Sejarah Rom_kuno

Maklumat lanjut: Sejarah Rom dan Garis masa Rom Kuno

Pemerintahan beraja

Rencana utama: Kerajaan Rom
Menurut legenda, Rom diasaskan pada tahun 753 SM oleh Romulus dan Remus yang dibesarkan oleh seekor serigala betina.

Menurut legenda, Rom diasaskan pada 21 April 753 SM oleh Romulus dan Remus, dua anak kembar keturunan Aeneas, putera Troy. [1] Numitor dari Alba Longa, raja Latin, digulingkan oleh Amulius, saudara kandungnya yang zalim dan Rhea Silvia, puteri Numitor, melahirkan Romulus dan Remus. [2][3] Raja baru takut bahawa Romulus dan Remus akan menuntut takhta dan oleh itu, merancang untuk membenamkan mereka ke dalam air sehingga mati. [3] Seekor serigala betina (atau seorang isteri gembala, menurut sesetengah huraian) menyelamatkan serta membesarkan mereka. Apabila mereka cukup tua, mereka mengembalikan takhta Alba Longa kepada Numitor. [4][5]

Romulus dan Remus kemudian mengasaskan kota sendiri, tetapi Romulus membunuh Remus dalam sebuah pergaduhan tentang siapakah yang harus menjadi raja pertama antara tujuh orang raja Rom, serta juga nama siapakah yang harus dipergunakan untuk menamai kota itu. [6] Oleh sebab kota itu tidak mempunyai sebarang perempuan, legenda mengatakan bahawa orang Latin menjemput orang Sabines ke sebuah perayaan dan kemudian mencuri anak-anak dara mereka dan dengan itu, menyepadukan orang Latin dengan orang Sabines. [7]

Kota Rom bertumbuh daripada petempatan-petempatan di sekitar harungan Sungai Tiber yang merupakan persimpangan lalu lintas dan perdagangan. [4] Menurut bukti arkeologi, desa Rom ini mungkin diasaskan pada abad ke-8 SM, walaupun ia mungkin juga diasaskan di atas Bukit Paltine sejak abad ke-10 SM lagi oleh puak Latin dari Itali. [8][9] Orang Etruria yang dahulu menetap di utara Etruria kelihatan memantapkan kedudukan politik mereka di kawasan ini menjelang akhir abad ke-7 dan membentuk sebuah golongan bangsawan dan raja. Mereka jelasnya hilang kuasa di kawasan ini menjelang akhir abad ke-6 dan pada saat ini, puak-puak Latin dan Sabine yang asal merekacipta semula pemerintahan mereka melalui penciptaan sebuah republik, dengan lebih banyak sekatan terhadap kebolehan raja-raja mereka untuk menggunakan kuasa. [10]