Budaya Singapura

Rencana utama: Kebudayaan Singapura

Disebabkan kepelbagaian penduduk dan latar belakang penghijrahan, budaya Singapura sering diperikan sebagai campuran budaya, iaitu British, Melayu, Cina, India dan Peranakan. Warga asing membentuk 42% penduduk Singapura[19][20] dan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi budaya Singapura.

Masakan

Rencana utama: Masakan Singapura

Masakan Singapura merupakan satu contoh kepelbagaian dan pembauran kebudayaan negara yang meminjam pengaruh dari British, Cina, India, Melayu, dan Indonesia. Sajian Singapura biasanya terdiri daripada sate, nasi lemak, ketam cili dan nasi ayam Hainan.

Media

MediaCorp, syarikat media milik negara, mengendali ketujuh-tujuh saluran televisyen terestrial percuma tempatan, dan juga 14 saluran radio. Semua stesen radio dan televisyen merupakan entiti milik kerajaan. Stesen-stesen radionya dikendali oleh MediaCorp kecuali empat buah yang dikendali oleh SAFRA Radio dan SPH UnionWorks. Perkhidmatan televisyen berbayar kabel dan IPTV dimiliki oleh StarHub dan SingTel. Adalah salah di sisi undang-undang untuk memiliki penerima cakera satelit persendirian yang mampu menerima kandungan televisyen yang tak tertapis.

Media cetak Singapura merangkumi sejumlah 16 surat khabar dan beberapa judul majalah yang berada di pasaran. Akhbar harian diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu dan Tamil. Media cetak dikuasai oleh Singapore Press Holdings (SPH), penerbit berkaitan kerajaan yang terkenal sebagai pengeluar akhbar bahasa Inggeris harian terbesar, The Straits Times. SPH menerbitkan hampir semua suratkhabar harian tempatan, termasuk akhbar harian dwibahasa, My Paper yang diwar-warkan sebagai akhbar pertama di dunia yang memberikan liputan sama rata dalam bahasa Inggeris dan Cina. Kebanyakan akhbar ini ada versi Internetnya, tak kira The Straits Times, Business Times, mahupun Today (tabloid percuma dalam bahasa Inggeris terbitan MediaCorp).

Kesenian

Sejak 1990-an, kerajaan berusaha mempromosikan Singapura sebagai pusat kesenian dan kebudayaan, terutamanya seni persembahan, serta mentransformasikan negara menjadi 'pintu kosmopolitan antara Timur dan Barat'.[101] Antara hasil-hasil usaha tersebut termasuk pembinaan Esplanade, sebuah pusat seni persembahan berkelas tinggi yang dibuka pada 12 Oktober 2002.[102] Selain itu, Singapore Arts Festival merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Kebangsaan. Bidang komedi berdiri juga semakin berkembang dengan adanya acara “open mic” mingguan.[103] Singapura menjadi tuan rumah Pertandingan Balet Antarabangsa Genee 2009, sebuah kejohanan balet klasikal berprestij yang dipromosikan oleh Royal Academy of Dance, sebuah lembaga tarian antarabangsa yang bertapak di London, UK.[104]

Sukan dan rekreasi

Stadium Nasional Singapura

Penduduk Singapura paling menggemari sukan-sukan seperti bola sepak, bola keranjang, kriket, renang, berlayar, ping pong dan badminton.

Kebanyakan besar penduduk Singapura tinggal dalam kawasan perumahan awam yang dilengkapi kemudahan seperti kolam renang awam, gelanggang bola keranjang terbuka dan kompleks sukan tertutup yang berdekatan. Seperti yang diharapkan di sesebuah pulau, sukan air memang diminati ramai, seperti berlayar, berkayak dan luncur air. Selam skuba juga menjadi rekreasi utama, terutamanya di sekitar Pulau Hantu di selatan tanah besar yang terkenal kerana kekayaan terumbu karangnya.

Para atlit Singapura beraksi di pelbagai temasya sukan serantau dan antarabangsa dalam sukan-sukan seperti pingpong, badminton, boling, berlayar, silat, renang dan polo air. Atlet-atlet seperti Fandi Ahmad, Ang Peng Siong, Li Jiawei dan Ronald Susilo menjadi amat terkenal di negara ini.

Singapura ada liga bola sepak tersendiri, iaitu S-League yang diasaskan pada tahun 1996, kini merangkumi 12 kelab dengan 3 pasukan luar negara.

Pasukan Singapore Slingers menyertai Liga Bola Keranjang Kebangsaan Australia mulai tahun 2006 hingga 2008. Merekalah salah sebuah pasukan perintis yang memulakan pertandingan Liga Bola Keranjang ASEAN pada Oktober 2009.

Mulai tahun 2008, Singapura mula menganjurkan satu pusingan Kejohanan Dunia Formula Satu. Perlumbaan ini diadakan di Litar Jalan Teluk Marina di kawasan Teluk Marina dan melakar sejarah sebagai perlumbaan waktu malam pertama dalam litar F1[105] dan juga litar jalanan pertama di Asia.[106]

Pada 21 Februari 2008, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengumumkan[107] bahawa Singapura meraih hak untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Belia Musim Panas yang pertama, mengetepikan cabaran Moscow dengan undian 53 lawan 44.[108]

Rujukan

WikiPedia: Singapura http://www.24hrart.org.au/pdf's/Utama_Every.pdf http://english.peopledaily.com.cn/90001/90780/9134... http://business.asiaone.com/Business/News/SME+Cent... http://www.channelnewsasia.com/stories/afp_asiapac... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/specialrepo...