Ekonomi Selangor

Pada 27 Ogos 2005, kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Selangor sebagai negeri berstatus maju yang pertama di Malaysia.[24][25] Negeri Selangor memiliki sebuah pasaran ekonomi yang maju dan terbuka dengan KDNK (keluaran dalam negara kasar) per kapita (PPP) yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar USD33,147 pada tahun 2008, setanding dengan nilai per kapita negara Eropah Barat dan Hong Kong. Bidang eksport, perindustrian, pertanian dan perkhidmatan merupakan aspek-aspek terpenting dalam ekonomi negeri Selangor.

Perindustrian dan perdagangan

Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan di Shah Alam.

Sektor perindustian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri iaitu menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri pada tahun 2008, malah ia merupakan nadi ekonomi Negara. Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia, seperti kereta Proton dan Perodua. Kereta import juga beroperasi di negeri ini seperti Toyota, Nissan, Volkswagen, Ford, Volvo, BMW dan banyak lagi. Banyak kilang-kilang dari luar negara yang bertapak di negeri ini antaranya Panasonic dari Jepun, Procter & Gamble dari Amerika Syarikat, Unilever dari Belanda, Nokia dari Sweden dan banyak lagi. Antara kawasan perindustrian yang terkenal ialah di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang, Rawang, Selayang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya.

Pelabuhan Klang yang merupakan faktor utama kemajuan perindustrian di Selangor, pelabuhan ini juga merupakan pelabuhan yang tersibuk dan terpenting di Malaysia. Negeri Selangor juga menjadi tarikan utama pelabur asing dari luar negara.

Pertanian

Selain terkenal dengan perindustrian dan pelabuhan, bidang pertanian juga semakin berkembang maju walaupun hanya menyumbang 3.1% kepada KDNK negeri. Antara kejayaan yang telah dikecapi adalah seperti Selangor Fruit Valley merupakan pengeluar buah-buahan tropika terbesar dunia seperti belimbing, betik dan pisang. Begitu juga dengan sawah padi di Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang diurus secara estet dengan kaedah pengairan serta penanaman moden, berjaya mengeluarkan hasil purata sehektar tertinggi di negara ini iaitu lebih 7 tan sehektar. Aktiviti pertanian kelapa sawit dan getah juga dijalankan di negeri ini.

Perkhidmatan

Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang kedua terbesar terhadap KDNK negeri iaitu sebanyak 38%.