Revolusi_Amerika

Revolusi Amerika merujuk kepada pergolakan politik semasa separuh abad terakhir kurun ke-18 di mana tiga belas koloni Amerika Utara menggulingkan pemerintahan Empayar British dan menolak monarki British untuk menjadi sebuah negara Amerika Syarikat yang bebas. Dalam tempoh ini, pihak koloni pada mulanya menolak kekuasaan Parlimen Great Britain untuk mentadbir mereka tanpa perwakilan, dan membentuk negeri-negeri bebas yang mempunyai pentadbiran sendiri. Negeri-negeri ini kemudian bekerjasama menentang Britain untuk mempertahankan pemerintahan mereka dalam konflik bersenjata dari tahun 1775 hingga 1784 yang dikenali sebagai Perang Revolusi Amerika. Ini melahirkan satu negara yang bersatu, dan berpisah dari empayar pada tahun 1776 dengan Perisytiharan Kemerdekaan yang bukan sahaja menolak pentadbiran Parlimen British tetapi juga kesetiaan kepada monarki British. Selepas perang selama tujuh tahun, kemenangan Amerika di medan perang dicapai pada bulan Oktober 1781, dan Britain memperakui kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1783.Revolusi Amerika termasuk siri perubahan sosial dan intelek yang berlaku dalam masyarakat awal Amerika seperti prinsip republikan dan demokrasi. Kebanyakan isu mengenai pemerintahan negara tidak selesai sehingga Perlembagaan Amerika Syarikat (1787) termasuk Perakuan Hak Amerika Syarikat (1789) digubal menggantikan Artikel Konfederasi. Perlembagaan ini melindungi hak asasi seperti yang diimpikan oleh golongan revolusi republikan. Nilai demokrasi yang semakin kuat juga menyebabkan pergolakan dalam hierarki masyarakat tradisional dan mewujudkan etika yang membentuk nilai teras politik rakyat Amerika.[1]