Sekolah_Agama_Kerajaan_Johor

Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh Kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor. SAKJ diwujudkan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar untuk memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak Islam di negeri Johor dengan menggunakan perantaraan Bahasa Melayu secara percuma bagi memastikan kanak-kanak Islam di Johor mendapat pendidikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal oleh pihak pemerintah. Kini, Sekolah Agama Johor telah diterima oleh masyarakat Islam Johor sebagai satu keperluan walau pun di masa yang sama anak-anak mereka mendapat pendidikan agama menerusi matapelajaran pendidikan Islam yang diajar di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Sehingga tahun 2002 jumlah murid ialah 212,030 orang yang melibatkan 3,168 orang guru. Setakat Mei 2017, terdapat 578 buah sekolah agama di seluruh negeri Johor.[perlu rujukan]