Sejarah Ruffedge

Sejarah penubuhan dan anggota asal (1997–2002)

Ruffedge di awal kemunculan

Pada tahun 1997, Cat dan Zain bersama beberapa orang rakan mereka menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Vibe bersempena acara gig hip-hop underground yang pertama di Malaysia pada tahun tersebut di sebuah kelab bernama Shark. (Nama kelab ini kemudiannya ditukar kepada Malibu di mana selepas itu menjadi tapak beberapa siri gig hip-hop terawal di Malaysia, yang menampilkan kemunculan ramai bakat hip-hop dan R&B lagenda seperti Too Phat, Teh Tarik Crew, VE dan ramai lagi). Kemudian Vibe terus mengasah bakat mereka di beberapa acara prom di sekitar Lembah Klang sehinggalah bertemu Azan Addin di salah sebuah pentas yang mereka kongsi bersama Innuendo.

Setelah mengeluarkan ahli yang selebihnya dari Vibe, Cat dan Zain menjemput Azan untuk melatih dan membantu mereka membuat persembahan. Pada waktu itu Azan merupakan penyanyi tambahan Innuendo. Azan bersetuju lalu membawa rakan beliau Azim untuk melengkapkan Vibe sebagai sebuah kumpulan vokal 'quartet'.

Nama kumpulan Vibe disarankan ditukar kepada Ruffedge oleh Azan kerana merasakan nama sesebuah kumpulan itu perlu diasaskan dari karakter kumpulan tersebut. Susunan harmoni Vibe yang disusun oleh Azan menjurus kepada bunyi yang lebih kasar dan mengikut pengaruh kumpulan-kumpulan R&B Hip-hop semasa di Amerika. Perkataan yang ketara muncul pada awal pencarian nama ialah rough namun merasakan 'Ruff' Edge lebih 'catchy' dan mudah disebut sebagai kumpulan muzik. Oleh itu, bermula tahun 1998 kumpulan ini dikenali sebagai RuffEdge.

Mereka menyertai pertandingan carian bakat Sony Battery Face On Talent Search yang pusingan awalnya bermula pada Oktober 1999 dan telah memenangi tempat kedua di pusingan akhir pada 4 Mac 2000.[2] Selepas itu mereka terus aktif dalam arena muzik underground dan diberi peluang menjadi artis jemputan serta penyanyi latar dalam album artis-artis berbahasa Inggeris tempatan dengan barisan anggota yang terdiri daripada:

  1. Farish bin Ramli (Cat), dilahirkan pada 12 Julai 1974, berasal dari Perak
  2. Mohd Kamaruzaman Zain bin Abdul Hamid (Zain), dilahirkan pada 19 April 1978, berasal dari Kuala Lumpur
  3. Azan Addin bin Abdul Wahab (Azan), dilahirkan pada 11 Julai 1974, berasal dari Perak
  4. Syed Mohammad bin Syed Abdullah (Mode), dilahirkan pada 1 Januari 1976, berasal dari Kuala Lumpur

Gandingan bersama V.E (2002–2004)

Album pertama Ruffedge bersama V.E. berjudul Extreme Pleasure dilancarkan pada bulan September 2002 dan mula mendapat perhatian pendengar muzik menerusi lagu dwibahasa Tiada Lagi Cinta. Ruffedge telah diundang mengadakan persembahan di Anugerah ERA 2002 menyampaikan lagu tersebut.[3]

Amer Munawer bin Yusoff atau Amer (dilahirkan pada 6 Oktober 1977, berasal dari Kedah) kemudian menyertai Ruffedge pada tahun 2003 menjadikan bilangan anggota mereka lima orang.

Pada bulan Jun 2003, album bungkusan semula yang diberi judul Extreme Pleasure Extra telah dilancarkan dengan tambahan beberapa lagu baru termasuk lagu kumpulan Black Dog Bone yang digubah semula, Khayalan. Lagu ini berjaya menempatkan Ruffedge dan V.E. sebagai antara bakat baru paling mendapat perhatian penggemar muzik tanahair pada ketika itu, sebaris dengan nama-nama seperti Sarah Raisuddin, Misha Omar, Ezlynn, Waheeda dan Hazami.

Populariti kedua-dua kumpulan ini turut menarik perhatian pengarah filem, Zek Zukry yang kemudiannya menawarkan mereka untuk muncul sebagai cameo dalam sebuah filem muzikal remaja berjudul SH3 The Movie. Filem ini mula menjalani penggambaran pada akhir tahun 2003 dan ditayangkan setahun kemudian.

Era Tipah Tertipu (2004–2005)

Kejayaan Ruffedge diteruskan pada tahun 2004 dengan lahirnya album solo Ruffedge sendiri (tidak lagi bergabung dengan V.E.) yang berjudul Defined pada bulan Mac 2004. Lagu hit utama dari album ini ialah Tipah Tertipu, Bila Rindu dan Goyang.

Sewaktu baru diputarkan di radio, lagu Tipah Tertipu telah diharamkan penyiarannya oleh pihak RTM atas alasan menggunakan bahasa rojak (campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris). Walau bagaimanapun lagu ini tetap mendapat sambutan dari pendengar-pendengar stesen radio swasta dan menjadi antara lagu paling banyak mendapat permintaan untuk ke udara sepanjang tahun 2004.

Pertukaran anggota dan bidang lakonan (2005–2007)

Pada awal tahun 2005, Mode mengundurkan diri untuk menumpukan kepada perniagaan keluarganya. Album bungkusan semula, RE-Defined Platinum Edition yang dilancarkan pada bulan Januari 2005 merupakan album terakhir Mode bersama Ruffedge.

Bagi menggantikan tempatnya, Sein (Syed Hussein bin Syed Mustafa) iaitu bekas ahli kumpulan M.O.B diambil menyertai Ruffedge. Bersama "line-up" terbaru ini, Ruffedge meneruskan perjuangan dalam bidang muzik dengan menghasilkan album ketiga mereka yang diberi judul Ruffera. Album ini menampilkan seratus peratus lagu berbahasa Melayu. Lagu hit utama dari album ini ialah Da' Bomb, Lemas dan Lelaki.

Pada tahun yang sama juga Ruffedge memulakan penggambaran filem Tipah Tertipu The Movie arahan Ahmad Idham di mana kesemua mereka berlakon sebagai watak utama di samping aktres Intan Ladyana. Filem ini telah ditayangkan pada 1 Jun 2006.[4]

Pada awal tahun 2006, Cat pula meninggalkan Ruffedge menjadikan bilangan anggotanya empat orang semula. Cat telah menubuhkan sebuah kumpulan R&B hip-hop baru yang diberi nama The Fabulous Cats.

Pada tahun 2007, Amer dan Sein pula mengundurkan diri.

Selepas itu, anggota Ruffedge terdiri daripada:[5]

  1. Azan Addin b. Abdul Wahab (Azan)
  2. Mohd Kamaruzaman Zain b. Abdul Hamid (Zain)
  3. Irwan Iskandar Abidin (Iwan)
  4. Meor Zulkarnain Mohd. Zamhuri (Nine) (bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz)

Bagaimanapun, line-up terbaru ini tidak berpeluang menghasilkan sebarang album.

Pembubaran dan aktiviti kemudian (2007–2015)

Selepas tahun 2007 nama Ruffedge mula suram berikutan pudarnya pengaruh irama hip-hop. Faktor lain yang memungkinkan keadaan ini ialah perubahan arus muzik tempatan yang mula beralih kepada muzik indie rock. Tidak kurang juga berpunca dari kemasukan lagu-lagu dari Indonesia yang agak bertalu-talu ke stesen-stesen radio tempatan.

Akhirnya selepas tahun 2008 kesemua anggota Ruffedge telah membawa haluan masing-masing. Mode bekerja sebagai arkitek, Azan dan Amer telah menubuhkan kumpulan Al-Mawlid yang menyampaikan lagu-lagu kerohanian manakala Sein dan Zain semakin aktif dalam bidang lakonan dan kerja-kerja belakang tabir dalam dunia perfileman.[6][7]

Cat pula terus menempa kejayaan bersama kumpulan barunya The Fabulous Cats di samping meneruskan kerjaya sebagai penggubah lagu dan penerbit album artis-artis lain serta mencungkil bakat-bakat baru dalam genre muzik hip-hop. Seperti Sein dan Zain, Cat juga aktif menceburi bidang lakonan iaitu dalam drama dan filem.

Pada Mei 2015, Cat Farish mengumumkan akan menghidupkan semula Ruffedge selepas sekian lama menyepi dari kerjaya muzik.[8]

Kemunculan semula (2016–2018)

Pada 25 Oktober 2016, kesemua anggota yang pernah membarisi Ruffedge telah mengadakan pertemuan semula bersama rakan seperjuangan mereka kumpulan V.E bertempat di sebuah cafe terkenal di Kuala Lumpur.[9] Pertemuan tersebut dianjurkan bagi meraikan ulang tahun ke-15 penerbitan album pertama mereka Extreme Pleasure.[10]

Pada tahun 2017, mereka giat membuat persediaan rapi untuk kemunculan semula yang dirancangkan pada awal tahun 2018.[11]

Pada 25 Februari 2018, Ruffedge diundang mengadakan persembahan di majlis perkahwinan pasangan selebriti Fattah Amin dan Nur Fazura. Kemunculan mereka mendendangkan beberapa buah lagu termasuk Bila Rindu, Khayalan dan All My Life telah mendapat perhatian tetamu yang hadir serta warga internet.

Pada 18 Mac 2018 Ruffedge mengadakan persembahan selama dua jam di Movie Animation Park Studio, Ipoh (MAPS) bersempena ulang tahun siri animasi BoboiBoy.

Pada majlis pengumuman senarai lima calon terbaik Anugerah MeleTop Era 2018 (AME2018) di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur selepas hampir 11 tahun membawa haluan karier masing-masing, Ruffedge mengumumkan mereka akan kembali dengan perancangan mengeluarkan lagu baru. Anugerah MeleTop Era telah berlangsung pada 8 April 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan Ruffedge telah tampil mendendangkan medley lagu-lagu hit mereka iaitu Bila Rindu, Lemas, Tipah Tertipu dan Khayalan. Persembahan mereka mendapat sambutan hangat termasuklah pujian dari kalangan selebriti sendiri. Video persembahan mereka yang kemudiannya dimuatnaik ke YouTube telah mendapat lebih tiga juta tontonan.

Pada 2 Mei 2018, Ruffedge mengadakan satu majlis pengumuman khas di Black Box, Publika, Kuala Lumpur. Mereka bakal mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-20 kumpulan mereka yang akan berlangsung pada 4 Ogos depan, yang diberi nama Ruffedge: 20th Anniversary.[12]

Pada 9 Julai 2018, Ruffedge tampil dengan enam anggota (Cat, Azan, Zain, Mode, Sein dan Amer) sebagai artis jemputan dalam rancangan Muzik Muzik 33 membawakan lagu terbaru mereka yang berjudul Seperti Mereka, ciptaan sepenuhnya oleh Azan.

Konsert Ulang Tahun Ke-20 Ruffedge (2018–kini)

Ruffedge mengadakan persembahan di konsert ulang tahun mereka yang ke-20 di KL Live

Bertempat di KL Kive pada malam Sabtu 4 Ogos 2018, telah berlangsung Konsert Ulang Tahun Ke-20 Ruffedge yang juga merupakan konsert sulung kumpulan ini dalam sejarah kerjaya seni mereka.[13] Lebih 3000 peminat telah hadir menyaksikan persembahan mereka. Konsert ini berkemungkinan akan disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records kerana tiket yang dijual secara online telah laris ditempah dalam masa dua jam sahaja. Malah, sejumlah tiket untuk sesi "meet and greet" telah habis dijual dalam masa tiga minit.

Seterusnya pada 6 Oktober 2018, Ruffedge telah mengadakan sebuah konsert khas untuk peminat mereka di Singapura. Konsert ini telah berlangsung di Zepp@BIGBOX Singapore.

Kedua-dua konsert ini telah mendapat perhatian dan liputan besar-besaran daripada pihak media di kedua-dua negara.

Aksi Ruffedge dalam konsert kedua mereka tahun ini yang berlangsung di Singapura

Rujukan

WikiPedia: Ruffedge http://www.astroawani.com/berita-hiburan/ini-10-pe... http://www.gempak.com/artikel/576/sambut-ulang-tah... http://www.myspace.com/ruffedgeruffera http://www.rojakdaily.com/kaw/article/1175/kumpula... http://gambargambarpelik.blogspot.my/2009/09/ruffe... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt...