Agregat Simen

Di sini agregat mempunyai dua jenis iaitu halus dan kasar. Bagi jenis halus ia terdiri daripada bahan seperti pasir manakala bagi jenis kasar pula terdiri daripada bahan batu baur.

Pasir

Pasir ialah komponen utama dalam mortar dan juga komponen kedua terpenting dalam pembuatan konkrit. Dalam pembuatan mortar mahupun konkrit, ia mestilah bersih dan tidak mengandungi bahan bendasing di dalamnya semasa kerja-kerja pembancuhan dilakukan. Hal ini adalah untuk meningkatkan mutu pembinaan sesebuah bangunan itu sendiri.

Pasir digunakan bersama simen untuk kerja-kerja pembinaan dinding, tiang, bahagian atas tembok, aras lantai, rasuk tanah, tangga dan juga teres. Dalam projek pembinaan , biasanya dua gred pasir digunakan iaitu daripada jenis 1:3 dan 1:6 iaitu bahagian simen dan pasir dicampurkan sekali.

Batu baur

Batu baur ialah komponen utama dalam pembinaan struktur konkrit. Ia memainkan peranan yang penting dalam proses membancuh konkrit. Batu baur kasar terdiri daripada serpihan batu yang saiznya melebihi 5 mm sehingga saiz maksimum yang dibenarkan untuk kerja-kerja konkrit yang tertentu, biasanya tidak melebihi 50 mm.

Batu baur kasar boleh didapati dari lombong atau kuari batu dan batu besar dihancurkan dengan mesin dan digredkan mengikut kegunaannya yang tertentu. Kadangkala batu baur besar juga diperolehi dari sungai. Jenis batu ini biasanya berbentuk bulat dan permukaannya licin.

Bagi batu baur yang keras, padat dan tahan lasak menghasilkan konkrit yang bermutu tinggi. Jenis batu yang lazimnya digunakan dalam industri pembinaan tempatan ialah batu granit dan batu kapur kerana dua jenis batu ini mudah didapati dan harganya murah. Bagi kebanyakan projek pembinaan, agregat kasar yang digunakan ialah gred 20.

Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Simen