Geografi Rusia

Topografi Rusia

Rusia ialah negara yang terbesar di dunia; jumlah keluasannya ialah 17,075,400 kilometer persegi (6,592,800 bt2). Terdapat 23 Tapak Warisan Dunia, 40 simpanan biosfera UNESCO,[48] 40 taman negara dan 101 simpanan alam. Ia terletak di antara garis lintang 41° hingga 82° U, dan garis bujur 19° T hingga 169° B.

Rusia kaya sekali dengan asas sumber semula jadi, termasuk simpanan besar kayu balak, petroleum, gas asli, arang, bijih dan sumber-sumber galian yang lain.

Topografi

Jarak perpisahan antara dua titik yang terpanjang di bumi Rusia adalah 8,000 km (4,971 mi) sepanjang garis geodesi. Titik-titik tersebut ialah: sempadan dengan Poland pada Tetanjung Vistula sepanjang 60 km (37 mi) yang memisahkan Teluk Gdańsk dengan Lagun Vistula; dan yang paling jauh di tenggara di Kepulauan Kuril. Jarak perpisahan terjauh sepanjang garis bujur pula 6,600 km (4,101 mi) sepanjang garis geodesi, dari Tetanjung Vistula di barat hingga Pulau Diomede Besar di timur. Persekutuan Rusia meliputi sembilan zon waktu.

Gunung Elbrus, puncak tertinggi di kawasan Kaukasus, Rusia dan Eropah

Kebanyakan bumi Rusia terdiri daripada dataran terbentang luas yang dikuasai oleh steppe di selatan dan hutan di utara, serta tundra di sepanjang pantai utara. Rusia memiliki 10% jumlah tanah suai tani di dunia.[49] Banjaran gunung terletak sepanjang sempadan selatan, seperti Kaukasus (termasuk Mount Elbrus, iaitu puncak tertinggi di Rusia dan Eropah pada 5,642 m (18,510 ka)) dan Altai (termasuk Mount Belukha, iaitu puncak tertinggi di Siberia di luar Timur Jauh Rusia pada 4,506 m (14,783 ka)); dan juga di rantau timur, seperti Banjaran Verkhoyansk atau gunung-gunung berapi di Semenanjung Kamchatka (termasuk Klyuchevskaya Sopka, iaitu gunung berapi hidup yang tertinggi di Eurasia dan puncak tertinggi Rusia Asia pada 4,750 m (15,584 ka) atas paras laut). Pergunungan Ural yang kaya dengan sumber galian, membentuk banjaran utara-selatan yang menandai sempadan benua Eropah dan Asia.

Kepanjangan garis tepi pantai seluruh Rusia berjumlah 37,000 km (22,991 mi) sepanjang Lautan Artik dan Pasifik, di samping juga laut-laut Baltik, Azov, Hitam san Kaspia.[40] Laut-laut Barents, Putih, Kara, Laptev, Siberia Timur, Chukchi, Bering, Okhotsk, dan Jepun berhubung dengan Rusia melalui lautan-lautan Artik dan Pasifik. Antara pulau-pulau utama di Rusia ialah Novaya Zemlya, Tanah Franz Josef, Severnaya Zemlya, Kepulauan Siberia Baru, Pulau Wrangel, Kepulauan Kuril, dan Sakhalin. Kepulauan Diomede (satu dikuasai oleh Rusia, satu lagi oleh A.S.) hanya terpisah 3 km (1.9 mi), dan Pulau Kunashir terletak kira-kira 20 km (12.4 mi) dari Hokkaidō, Jepun.

Tanah Tinggi Rusia Tengah dekat Zaraysk, Wilayah Moscow

Rusia mempunyai ribuan sungai dan jasad air tawar pedalaman yang membekalkannya salah sebuah sumber air permukaan yang terbesar di dunia. Jasad air tawar yang terbesar dan terpenting di Rusia ialah Tasik Baikal, iaitu tasik air tawar yang terdalam, terjernih, tertua dan terluas di dunia.[50] Tasik Baikal sahaja mengandungi lebih satu perlima air permukaan tawar sedunia.[12] Tasik-tasik besar yang lain termasuk Ladoga dan Onega, dua tasik terbesar di Eropah. Rusia mengekori Brazil sahaja dari segi isipadu jumlah sumber air boleh baharu. Daripada 100,000 batang sungai di Rusia,[51] Sungai Volga adalah yang paling terkenal, bukan sahaja kerana ia sungai terpanjang di Eropah, malah memainkan peranan penting dalam sejarah Rusia.[40] Sungai-sungai Ob, Yenisey,Lena dan Amur di Siberia juga adalah antara sungai terpanjang di dunia.

Iklim

Hutan Taiga pada musim sejuk di Wilayah Arkhangelsk

Kebesaran bumi Rusia dan betapa jauhnya banyak kawasan dari laut menyebabkan negara dikuasai oleh iklim kebenuaan lembap yang menonjol di seluruh negara kecuali kawasan tundra dan tenggara terjauh. Kawasan pergunungan di selatan menghalang aliran jisim udara yang hangat dari Lautan Hindi, sementara dataran di barat dan utara mendedahkan negara kepada pengaruh Artik dan Antartik.[52]

Sebahagian besar Rusia Eropah Utara dan Siberia mempunyai iklim subartik dengan musim sejuk yang melampau di kawasan pedalaman Siberia Timur Laut (terutamanya Republik Sakha, di mana terletaknya Kutub Kesejukan Utara dengan suhu terendah −71.2 °C atau −96.2 °F*), tetapi lebih sederhana di tempat lain. Jaluran tanah di sepanjang pesisiran Lautan Artik dan juga kepulauan Artik Rusia mengalami iklim kutub.

Bahagian pantai Jajahan Krasnodar di Laut Hitam, terutamanya di bandar Sochi, mengalami iklim subtropika lembap dengan musim sejuk yang sederhana dan lembap. Di sebahagian besar Siberia Timur dan Timur Jauh, musim sejuknya lebih kering daripada musim panas, manakala tempat-tempat lain menerima kerpasan yang lebih sama-rata di setiap musim. Kerpasan musim sejuk di sebahagian besar negara lazimnya turun dalam bentuk salji. iklim separa gersang dialami di kawasan di sepanjang Volga Hilir dan pantai Laut Kaspia, serta beberapa tempat di Siberia paling selatan.

A birch forest in Novosibirsk. Birch is anational tree of Rusia.

Di sebahagian besar bumi Rusia hanya terdapat dua musim yang ketara, iaitu musim sejuk dan musim panas; musim bunga dan luruh pula merupakan kala perubahan yang singkat antara suhu teramat rendah dan suhu teramat tinggi.[52] Bulan tersejuk ialah Januari (atau Februari di tepi pantai), manakala yang terpanas ialah Julai. Memang biasa julat suhu begitu besar. Pada musim sejuk, suhunya makin sejuk dari selatan ke utara, dan dari barat ke timur. Musim panasnya juga agak panas, walaupun di Siberia.[53] Kawasan yang paling kering ialah pedalaman benua.

Biodiversiti

Beruang perang ialah satu personifikasi yang popular bagi Rusia, terutamanya di negara Barat.

Dataran Eropah Timur, juga dikenali sebagai Dataran Rusia, dilitupi dengan secara jujukan (dari utara ke selatan) tundra Artik, hutan konifer (taiga), hutan campur dan daun lebar, padang rumput (steppe), dan separa gurun (dekat Laut Kaspia), kerana perubahan dalam vegetasi mencerminkan perubahan dalam iklim. Siberia juga serupa jujukannya tetapi lebih dikuasai taiga. Rusia mempunyai kawasan hutan simpan terbesar di dunia yang bergelar "paru-paru Eropah",[54] dan keda terbesar di dunia selepas hutan hujan Amazon dari segi karbon dioksida yang diserapnya.

Di Rusia terdapat 266 spesies mamalia dan 780 spesies burung yang dikenal pasti. Sejumlah 415 spesies haiwan telah disenaraikan dalam Buku Data Merah Persekutuan Rusia pada tahun 1997[55] dan kini dilindungi di sisi undang-undang.

Rujukan

WikiPedia: Rusia http://www.mercer.com.au/pressrelease/details.htm?... http://www.abc.net.au/news/newsitems/200606/s16612... http://learn.utoronto.ca/Page625.aspx http://www.achtungpanzer.com/panzerkampfwagen-t-34... http://www.aneki.com/students.html http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/24432/An... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/317574/K... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/513251/R...