Struktur Sel_darah_merah

Sel darah merah manusia biasanya memiliki diameter 6.2 - 8.2 µm,[13] dan ketebalan sebanyak 2 - 2.5 µm di hujung sel dan 0.8 - 1 µm di tengah sel. Sel darah merah manusia tidak memiliki sebarang nukleus. Sel darah ini memiliki bentuk dwicekung yang membolehkan kadar resapan oksigen yang lebih tinggi dengan menjadikan jarak resapan ke dalam sel lebih cepat dan meningkatkan nisbah luas per unit isi padu sel.[14]

Sel darah merah manusia serta mamalia lain tidak memiliki nukleus berbanding dengan vertebrata lain yang mempunyai nukleus dengan sedikit pengecualian seperti salamander dalam genus Batrachoseps dan ikan dalam genus Maurolicus.[15][16]

Struktur membran sel darah merah manusia.

Membran plasma

Membran sel darah merah ialah dwilapisan fosfolipid, membran umum bagi sel-sel manusia. Separuh daripada jisim membran sel darah merah ialah protein manakala separuh lagi ialah jisim lipid, yakni kolesterol dan fosfolipid.[17] Molekul-molekul yang membentuk dwilapisan fosfolipid termasuklah fosfatidilkolina (PC), sfingomielin (SM), fosfatidiletanolamina (PE) dan fosfatidilserina (PS), dengan komposisi umum dwilapisan fosfolipid ialah 21% PC, 29% jumlah PS dan PE, 21% SM, 26% kolesterol dan selebihnya ialah molekul-molekul lain.[18] Membran sel darah merah memiliki rangka protein yang terdiri daripada rangkaian filamen spektrin yang disambung dengan filamen aktin yang kecil.