Penerbitan Setem_(filem)

Filem Setem merupakan kali pertama Kabir Bhatia mengarah filem komedi, selain memikul tugas sebagai penulis cerita asal dan lakon layar filem ini[2], yang mana beliau memberi tumpuan kepada empat plot cerita berasingan yang ditemukan menjadi rantaian mengejar setem pusaka.[3] Sebenarnya idea filem Setem sudah lama difikirkan sejak tahun 2002, dan pernah dikemukakan oleh Kabir kepada pihak Tayangan Unggul pada tahun 2004 tetapi syarikat tersebut ketika itu tidak bersedia untuk menghasilkannya, tetapi setelah kejayaan filem Baik Punya Cilok barulah mereka dapat melihat potensinya.[4] Mula-mula, Kabir menulis skripnya dalam bahasa Inggeris, kemudian diterjemah ke bahasa kebangsaan oleh isterinya Mira Mustaffa. Penggambaran mengambil masa 40 hari di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang dan Melaka pada awal tahun 2008. Proses pascapenerbitan pula mengambil masa setahun sehingga selesai pada bulan Mac.[4]

Kabir berkata beliau memilih tema setem kerana kepadanya, setem adalah barang bernilai yang diperbuat dari "helaian kertas kecil yang besar nilainya", ditambah lagi dengan perwatakan yang menjadikan setem itu harta buruan berbagai-bagai watak manusia. "Pokoknya, setem itu dipilih untuk membuat penonton ketawa," katanya.[4] Tambahan pula, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, penghasilan filem Setem dilakukan penuh teliti kerana buat pertama kali menggunakan format video definisi tinggi (HD). Sebelum memilih filem itu, katanya, Kabir menawarkan lima skrip berbeza kepada pihak penerbit namun mereka tertarik dengan garapan idea yang dibawakan Setem apatah lagi ia skrip pertama dihasilkan pengarah itu.[5]

Bront Palarae yang memainkan watak Burn meluahkan rasa besar hati kerana berpeluang bekerja bersama Kabir, yang mana beliau dapat menggunakan pistol. Richard Gardner yang memegang watak Charles Barring pula puas hati kerana kepelbagaian budaya dipaparkan dengan setepatnya, sekaligus menjadikan filem ini sebuah filem Malaysia yang sebenar.[4]

Tayangan perdana Setem diadakan di GSC Tropicana City Mall pada 15 Mei 2009[6], sebelum ditayangkan kepada umum di 54 buah pawagam di Malaysia dan tiga buah lagi di Brunei[5] mulai 30 Julai.

Rujukan

WikiPedia: Setem_(filem) http://www.setemmovie.com http://www.star-ecentral.com/news/story.asp?file=/... http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/H... http://www.cinema.com.my/charts/charts.aspx?date=0... http://www.cinema.com.my/charts/charts.aspx?date=0... http://www.murai.com.my/article/default.asp?articl... http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Set... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/clippingnews...