Ciri-ciri Singa

Paparan rangka lagak singa Afrika menyerang common eland di The Museum of Osteology, Oklahoma City, Oklahoma.

Singa merupakan makhluk felid (kekucingan) dengan otot yang kekar, dada yang melengkung ke dalam, kepala bulat, leher pendek dan telinga bulat.[57] Dalam kesemua felid bukan kacukan yang sedia wujud[58][59], singa di tangga kedua hanya mengekori harimau belang dari segi kepanjangan dan berat badan. Tengkoraknya amat serupa dengan harimau biarpun bahagian hadapan lazimnya lebih lekuk dan mendatar dengan bahagian postorbital yang agak pendek dan rongga hidung yang lebih lebar daripada harimau. Bagaimanapun, disebabkan betapa banyak variasi tengkorak sesama dua spesies, biasanya hanya struktur rahang bawah yang boleh digunakan sebagai penanda spesies yang meyakinkan.[60] Singa terdapat dalam pewarnaan kuning air muda mahupun kelabu keperakan, mahupun merah kekuningan dan perang tua.[57] Bahagian bawah selalunya lebih muda warnanya. Anak singa pula dilahirkan berbunga-bunga (tompok) hitam pada badan. Makin dewasa makin pudarlah bunga-bunga itu tetapi bunga-bunga yang pudar sering kelihatan pada bahagian paha dan bawah.[61]

Singa adalah satu-satunya anggota rumpun kucing yang mempamerkan dimorfisme seksual yang ketara. Singa jantan lebih tegap dengan kepala yang lebih lebar di samping surai lebat tumbuh ke bawah dan ke belakang dan melitupi sebahagian besar kepala, leher, bahu dan dada. Surai singa biasanya berwarna keperangan dengan sedikit bulu berwarna kuning, karat dan merah. Ciri-ciri paling menonjol yang dikongsi oleh betina dan jantan adalah ekor yang berhujungkan jambak yang berbulu tebal dan berwarna gelap. Pada sesetengah singa, jambak ini menutupi sebatang "duri" atau "susuh" keras sepanjang kira-kira 5 mm yang terbentuk daripada cantuman ruas-ruas tulang ekor. Singa adalah satu-satunya felid yang berjambak ekornya – tidak diketahui fungsi jambak dan durinya. Jambak ini tiada sewaktu lahir tetapi berkembang sekitar umur 5+1⁄2 bulan hingga menjadi ketara pada 7 bulan.[61]

Nowak menyatakan bahawa berat badan lazim singa adalah 150 hingga 250 kg (331 hingga 551 lb) untuk jantan dan 120 hingga 182 kg (265 hingga 401 lb) untuk betina.[62] Saiz singa berbagai-bagai seluas taburan, misalnya populasi selatan Afrika di Zimbabwe, Kalahari dan Taman Kruger (P. l. bleyenberghi, P. l. vernayi, or P. l. krugeri)[57][60] mencatatkan purata 189.6 kg (418 lb) untuk jantan dan 126.9 kg (280 lb) untuk betina, berbanding singa Afrika Timur pada 174.9 kg (386 lb) untuk jantan dan 119.5 kg (263 lb) untuk betina.[63] Ukuran panjang badan jantan dari kepala ke pinggul dilaporkan dari 170 hingga 250 cm (5 ka 7 in hingga 8 ka 2 in) dengan panjang ekor 90–105 cm (2 ka 11 in–3 ka 5 in). Ukuran panjang badan betina dari kepala ke pinggul dilaporkan dari 140 hingga 175 cm (4 ka 7 in hingga 5 ka 9 in), dengan panjang ekor 70–100 cm (2 ka 4 in–3 ka 3 in).[62] Panjang badan maksimum 250 cm (8 ka 2 in) yang sering dipetik pula lebih sesuai dengan forma Pleistosen yang pupus seperti singa Amerika, apalagi singa moden yang sebesar mana pun hanya ketinggalan beberapa sentimeter.[64]

Rekod-rekod ukur timbang daripada rekod memburu adalah seperti berikut: yang panjang sekali hampir 3.6 m (12 ka) untuk singa Afrika Barat Daya yang ditembak berhampiran Mucusso, Angola selatan pada 1973, dan yang berat sekali 313 kg (690 lb) untuk singa Afrika Tenggara yang ditembak di luar Hectorspruit di timur Transvaal, Afrika Selatan pada 1936.[57][65] Satu lagi singa terlebih besar, iaitu singa Afrika Timur yang ditembak berdekatan Gunung Kenya, beratnya 272 kg (600 lb).[57][66] Juga dilaporkan singa Asia terlebih besar.[66][67][68]

Surai

Ketika hendak berbalah dengan singa lain, surai membuat singa kelihatan lebih besar

Surai yang tumbuh di keliling kepala singa jantan dewasa adalah ciri-ciri yang paling menonjol pada spesies ini. Singa betina pula lazim tumbuh lingkaran bulu sahaja tetapi jarang sekali ada yang tumbuh surai.[69][70] Keadaan, ketiadaan, warna dan kelebatan surai dikaitkan dengan prekondisi genetik, kematangan seksual, iklim dan pengeluaran testosteron. Mengikut kebiasaan, makin gelap dan lebat surainya, makin sihatlah singanya. Singa betina apabila memilih pasangan mengawan cenderung kepada jantan yang paling lebat dan gelap surainya.[71] Kajian di Tanzania juga berhujah bahawa kepanjangan bulu surai menandakan kejayaan dalam berlaga sesama jantan. Individu yang lebih gelap surainya dapat membiak dengan lebih lama dan kemandirian anaknya pun lebih tinggi, tetapi susah hidup pada musim-musim yang lebih panas.[72]

Ahli sains pernah percaya bahawa keterbezaan sesetengah subspesies dapat disahkan dari segi morfologi, termasuk saiz surai. Morfologi digunakan untuk mengenal pasti subspesies seperti singa Barbar dan singa Tanjung yang mempunyai surai yang paling lebat dan panjang di kalangan singa liar.[60] Akan tetapi, kajian menunjukkan bahawa faktor persekitaran seperti purata suhu persekitaran mempengaruhi warna dan saiz surai singa.[72] Misalnya, singa di zoo Amerika Utara dan Eropah lebih lebat surainya kerana suhu persekitaran lebih dingin. Oleh itu surai bukan petanda yang sesuai untuk mengenal pasti subspesies.[73][74] Namun demikian, jantan subspesies Asia bercirikan surai yang lebih jarang daripada kelaziman singa Afrika.[75]

Di kawasan Taman Negara Penjari, hampir semua jantan Afrika Barat tiada atau pendek surainya.[76] Singa Afrika jantan tanpa surai juga dilaporkan di Senegal, Sudan (Taman Negara Dinder), dan Kenya (Taman Negara Tsavo East), bahkan singa jantan putih asli dari Timbavati juga tidak tumbuh surai. Hormon testosteron dikaitkan dengan pertumbuhan surai; maka singa yang dikembiri selalunya pendek atau tiada surai kerana pembuangan buah zakar membantutkan pengeluargan testosteron.[77] Di samping itu, testosteron berlebihan mungkin punca singa betina bersurai di utara Botswana.[78]

Lukisan gua tentang singa Eropah rata-ratanya hanya memaparkan singa tanpa surai memburu. Ada yang mengatakan bahawa ini bukti bahawa jantan spesies ini tiada surai,[79] akan tetapi, memandangkan pemburuan sering melibatkan kawanan betina, anggapan ini tidak disahkan. Di gua Chauvet terdapat lakaran kasar dua ekor singa tanpa surai yang berjalan bersampingan dengan seekor tertutup di belakang satu lagi. Ini ditafsirkan oleh seorang penyelidik sebagai "satu pasangan" yang menegaskan persepsinya bahawa singa yang lebih besar, iaitu yang tertutup tersebut, terdapat skrotum.[80] Sekali lagi, ini satu tafsiran yang sangat individu tanpa sebarang kata sepakat di kalangan pakar yang menggkaji lakaran tersebut, maka tidak dapatlah kesimpulan dari segi saintifik.

Variasi warna

Singa putih disebabkan suatu alel resesif; merupakan bentuk singa Transvaal yang jarang ditemui.

Singa putih bukanlah subspesies yang berlainan tetapi morf istimewa dengan keadaan genetik leusisme[81] yang menyebabkan pewarnan yang lebih pucat seakan-akan harimau putih. Keadaan ini serupa dengan melanisme yang menyebabkan harimau kumbang. Bukanlah balar (albino) kerana terdapat pigmentasi pada mata dan kulit. Singa Transvaal (Panthera leo krugeri) putih terdapat segelintir individu di sekitar Taman Negara Kruger dan Hutan Simpan Buruan Persendirian Timbavati di timur Afrika Selatan, tetapi lebih umum dijumpai dalam kurungan di bawah pemilihan terkawal pembiak baka. Warna bulu yang luar biasa cerahnya disebabkan oleh alel resesif.[82] Dilaporkan bahawa singa putih dibiakbakakan di perkhemahan Afrika Selatan untuk dijadikan bahan trofi apabila dibunuh dalam pemburuan terkawal.[83] Diperikan pula seekor singa Asia serba gelap di Khuzestan, Iran, oleh Austen Henry Layard yang mengatakan bahawa warnanya perang tua dengan tompokan yang seakan-akan hitam.[67]

Rujukan

WikiPedia: Singa http://www.adelaide.edu.au/acad/publications/paper... http://archive.gg.ca/heraldry/pub-reg/project-pic.... http://abc.museucienciesjournals.cat/files/ABC_38-... http://www.bartleby.com/61/46/S0424600.html http://www.beringia.com/research/lion.html http://books.google.com/books?id=t2EZCScFXloC&pg=P... http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA5... http://www.indialivetoday.com/gir-forest-asiatic-l... http://timesofindia.indiatimes.com/city/ahmedabad/... http://news.nationalgeographic.com/2016/04/160418-...