Sejarah Rusia

Rencana utama: Sejarah Rusia

Sejarah Rusia bermula dengan kisah silam kaum Slav Timur dan Fino-Ugrik. Sebuah negara bernama Garðaríki ("alam bandar-bandar") yang berpusat di Novgorod ditubuhkan oleh seorang penghulu Varyag bernama Rurik pada tahun 862 (permulaan tradisi sejarah Rusia).[23] Kievan Rus', negara Slav Timur bersatu yang pertama, ditubuhkan oleh pewaris Rurik, Oleg dari Novgorod pada tahun 882.[24] Negara ini memeluk agama Kristian daripada Empayar Byzantium pada tahun 988,[25] maka bermulanya persepaduan kebudayaan Bizantium dan Slav yang mencorakkan budaya Rusia selama seabad yang seterusnya.[13] Kievan Rus' akhirnya cerai-berai akibat Serangan Mongol terhadap Rus' pada tahun 1237–1240. Ketika itu, munculnya sebilangan kuasa serantau, khususnya Novgorod dan Pskov, yang merebut warisan budaya dan politik Kievan Rus'.

Selepas abad ke-13, Moscow mulai mendominasi bekas pusat kebudayaan itu.[13] Pada tahun 1547, Adipati Agung Ivan Ganas ditabalkan sebagai Tsar pertama Rusia. Menjelang abad ke-18, Duci Agung Moscow berkembang menjadi Empayar Rusia yang terbentang luas dari Komanwel Poland-Lithuania ke arah timur hingga Lautan Pasifik. Peluasan wilayah ke arah barat mencelikkan lagi kefahaman Rusia akan betapa terpisahnya dariada seluruh Eropah, sekaligus memecahkan keterpencilan yang dialaminya pada awal peluasan. Rejim demi rejim yang bersilih-ganti pada abad ke-19 menangani tekanan sedemikian dengan pembaharuan yang tidak bersungguh-sungguh serta penindasan. Perhambaan di Rusia dimansuhkan pada tahun 1861, tetapi pemansuhan itu tercapai atas dasar-dasar yang tidak menyebelahi kaum petani dan terus menghangatkan lagi tekanan untuk berrevolusi. Dari masa pemansuhan perhambaan hingga meletusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pembaharuan Stolypin, perlembagaan 1906 dan Duma Negara melakukan perubahan ketara pada ekonomi dan politik Rusia,[26]tetapi tsar (maharaja) masih tidak sanggup melepaskan pemerintahan autokrasi atau berkongsi kuasa.[27] Akhirnya, kerakusan kuasa kerabat diraja membawa padah kepada Tsar Nikolai II selaku Maharaja terakhir yang digulingkan di penghujung Perang Dunia Pertama.

Revolusi Rusia pada tahun 1917 dicetuskan oleh keruntuhan ekonomi, kelelahan daripada berperang, dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem kerajaan autokratik, sehingga pemerintahan beraja diganti oleh kerajaan sementara campuran liberal dan sosialis sederhana, tetapi kegagalan dasar-dasar mereka menyebabkan pada 25 Oktober, tampuk pemerintahan negara ini jatuh di tangan Bolshevik Komunis yang memerintah secara sistem satu parti[28] mulai tahun 1918. Pada tahun 1922, Rusia bersama beberapa republik lain di Eropah Timur yang memeluk fahaman sosialis membentuk Kesatuan Soviet, sebuah negara berasaskan ideologi komunisme yang kemudiannya disertai oleh beberapa lagi republik sosialis yang berjiran dengannya di Eropah Timur dan Asia Barat dan Tengah. Bagaimanapun, pendekatan sosialisme yang diamalkan oleh Kesatuan Soviet berbeza-beza dari zaman ke zaman, bermula dengan ekonomi campuran dan kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan pada tahun 1920-an yang digantikan oleh ekonomi perancangan pusat dan kezaliman zaman Joseph Stalin hingga "zaman genangan" pada 1980-an. Di sebalik keperitan itu, Kesatuan Soviet tetap melakar detik-detik terpenting dalam sejarah manusia, misalnya menyertai Pihak Berikat yang menjadi pihak yang menang dalam Perang Dunia Kedua (1937–1945) ke atas ancaman Kuasa Paksi (Jerman Nazi dan Empayar Jepun), cuba meluaskan ideologi dan pengaruh Komunisme ke seluruh dunia hingga membimbangkan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa lain lalu mencetuskan Perang Dingin yang berlarutan sejak akhir Perang Dunia hingga akhir 1980-an; melancarkan satelit buatan manusia pertama serta menghantar manusia pertama, Yuri Gagarin, ke angkasa lepas. Pada akhir 1980-an, akibat kelemahan struktur ekonomi dan politik yang makin meruncing, kepimpinan Komunis melakukan pembaharuan besar-besaran yang menyebabkan tumbangnya Kesatuan Soviet.[29]

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1991, Persekutuan Rusia diakui sebagai pewaris sah kepada Kesatuan Soviet di mata dunia.[30] Bagaimanapun, Rusia kehilangan taraf kuasa terbesarnya kerana berdepan dengan cabaran getir dalam usahanya untuk membentuk sistem politik dan ekonomi pasca-Soviet yang baru. Dengan menggugurkan ekonomi terancang sosialis dan pemiliknegaraan harta dari zaman Soviet, Rusia cuba membina ekonomi yang berunsur kapitalisme pasaran tetapi tidak kurang mendapat hasil yang memilukan.[29] Sehingga hari ini, Rusia mewarisi banyak kesinambungan budaya politik dan struktur sosialnya daripada zaman silam tsar dan Soviet.

Rujukan

WikiPedia: Rusia http://www.mercer.com.au/pressrelease/details.htm?... http://www.abc.net.au/news/newsitems/200606/s16612... http://learn.utoronto.ca/Page625.aspx http://www.achtungpanzer.com/panzerkampfwagen-t-34... http://www.aneki.com/students.html http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.bp.com/liveassets/bp_internet/globalbp/... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/24432/An... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/317574/K... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/513251/R...