Nutrisi Sel_darah_merah

Daripada kira-kira tiga ke empat gram kandungan zat besi dalam badan, dua per tiga daripadanya ialah zat besi dalam hemoglobin eritrosit. Zat besi lazimnya diperoleh semula selepas pelupusan eritrosit, dengan kehilangan zat besi biasanya tidak melebihi beberapa miligram per hari.[22] Namun begitu, kehilangan zat besi yang banyak akibat pendarahan boleh menyebabkan bekalan zat besi tidak mencukupi bagi proses eritropoiesis lalu membawa kepada bentuk sel darah merah yang kecil dan mengalami hipopigmentasi (kehilangan warna), menyebabkan berlaku anemia kekurangan ferum.[23]

Kekurangan vitamin B12 menyebabkan berlaku gangguan dalam penghasilan DNA dalam sel darah merah. Akibatnya, sel-sel besar yang cacat dan tidak matang, iaitu megaloblas pula terbentuk dan membawa kepada anemia megaloblas. Asid folik bertindak bersama dengan vitamin B12 dalam pematangan sel darah merah, dan kekurangan asid folik akan menyebabkan masalah yang sama.[20] Secara umumnya, masalah anemia yang berlaku akibat kekurangan kekurangan vitamin B12 dipanggil sebagai anemia kekurangan vitamin B12.