Budaya Seoul

Teknologi

Seoul mempunyai infrastruktur yang sangat maju dari segi teknologi.[37] Seoul mempunyai penembusan jalur lebar gentian optik tertinggi di dunia membolehkan ia menerima sambungan internet terpantas di dunia dengan kelajuan sehingga 1 Gb per saat.[38] Seoul menyediakan kemudahan Wi-Fi percuma di kawasan awam. Projek bernilai 47.7 bilion won ($44 juta) ini akan memberikan penduduk dan pelancong kemudahan internet di 10,430 taman awam, jalan dan tempat-tempat awam yang lain menjelang tahun 2015. Walau bagaimanapun, kelajuan di beberapa bangunan pangsapuri telah mencapai 52.5Gbit/s dengan bantuan daripada Nokia.

Muzium

Muzium Negara Korea

Seoul mempunyai 105 buah muzium, termasuk empat muzium kebangsaan dan sembilan muzium perbandaran rasmi. Muzium Negara Korea merupakan muzium yang paling mewakili bukan sahaja Seoul, bahkan juga seluruh Korea Selatan. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1945, muzium ini telah menghimpunkan sekitar 220,000 artifak.[39] Pada bulan Oktober 2005, muzium ini berpindah ke bangunan baru di Taman Keluarga Yongsan. Muzium Rakyat Kebangsaan Korea terletak di tapak Istana Gyeongbokgung di Daerah Jongno. Ia menggunakan replika barang-barang bersejarah untuk menggambarkan sejarah budaya rakyat Korea.[40] Muzium Istana Kebangsaan Korea juga terletak di tapak Istana Gyeongbokgung. Cawangan Seoul untuk Muzium Seni Moden dan Kontemporari Kebangsaan yang mana muzium utamanya terletak di Gwacheon telah dibuka pada tahun 2013 di Sogyeok-dong.

Kampung Bukchon Hanok dan Kampung Namsangol Hanok merupakan daerah perumahan lama yang terdiri daripada rumah tradisional Korea (hanok), taman-taman dan muzium-muzium yang membolehkan pelawat untuk mengalami kebudayaan tradisional Korea.

Tugu Peringatan Perang, salah sebuah muzium perbandaran di Seoul, menawarkan pengalaman pendidikan dan emosi kepada para pengunjung mengenai segala peperangan yang dilalui oleh Korea, termasuklah Perang Korea.[41] Penjara Seodaemun ialah sebuah bekas penjara yang dibina ketika zaman penjajahan Jepun, dan kini dijadikan muzium sejarah.[42]

Muzium Kesenian Seoul dan Muzium Kesenian Ilmin memelihara wajah bangunan lama yang amat menonjol dalam latar kemodenan bangunan yang tinggi-tinggi belaka. Muzium Kesenian Seoul dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Seoul dan terletak dekat dengan Gyeonghuigung, sebuah istana diraja zaman Joseon. Bagi penggemar filem Korea dari seluruh dunia, Arkib Filem Korea mengendalikan Muzium Perfileman Korea dan Cinematheque KOFA di pusat utamanya di Digital Media City (DMC), Sangam-dong. Muzium Tteok & Perkakas Dapur dan Muzium Kimchi pula menjadi wadah sejarah masakan Korea.

Tempat ibadat

Terdapat juga bangunan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat dan siasah Korea. Mazbah Wongudan pernah dijadikan tapak korban untuk upacara suci raja-raja Korea sejak zaman Tiga Kerajaan. Semenjak Dinasti Joseon memeluk Konfusianisme sebagai ideologi negara pada abad ke-14, maka banyaknya kuil Confucius yang dibina di merata negara. Waris kerabat diraja Joseon masih mengadakan upacara memperingati leluhur mereka di Jongmyo, kuil Confucius diraja tertua yang terpelihara di mana upacara penuh tradisi diamalkan secara berterusan sejak abad ke-14. Munmyo dan Dongmyo dibina pada zaman yang sama juga. Sungguhpun ditindas oleh kerajaan Joseon, namun agama Buddha masih bertahan sampai kini. Jogyesa ialah markas utama Mazhab Jogye agama Buddha di Korea. Kuil-kuil Buddha yang lain di Seoul termasuk Hwagyesa dan Bongeunsa.

Gereja Besar Myeongdong ialah sebuah mercu tanda di Daerah Myeongdong dan juga gereja Katolik pertama yang dibina di Korea, justeru menjadi lambang utama agama Kristian di Korea. Gereja ini juga menjadi tumpuan penentangan politik pada akhir abad ke-20.

Masjid Pusat Seoul yang terletak di Hannam-dong, Daerah Yongsan, merupakan masjid pertama yang dibina di Korea selepas Perang Korea, dan masih satu-satunya masjid di Seoul. Ia menjadi tarikan pelancong untuk rakyat Korea yang berkunjung pada hujung minggu untuk menghadiri dakwah Islam.

Taman awam

Taman Olimpik, Seoul

Walaupun kepadatan populasi bandaraya ini sangat tinggi, Seoul mempunyai jumlah taman awam yang sangat banyak. Di Taman Namsan, pelawat boleh menikmati kegiatan kembara jalan kaki, rekreasi dan pemandangan latar langit pusat bandaraya Seoul. Di taman awam ini juga letaknya Menara N Seoul. Taman Olimpik Seoul di Daerah Songpa, dibina khas untuk Sukan Olimpik 1988. Antara taman-taman awam terbesar yang lain di bandaraya ini termasuk Seoul Forest, Dream Forest dan Taman Haneul. Pagoda Wongaksa 10 aras terletak di Taman Tapgol, sebuah taman awam kecil seluas 19,599 m². Kawasan sekitar anak sungai dijadikan tempat istirahat dan rekreasi awam. Anak sungai Tancheon dan kawasan sekitarnya merupakan taman besar yang dilengkapi laluan pejalan kaki dan basikal. Anak sungai Cheonggyecheon yang mengalir sepanjang 6 km melalui pusat bandaraya Seoul, terkenal di kalangan penduduk Seoul dan pelancong.

Terdapat banyak taman awam di sepanjang Sungai Han termasuk Taman Ichon Hangang, Taman Yeouido Hangang, Taman Mangwon Hangang, Taman Nanji Hangang, Taman Banpo Hangang, Taman Ttukseom Hangang dan Taman Jamsil Hangang. Kawasan Ibu Negara Seoul juga ada sebuah kawasan hijau yang bertujuan mengelakkan merebaknya proses pembandaran ke wilayah jiran Gyeonggi. Kawasan-kawasan sedemikian sering dicari-cari oleh sesiapa yang ingin melarikan diri dari kehidupan bandar pada hujung minggu dan musim cuti.

Seoul juga merupakan tempat terletaknya salah sebuah taman hiburan dalam bangunan yang terbesar di dunia, Lotte World. Pusat-pusat rekreasi lain termasuk stadium-stadium Olimpik dan Piala Dunia, dan halaman awam dewan bandaraya.

Rujukan

WikiPedia: Seoul http://www.theage.com.au/news/technology/tech-capi... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/534948/S... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/534948/S... http://english.chosun.com/site/data/html_dir/2014/... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://travel.cnn.com/seoul/play/seouls-best-museu... http://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/A... http://nwww.koreaherald.com/view.php?ud=2014052700... http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20130430000...