Ekonomi Rusia

Rencana utama: Ekonomi Rusia

Rusia mengamalkan ekonomi pasaran dan amat kaya dengan sumber alam, terutamanya petroleum dan gas asli. Ekonominya adalah yang ke-10 terbesar di dunia dari segi KDNK nominal dan ke-6 terbesar dari segi pariti kuasa beli. Semenjak awal abad ke-21, penggunaan domestik yang lebih tinggi serta kestabilan politik yang meningkat telah memangkinkan pertumbuhan ekonomi di Rusia. Negara ini menutup tirai tahun 2008 dengan sembilan tahun pertumbuhan berturut-turut dengan purata kadar 7% setahun. Pertumbuhan ekonomi ini banyak didorong oleh perkhidmatan dan barangan bukan dagangan untuk pasaran tempatan, daripada penggalian minyak atau bahan galian dan eksport.[40] Purata gaji di Rusia adalah $640 sebulan pada awal tahun 2008, iaitu naik $80 pada tahun 2000.[56] Kira-kira 13.7% orang Rusia hidup di bawah ambang kemiskinan negara pada tahun 2010,[57]kesusutan besar dari 40% sewaktu kemuncak kemelut ekonomi pasca-Soviet pada tahun 1998.[58] Kadar pengangguran di Rusia adalah 6% pada tahun 2007, iaitu turun 12.4% pada tahun 1999.[59] Golongan menengah telah tumbuh dari hanya 8 juta orang pada tahun 2000, kepada 55 juta orang pada tahun 2006.[60]

Ekonomi Rusia sejak berakhirnya Kesatuan Soviet

Minyak, gas asli, logam, dan kayu balak menyumbangkan lebih 80% eksport Rusia ke luar negara.[40] Bagaimanapun, sejak 2003, kepentingan eksport sumber alam kepada ekonomi mula merosot kerana pasaran tempatan makin kukuh. Walaupun harga tenaga lebih tinggi, namun minyak dan gas hanya menyumbangkan 5.7% KDNK Rusia.[61] Pendapatan eksport minyak membolehkan Rusia meningkatkan rizab asingnya dari $12 bilion pada tahun 1999 hingga $597.3 bilion pada 1 Ogos 2008, menjadikannya rizab tukaran asing ketiga terbanyak di dunia.[62] Dasar makroekonomi di bawah Menteri Kewangan Alexei Kudrin diakui cermat dan kukuh, dengan lebihan pendapatan disimpan dalam Dana Penstabilan Rusia.[63] Pada tahun 2006, Rusia membayar balik kebanyakan hutang asing yang dahulu benar-benar di keliling pinggangnya,[64] sehingga ia tinggal dengan antara hutang asing yang terendah di kalangan negara-negara ekonomi besar.[65] Dana Penstabilan ini membantu Rusia bangkit daripada krisis kewangan global dalam keadaan yang lebih sihat daripada yang dijangka oleh ramai pakar.[63]

Undang-undang cukai yang lebih ringkas dan diperkemas sejak tahun 2001, mengurangkan beban cukai ke atas rakyat sambil meningkatkan pendapatan negara secara mendadak.[66] Rusia mengenakan kadar cukai rata sebanyak 13%, menjadikannya negara yang sistem cukai peribadi yang kedua paling menarik untuk pengurus tunggal di dunia selepas Emiriah Arab Bersatu.[67] Menurut Bloomberg, Rusia dianggap agak di hadapan kebanyakan negara kaya sumber yang lain dari segi pembangunan, dengan sejarah yang lama sekali dalam pendidikan, sains dan perindustrian.[68] Negara ini lebih ramai lepasan pendidikan tinggi berbanding mana-mana negara lain di Eropah.[69]

Perkembangan ekonomi negara agak tidak sama rata dari segi geografi. Kawasan Moscow menyumbangkan kongsian KDNK negara yang besar sekali.[70] Satu lagi masalah ialah pemodenan prasarana yang makin menua dan serba kekurangan setelah bertahun-tahun terbiar tanpa jagaan pada 1990-an; kerajaan mengumumkan bahawa $1 trilion akan dilaburkan dalam pembangunan prasarana menjelang tahun 2020.[71]

Pertanian

Padang Rai, oleh Ivan Shishkin. Rusia ialah negara pengeluar utama di dunia bagi tanaman rai, barli, gandum kuda, ot dan biji bunga matabari, dan gandum.

Jumlah keluasan tanah pertanian di Rusia dianggarkan adalah 1,237,294 km2 pada tahun 2005, iaitu yang keempat terbesar di dunia.[72] Pada tahun 1999–2009, sektor pertanian Rusia menunjukkan pertumbuhan beransur-ansur,[73] sehingga ia menjadi pengimport bijian kepada pengeksport bijian ketiga terbesar selepas Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.[74] Pengeluaran daging pula tumbuh dari 6,813,000 tan pada tahun 1999, hingga 9,331,000 tan pada tahun 2008.[75]

Pemulihan sektor pertanian ini disokong oleh dasar kredit kerajaan yang membantu para petani kecilan dan ladang-ladang korporat swasta besar yang dahulunya merupakan kolkhoz Soviet dan masih memiliki sebahagian besar tanah pertanian.[76] Ladang besar tertumpu pada pengeluaran bijian dan hasil ternak, manakala ladang rumah tangga kecil pula menghasilkan sebahagian besar hasil tanaman kentang, sayur-sayuran dan buah-buahan.[77]

Dengan jalan masuk ke tiga lautan dunia, iaitu Atlantik, Artik dan Pasifik, sektor perikanan Rusia adalah sebuah pembekal utama kepada bekalan ikan sedunia. Jumlah tangkapan ikan pada tahun 2005 ialah 3,191,068 tan.[78] Eksport dan import ikan dan hasil laut banyak meningkat akhir-akhir ini, masing-masing mencatat $2,415 juta dan $2,036 juta pada tahun.[79]

Tenaga

Rusia ialah sebuah pembekal petroleum dan gas utama ke Eropah.

Baru-baru ini, Rusia sering disifatkan oleh pihak media sebagai sebuah kuasa terbesar tenaga.[80][81] Negara ini menyimpan rizab gas asli yang terbanyak,[82] rizab petroleum yang kelapan terbanyak,[83] dan rizab arang yang kedua terbanyak di dunia.[84] Rusia ialah negara pengeluar[85] dan pengeksport gas asli[86] nombor satu di dunia, dan juga pengeksport petroleum [87] kedua terbesar dan pengeluar petroleum[88] terbesar, walaupun terpaksa merebut gelaran pengeluar minyak nombor satu dengan Arab Saudi sepanjang masa.Russia merupakan pengeluar elektrik yang ketiga terbesar[89] dan pengeluar tenaga boleh baharu yang kelima terbesar di dunia berkat kemajuan pengeluaran hidroelektrik di negara.[90] Loji kuasa hidro yang besar melata-lata dibina di Rusia Eropah sepanjang sungai-sungai besar seperti Sungai Volga. Rusia Asia juga tidak kurang stesen jana kuasa besar, tetapi potensi hidroelektrik yang besar di Siberia dan Timur Jauh masih kurang dieksploitasi.

Rusia merupakan negara pertama yang membangunkan kuasa nuklear awam serta membina loji kuasa nuklear yang pertama di dunia. Kini, negara ini merupakan pengeluar tenaga nuklear keempat terbesar,[91] di mana semua kuasa nuklear di Rusia diuruskan oleh Perbadanan Negara Rosatom. Sektor ini berkembang pesat dengan tujuan meningkatkan jumlah kongsian tenaga nuklear dari 16.9% sekarang ke 23% menjelang tahun 2020.

Pengangkutan

Penanda kilometer 9288, di hujung Landasan Trans-Siberia di Vladivostok.

Pengangkutan rel di Rusia banyak dikawal oleh monopoli syarikat milik negara, Perkhidmatan Kereta Api Rusia yang menyumbangkan lebih 3.6% KDNK Rusia serta menguruskan 39% jumlah trafik barang angkutan (termasuk talian paip) dan lebih 42% trafik penumpang.[92] Jumlah kepanjangan landasan kereta api kegunaan umum mencecah 85,500 km,[92] iaitu yang kedua terpanjang di dunia selepas Amerika Syarikat. Lebih 44,000 km landasan telah dielektrikkan,[93] iaitu jumlah yang terbesar di dunia; selain itu terdapat landasan-landasan pengangkut bukan am yang sepanjang lebih 30,000 km. Berbeza dengan negara-negara lain, landasan kereta api di Rusia memakai tolok lebar 1,520 mm (4 kaki 11 27⁄32 in), kecuali landasan 957 km yang memakai tolok 1,067 mm (3 kaki 6 in) di Pulau Sakhalin. Landasan kereta api yang paling terkenal di Rusia ialah Trans-Siberia (Transsib) yang meliputi tujuh zon waktu dan menyediakan khidmat-khidmat perjalanan sehala tanpa henti yang terpanjang di dunia, iaitu Moscow-Vladivostok (9,259 km, 5,753 mi), Moscow–Pyongyang (10,267 km, 6,380 mi)[94] dan Kiev–Vladivostok (11,085 km, 6,888 mi).[95]

Pada tahun 2006, Rusia mempunyai jalan raya berjumlah 33,000 km, yang mana 755,000 km berturap.[96] Dengan keluasan tanah yang begitu besar, kepadatan jalan raya di Rusia adalah yang terendah di kalangan negara-negara G8 dan BRIC.[97]

Jalan air pedalaman di Rusia yang sebanyak 102,000 km kebanyakannya terdiri daripada sungai atau tasik semula jadi. Di bahagian Eropah negara ini, lembangan-lembangan sungai utama dihubungkan oleh serangkaian saliran. Ibu negara Rusia, Moscow, diberi timangan "the port of the five seas" kerana ada sambungan jalan air ke laut-laut Baltik, Putih, Kaspia, Azov dan Hitam.

Antara pelabuhan-pelabuhan laut utama di Rusia ialah Rostov-on-Don di Laut Azov, Novorossiysk di Laut Hitam, Astrakhan dan Makhachkala di Laut Kaspia, Kaliningrad dan St Petersburg di Laut Baltik, Arkhangelsk di Laut Putih, Murmansk di Laut Barents, Petropavlovsk-Kamchatsky dan Vladivostok di Lautan Pasifik. Pada tahun 2008, Rusia memiliki 1448 buah kapal marin saudagar. Satu-satunya armada kapal pemecah ais nuklear di dunia memajukan eksploitasi ekonomi di pentas benua Rusia Artik serta perkembangan perdagangan laut melalui Laluan Laut Utara antara Eropah dan Asia Timur.

Yamal, salah sebuah kapal pemecah ais nuklear Rusia (Galeri).

Dari segi jumlah kepanjangan talian paip, Rusia di tempat kedua mengekori Amerika Syarikat. Kini, perojek-projek talian paip baru sedang dizahirkan, termasuk talian-talian paip gas asli Arus Utara dan Arus Selatan ke Eropah, dan Talian paip minyak Siberia Timur–Lautan Pasifik (ESPO) ke Timur Jauh Rusia dan China.

Rusia mempunyai 1216 buah lapangan terbang;[98] yang paling sibuk ialah Sheremetyevo, Domodedovo, dan Vnukovo di Moscow, dan Pulkovo di St Petersburg. Jumlah kepanjangan talian udara di Rusia mencecah 600,000 km.[99]

Biasanya, bandar-bandar utama di Rusia dilengkapi sistem pengangkutan awam yang maju dan pelbagai, yang mana kaedah pengangkutan yang menjadi pilihan ialah bas, bas troli and tram. Tujuh bandaraya di Rusia, iaitu Moscow, St. Petersburg, Nizhny Novgorod,Novosibirsk, Samara, Yekaterinburg dan Kazan, mempunyai sistem landasan bawah tanah (metro), sementara bandaraya Volgograd menampilkan metrotram. Jumlah kepanjangan landasan metro di Rusia ialah 465.4 km. Metro Moscow dan Metro St. Petersburg adalah yang tertua di Rusia, masing-masing dibuka pada tahun 1935 dan 1955. Kedua-dua metro ini adalah sistem metro yang terlaju dan tersibuk di dunia, apatah lagi terkenal kerana hiasan yang menarik dan reka bentuk yang unik dalam stesen, satu tradisi yang nyata sekali dalam stesen-stesen metro dan kereta api Rusia.

Sains dan teknologi

Sains dan teknologi di Rusia mekar sejak Zaman Kesedaran, apabila Tsar Pyotr Agung menubuhkan Akademi Sains Rusia dan Universiti Negara St. Petersburg, manakala seorang polymath bernama Mikhail Lomonosov mengasaskan Universiti Negara Moscow, untuk membuka laluan kepada tradisi mengejar ilmu dan inovasi yang utuh. Pada abad ke-19 dan ke-20, negara ini melahirkan ramai sekali ahli-ahli sains dan pencipta yang tersohor.

Mikhail Lomonosov, seorang polymath (ahli sains, pencipta, pemuisi dan pelukis)

Aliran fizik Rusia bermula dengan Lomonosov yang mengusulkan hukum keabadian jirim yang mendahului hukum keabadian tenaga. Antara hasil penemuan dan reka cipta Rusia dalam bidang fizil ialah arka elektrik, hukum elektrodinamik Lenz, kumpulan ruang hablur, sel fotoelektrik, radiasi Cherenkov, resonans paramagnet elektron, heterotransistor dan holografi 3D. Laser dan maser dicipta bersama oleh Nikolai Basov dan Alexander Prokhorov, sementara idea tokamak untuk pelakuran nuklear terkawal diperkenalkan oleh Igor Tamm, Andrei Sakharov dan Lev Artsimovich, dan akhir sekali, projek moden ITER yang dianggotai oleh Rusia.

Sejak zaman Nikolay Lobachevsky (seorang Copernicus Geometri yang mempelopori geometri bukan Euclid) dan pendidik terampil Pafnuty Chebyshev, aliran matematik Rusia menjadi antara yang paling berpengaruh di dunia.[100] Antara anak-anak didik Chebyshev ialah Aleksandr Lyapunov yang mengasas teori kestabilan moden, dan Andrey Markov yang mencipta rantai Markov. Pada abad ke-20, para ahli matematik Soviet seperti Andrey Kolmogorov, Israel Gelfand dan Sergey Sobolev, membuat sumbangan hebat kepada pelbagai bidang matematik. Sembilan orang ahli matematik Soviet/Rusia dikurniai Pingat Fields, iaitu anugerah yang paling berprestij dalam bidang matematik. Baru-baru ini, Grigori Perelman ditawarkan Anugerah Millennium Prize Problems Clay yang julung sekali kerana berjaya menyelesaikan dugaan Poincaré pada tahun 2002.[101]

Ahli kimia Rusia, Dmitry Mendeleev mencipta jadual berkala, iaitu kerangka utama ilmu kimia moden. Aleksandr Butlerov merupakan salah seorang pereka teori struktur kimia yang memainkan peranan penting dalam bidang kimia organik. Antara ahli biologi Rusia pula ialah Dmitry Ivanovsky yang menemui virus, Ivan Pavlov yang mula-mula sekali bereksperimen dengan pelaziman klasik, dan Ilya Mechnikov selaku perintis penyelidikan sistem imun dan probiotik.

Soyuz TMA-2 dilancarkan dari Baikonur, Kazakhstan, ditumpang oleh kru-kru tetap pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Salah satu hasil reka cipta Rusia ialah kimpalan arka ciptaan Nikolay Benardos yang dibangunkan lagi oleh Nikolay Slavyanov, Konstantin Khrenov dan ramai lagi jurutera Rusia. Gleb Kotelnikov mencipta payung terjun beg galas, sementara Evgeniy Chertovsky memperkenalkan sut tekanan. Alexander Lodygin dan Pavel Yablochkov mempelopori pencahayaan elektrik, manakala Mikhail Dolivo-Dobrovolsky memperkenalkan sistem kuasa elektrik tiga fasa pertama yang laris digunakan pada hari ini. Sergei Lebedev mencipta sejenis getah sintetuk yang berdaya maju secara komersil dan dikeluarkan secara besar-besaran. komputer terner yang pertama, Setun dibangunkan oleh Nikolay Brusentsov.

Pencapaian Rusia dalam bidang teknologi dan penjelajahan angkasa disusur kembali kepada zaman Konstantin Tsiolkovsky, bapa teori austronautik.[102] Hasil kerjanya telah mengilhamkan jurutera-jurutera roket Soviet yang terunggul seperti Sergey Korolyov, Valentin Glushko dan ramai lagi yang menjayakan program angkasa Soviet sejak awal Perlumbaan Angkasa. Pada tahun 1957, satelit buatan manusia pertama yang mengorbit Bumi, Sputnik 1, dilancarkan; pada tahun 1961, perjalanan manusia pertama ke angkasa dijayakan oleh Yuri Gagarin; ini diikuti oleh banyak lagi perintisan Soviet dan Rusia dalam penjelajahan angkasa, seperti Alexey Leonov selaku orang pertama yang berjalan kaki di angkasa, perayau penjelajahan angkasa pertama, Lunokhod-1, dan stesen angkasa pertama, Salyut 1. Kini, Rusia ialah pelancar satelit terbesar[103] dan satu-satunya penyedia pengangkutan untuk perkhidmatan pelancongan angkasa.

Pada abad ke-20, sebilangan jurutera aeroangkasa terkemuka Soviet yang diilhamkan oleh hasil-hasil penyelidikan Nikolai Zhukovsky, Sergei Chaplygin dan lain-lain, telah mereka ratusan model pesawat tentera dan awam serta menubuhkan beberapa "Biro Pembinaan" yang membentuk sebahagian besar Perbadanan Pesawat Bersatu Rusia. Antara pesawat-pesawat ciptaan Rusia yang terkenal ialah siri Tu kegunaan awam, pesawat pejuang Su dan MiG, helikopter siri Ka dan Mi dan sebagainya.

Antara kereta kebal Rusia yang terkenal ialah T-34, rekaan kereta kebal yang terhebat dalam Perang Dunia Kedua,[104] disusuli model-model berikutnya dalam siri T, termasuklah kereta kebal yang paling banyak dihasilkan dalam sejaran, iaitu T-54/55.[105] AK-47 dan AK-74 oleh Mikhail Kalashnikov merupakan jenis raifal gempur yang terlaris di seluruh dunia, hingga senapang jenis AK lebih banyak dikeluarkan berbanding jumlah semua jenis raifal gempur yang lain.[106]

Sungguhpun dengan segala pencapaian sedemikian, namun sejak akhir zaman Soviet, Rusia ketinggalan dari negara-negara Barat dalam beberapa teknologi, terutamanya yang berkenaan penjimatan tenaga dan pengeluaran barangan penggunaan. Krisis 1990-an menyebabkan sokongan kerajaan kepada sains banyak merosot dan bakat sains beramai-ramai meninggalkan negara itu. Mujurlah pada 2000-an, berkat pertumbuhan ekonomi baru, keadaan sains dan teknologi Rusia melambung kembali.

Rujukan

WikiPedia: Rusia http://www.mercer.com.au/pressrelease/details.htm?... http://www.abc.net.au/news/newsitems/200606/s16612... http://learn.utoronto.ca/Page625.aspx http://www.achtungpanzer.com/panzerkampfwagen-t-34... http://www.aneki.com/students.html http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/24432/An... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/317574/K... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/513251/R...