Sejarah Selangor

Rencana utama: Sejarah Selangor


Sejarah Awal Selangor

Berdasarkan kajian terutama menerusi penemuan arkeologi, perkembangan awal sejarah dan warisan budaya Selangor boleh dilihat seawal zaman Hoabinhian. Ia kemudiannya terus berkembang pada zaman Neolitik, zaman Logam dan Protosejarah.[11]

Pada tahap ini, perhubungan ekonomi dan budaya masyarakat tempatannya dengan dunia luar semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong S’on di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat dan Bukit Kuda, Klang serta tiga loceng gangsa di Klang.[11]

Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.[11]

Menerusi Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun Jana Khatib dan Tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura pada abad ke-14. Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Nama Klang juga disebut dalam puisi Nagara Kertagama hasil tulisan Prapanca, seorang  pujangga kerajaan Majapahit pada tahun 1365. Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.[11]

Sebelum pengasasan Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446 sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).[11]

Pemerintahan Awal dan Pengasasan Kesultanan Selangor

Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.[11]

Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di sini.[11]

Sekitar tahun 1700, Dato’ Engku Kelang  selaku wakil kerajaan Johor, melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran Yamtuan. Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti dan seterusnya digantikan oleh Raja Lumu.[11]

Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan sosiopolitik Selangor.[11]

Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.[11]

Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.[11]

Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.[11]

Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi.[11]

Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah tidak mengiktiraf perjanjian itu.[11]

Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.[11]

Zaman Kolonial

Sejak dari peringkat awal penubuhannya, Negeri Selangor telah berkembang  sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah di bawah pemerintahan Kesultanan Selangor. Kuala Selangor memainkan peranan penting ketika itu sebagai pelabuhan utama pengeksportan bijih timah kepada pedagang barat.[11]

Aktiviti perlombongan bijih timah merupakan antara aktiviti ekonomi terawal dijalankan di Selangor sejak dari awal penubuhannya lagi dan ia terus berkembang sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah.[11]

Kedatangan kuasa British ke Tanah Melayu dan pengenalan Sistem Residen telah membatasi kuasa Sultan dan pemerintah-pemerintah negeri.[11]

Semasa pentadbiran British, sebuah Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan pada tahun 1877 dengan dianggotai oleh Sultan, Residen Inggeris dan pembesar Negeri. Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad membentuk Majlis Mesyuarat Negeri berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen Inggeris pada masa itu, Bloomfield Douglas.[11]

Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama ialah Tengku Kudin dengan ahli-ahlinya seperti berikut:[11]

1. Kapten Bloomfield Douglas (Residen)

2. Raja Kahar, putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang)

3. Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong)

4. James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat)

5. Taukeh Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur)

6. Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin)

Majlis Mesyuarat Negeri bersidang buat pertama kalinya di Klang pada 11 Jun 1877 dan persidangan kali kedua telah diadakan pada 25 Jun 1877.

Pada Mac 1880, pemerintahan Negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Pemindahan ini juga menyaksikan kuasa pentadbiran pembesar-pembesar Melayu diambil alih oleh pegawai-pegawai Inggeris khasnya Residen Inggeris di Selangor.[11]

Tengku Kudin mengambil tindakan meletak jawatan sebagai Yang DiPertua kerana menyedari bahawa kuasa beliau semakin berkurangan. Jawatannya telah digantikan oleh Raja Muda Musa (putera Sultan Abdul Samad), manakala Inggeris menguasai sepenuhnya pentadbiran Negeri Selangor. Selepas kemangkatan Raja Muda Musa pada tahun 1884, Sultan Abdul Samad telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri.[11]

Pada 1 Julai 1896, Negeri Selangor bersama-sama Perak, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan di bawah pentadbiran seorang Residen General dan dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu melalui Perjanjian Persekutuan yang dimeterai setahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Negeri masih terus berjalan di keempat-empat Negeri tersebut.[11]

Perubahan seterusnya berlaku pada tahun 1909 dengan penubuhan Majlis Persekutuan yang dianggotai oleh keempat-empat Sultan Negeri tersebut, empat Residen Negeri, empat anggota tidak rasmi dan Residen General. Dalam Majlis ini, Sultan tidak memiliki sebarang kuasa melainkan hanya memberi nasihat kepada pegawai pentadbir Inggeris khususnya dalam perkara-perkara tertentu berhubung dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam.[11]

Pada 1927, Sultan Selangor dan Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain telah keluar dari Majlis Mesyuarat Persekutuan. Berikutan itu, pihak Inggeris telah mengambil langkah menambah lagi kuasa Majlis Mesyuarat Negeri dalam bidang pentadbiran dan menambah anggota tempatan.[11]

Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini berterusan sehingga ke tahun 1941 apabila Jepun menyerang Tanah Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah, Selangor diletakkan di bawah pemerintahan British Military Administration (BMA) dari September 1945 hingga awal 1946.[11]

Pihak Inggeris telah mengemukakan gagasan Malayan Union yang menerima tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Ia kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Ia terdiri daripada sembilan buah Negeri Melayu (Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang,  Perlis, Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan) dan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura). Pembentukan ini merupakan langkah pertama kepada kemerdekaan.[11]

Era Kemerdekaan (1957 - kini)

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 ini adalah berasaskan kepada sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.[11]

Pada 31 Ogos 1957, perisytiharan kemerdekaan dan penurunan bendera Union Jack telah dilangsungkan di Padang Kelab Selangor. Pada hari bersejarah ini juga, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama sementara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.[11]

Negeri Selangor Darul Ehsan menjadi negeri di bawah Persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri dengan dibantu oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyelaras pentadbiran negeri. DYMM Sultan Selangor adalah menjadi ahli bagi Majlis Raja-Raja yang turut dianggotai oleh Raja-Raja Negeri-negeri Persekutuan Malaysia dan yang Dipertuan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.[11]Negeri Selangor Darul Ehsan mempunyai peranan yang amat penting dalam sejarah pembentukan dan perkembangan Negara Malaysia. Kuala Lumpur telah menjadi pusat pentadbiran bagi Persekutuan Tanah Melayu dan pusat kegiatan perdagangan, perniagaan dan perbankan. Pada 1 Februari 1974, satu perjanjian antara Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani bagi penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.[11]Berikutan dengan itu, sebuah kawasan yang terletak kira-kira 25 km ke arah barat daya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Sungai Renggam dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk dijadikan ibu negeri yang baru untuk Selangor bagi menggantikan Kuala Lumpur. Ia turut meliputi kawasan Batu Tiga yang telah pun menjadi pusat perladangan tanaman kelapa sawit dan getah sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Sultan Selangor Ketika itu, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menamakannya Shah Alam sempena nama Almarhum ayahanda baginda, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.[11]

Kini Shah Alam sebagai sebuah bandar raya terancang dan moden, menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri yang meliputi kawasan perumahan, kemudahan riadah, kawasan perindustrian serta pusat bandar dan komersial yang lengkap, indah dan menarik.[11]

Negeri Selangor sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang. Ia menjadi pusat perdagangan, kewangan, pembinaan, pengangkutan dan pembuatan yang menyumbang kepada pendapatan utama negara. Selangor turut menyumbang di dalam sektor pertanian dan perikanan.[11]

Salah satu faktor yang menjadikan negeri ini sebagai pemangkin kemajuan negara adalah kerana pemusatan kegiatan ekonomi di Lembah Klang yang juga terletaknya Kuala Lumpur di tengah-tengah Negeri Selangor.[11]

Kini Putrajaya pula telah menjadi pusat pentadbiran negara dan telah menjadi Wilayah Persekutuan pada tanggal 1 Februari 2001. Pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya bakal membangunkan kawasan pinggiran Putrajaya dan hasilnya akan turut dirasai oleh rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.[11]Pada 27 Ogos 2005, kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Selangor sebagai negeri berstatus maju yang pertama di Malaysia. Sesuai dengan kedudukan Negeri Selangor yang sering memainkan peranan sebagai penentu rentak pelbagai dimensi pembangunan Malaysia, maka pengisytiharan ini menandakan Selangor sebagai produk pertama Wawasan 2020.[11]Sebagai tanda simbolik pengisytiharan Selangor Maju ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan Majlis Pelancaran Taman Warisan Selangor dan Pelancaran Tapak Perpustakaan Selangor Maju. Taman Warisan Selangor telah dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Taman Rekreasi Empangan Klang Gate, Ampang, Hulu Klang, manakala Pelancaran Tapak Perpustakaan Selangor Maju telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor.[11]