Kebudayaan Rusia

Rencana utama: Kebudayaan Rusia

Rusia yang pelbagai etnik sememangnya menikmati kepelbagaian budaya. Setiap etnik mempunyai adat resam, pakaian dan masakan tradisional masing-masing. Terdapat lambang kebudayaan tradisional yang menjadi lambang utama jati diri atau stereotaip Rusia, seperti topi panas ushanka, anak patung matryoshka, seni bina tersendiri yang menonjol di kota-kota besar, dan persembahan balet besar-besaran yang tersebar ke seluruh dunia.

Seni dan sastera

Gereja Besar St. Basil di Moscow, maha karya seni bina Rusia yang menonjol dengan hiasan warna-warni, bumbung tenda dan kubah bawang.

Rusia sememangnya terkenal dengan seni bina tradisional yang berhias warna-warni dan berbumbung tenda[147] atau kubah bawang[148] kesan pengaruh Empayar Byzantium dan zaman Pembaharuan dari Eropah Barat.

Seni lukis Rusia bermula dengan seni fresko pengaruh Byzantium, kemudian dimodenkan dengan penubuhan Akademi Sains Rusia yang melahirkan ramai pelukis potret seperti Ivan Argunov, Karl Briullov, dan Alexander Ivanov yang terkenal.[149] Ini disusuli pula oleh kebangkitan seni avant-garde pada 1890-an hingga 1930-an, apabila penguasaannya diambil alih oleh realisme sosialis atas tekanan kerajaan Soviet.

Rusia juga tidak kurang hebatnya dalam bidang kesusasteraan, kerana berjaya melahirkan sasterawan-sasterawan dan karya-karya yang menarik minat pembaca sedunia selama berzaman-zaman. Kegemilangan sastera puisi Rusia memuncak pada abad ke-19 apabila Alexander Pushkin yang mendapat "Shakespeare versi Rusia"[150] kerana jasanya yang besar kepada kesusasteraan negaranya. Kegemilangan sastera Rusia diteruskan oleh Leo Tolstoy dan Fyodor Dostoevsky yang disanjungi sebagai novelis-novelis terhebat sepanjang zaman oleh ramai pengulas sastera.[151][152] Walaupun karyawan Rusia menghadapi dasar penapisan ketat sewaktu zaman Soviet, tetapi kehebatan sastera negara ini tidak teruk terjejas.

Media dan hiburan

Menara Shukhov di Moscow memberikan perkhidmatan radio dan televisyen awal.

Seperti bangsa-bangsa Eropah yang lain, muzik Rusia terdiri daripada muzik rakyat, klasikal dan moden. Selain muzik tradisional yang dimainkan dengan gusli, balalaika, zhaleika dan garmoshka, Rusia turut mengembangkan seni muzik klasikal ala Eropah Barat yang diterajui oleh [Anton Rubinstein|Anton]] dan Nikolay Rubinstein, Igor Stravinsky dan Pyotr Ilyich Tchaikovsky (yang paling terkenal dengan opera balet), disusuli pula oleh koir-koir patriotik seperti Koir Tentera Merah yang berkuasa pada zaman Soviet, dan akhir sekali muzik pop yang berjaya melahirkan ramai beberapa artis antarabangsa seperti duo t.A.T.u.

Rusia adalah antara negara pertama yang memperkenalkan perkhidmatan radio dan televisyen. Walaupun bilangan saluran tidak banyak pada zaman Soviet, namun sejak Soviet tumbang, timbulknya banyak stesen radio dan TV milik kerajaan dan swasta. Pada tahun 2005, kerajaan Rusia melancarkan perkhidmatan TV RT (Russia Today) untuk penonton sedunia.

Industri perfileman dan animasi Rusia paling gemilang pada zaman Soviet. Antara filem-filem buatan Soviet yang paling terkenal di seluruh dunia ialah Kapal Perang Potemkin oleh Sergei Eisenstein[153] dan Perang dan Damai (adaptasi novel Tolstoy) oleh Sergei Bondarchuk, filem yang termahal dalam sejarah.[154] Watak kartun Cheburashka turut menjadi ikon Rusia. Walaupun menghadapi kemurungan selepas kejatuhan Soviet, namun industri perfileman Rusia tetap bangkit dan kini mampu bersaing dengan filem-filem Hollywood di pawagam-pawagam tempatan.

Sukan

Maria Sharapova, jaguh tenis wanita Rusia, juga ahli sukan wanita yang termahal di dunia.

Rakyat Rusia paling menggemari gimnastik, hoki ais, bola keranjang dan bola sepak. Antara jaguh-jaguh sukan Rusia yang terkenal ialah ahli gimnastik Larisa Latynina, peraih pingat Olimpik terbanyak dalam sejarah[155], dan pemain tenis Maria Sharapova, ahli sukan wanita yang paling mahal dibayar di dunia.[156] Rusia pernah menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas di Moscow pada tahun 1980 (sebagai Kesatuan Soviet) dan bakal menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sochi pada tahun 2014. Dalam temasya Olimpik, Rusia paling cemerlang dalam sukan gimnastik, balapan dan padang, angkat berat, gusti, tinju, lawan pedang, menembak, lumba ski rentas desa, biathlon, luncur laju dan luncur ais berbunga adalah antara yang terunggul di dunia, di samping bola keranjang, bola baling, bola tampar dan hoki ais.[157]

Masakan

Masakan Rusia banyak menggunakan ramuan ikan, ayam ,itik, cendawan, beri, dan madu. Tanaman rai, gandum, barli, dan sekoi dijadikan ramuan untuk pelbagai jenis roti, penkek dan bijiran, dan juga minuman kvass, bir dan vodka. Roti hitam agak popular di Rusia berbanding dengan negara lain.

Rujukan

WikiPedia: Rusia http://www.mercer.com.au/pressrelease/details.htm?... http://www.abc.net.au/news/newsitems/200606/s16612... http://learn.utoronto.ca/Page625.aspx http://www.achtungpanzer.com/panzerkampfwagen-t-34... http://www.aneki.com/students.html http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/24432/An... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/317574/K... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/513251/R...