Sastera_Mahua

Sastera Mahua bermaksud karya sastera dalam bahasa Cina yang diusahakan oleh orang Cina di Malaysia dan juga di Singapura semasa Singapura merupakan sebahagian daripada Semenanjung Tanah Melayu.[1] Istilah "Mahua" merupakan singkatan daripada perkataan Cina yang bermakna "orang Cina di Malaysia". Tanggapan ini dipelopori awal oleh Fang Xiu, tokoh pengkaji dan penyusun sejarah kesusasteraan Mahua yang disegani. Kriteria pertama dalam sastera Mahua ialah bahasa atau media pengucapannya, yakni bahasa Cina. Kedua, bahasa Cina yang digunakan hendaklah bahasa vernakular - baihua, lingua franca yang digunakan dalam sastera dan persuratan Cina secara rasmi sejak Gerakan Baihua 1919. Ini bermaksud mana-mana sastera Mahua yang tertulis di Tanah Melayu dan Singapura sebelum tahun 1919 tidak termasuk dalam lingkungan sastera Mahua. Ia kemudian disokong oleh Wong Seng Tong, juga seorang tokoh pengkaji dan penyusun sejarah kesusasteraan Mahua.