramanuja juga dipuja di kuil Sri Perumbudur, tempat lahirnya.

Rāmānujā menghabiskan tahun-tahun akhirnya di Sri Rangam. Dalam bulan Māgha (Januari-Februari) 1137 Masihi, Rāmānujā meninggal dunia sambil mendengar bacaan Divya Prabandham. Ketika itu, beliau berumur 120 tahun.