Demografi Singapura

Rencana utama: Demografi Singapura

Kependudukan

Kependudukan Singapura mencatat peratusan warga luar negara keenam tertinggi di dunia. Kira-kira 42% penduduk Singapura ialah warga asing dan warga asing mengisi 50% sektor perkhidmatan negara ini.[19][20] Kebanyakan warga asing berasal dari China, Malaysia, Filipina, Amerika Utara, Timur Tengah, Eropah, Australia, Bangladesh dan India. Negara ini juga adalah yang kedua paling padat dengan penduduk di belakang Monaco.[21] Menurut statistik kerajaan, jumlah penduduk Singapura pada tahun 2009 adalah 4.99 juta, yang mana 3.2 juta adalah warganegara Singapura yang sebetulnya.[82] Majoriti penduduk Singapura terdiri daripada kaum Cina iaitu 74.2% jumlah penduduk, diikuti Melayu 13.4%, India 9.2%, dan Serani, Arab dan lain-lain 3.2%.

Pada tahun 2009, jumlah kadar kesuburan Singapura adalah 1.22 anak per wanita (1.08 Cina, 1.14 India, 1.82 Melayu)[83], ternyata jauh di bawah paras 2.10 yang diperlukan untuk menyilih penduduk secukupnya.[82][84] Pada tahun 2008, 39,826 bayi dilahirkan di sini, berbanding sekitar 37,600 pada tahun 2005, namun bilangan itu tidak memadai untuk menampung pertumbuhan penduduk. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan menggalakkan warga asing berhijrah ke Singapura. Keramaian penghijrah asing ini telah memastikan jumlah penduduk Singapura tidak merosot.[85]

Agama

Rencana utama: Agama di Singapura
Agama di Singapura
AgamaPeratus
Buddha
  
42.5%
Islam
  
29.9%
Tiada
  
15.8%
Kristian
  
15.6%
Taoisme
  
9.5%
Hindu
  
6%
Lain-lain
  
0.8%

Agama Buddha paling ramai penganutnya di Singapura, iaitu 42.5% [86] penduduk negara yang mengaku sebagai penganutnya dalam banci terkini. Biara dan pusat Dharma dari ketiga-tiga aliran Buddha (Theravada, Mahayana dan Vajrayana) mudah terdapat di Singapura. Kebanyakan penganut Buddha di Singapura berketurunan Cina dan mengikut aliran Mahayana..[87]

Pendidikan

Bangunan Pentadbiran Universiti Teknologi Nanyang, satu daripada lima universiti awam di Singapura

Sistem persekolahan Singapura terdiri daripada enam tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah, dan peringkat pengajian tinggi, tetapi tidak mengamalkan sistem persekolahan vernakular. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan semua sekolah di Singapura.

Para pelajar menghadiri sekolah rendah selama enam tahun mulai usia tujuh tahun, sehingga berakhir dengan peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE). Sekolah rendah mengajar empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda (Mandarin, Melayu dan Tamil). Semua mata pelajaran diajar dan diperiksa dalam bahasa Inggeris kecuali Bahasa Ibunda yang diajar dan diuji dalam bahasa masing-masing. Biarpun "Bahasa Ibunda" secara umumnya memaksudkan bahasa pertama, namun dalam sistem pendidikan Singapura, istilah tersebut memaksudkan bahasa kedua atau tambahan kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa pertamanya. Sekolah rendah awam tidak mengenakan yuran persekolahan, tetapi mungkin ada yuran tambahan nominal untuk kemudahan sekolah.[88]

Selepas sekolah rendah, pelajar biasanya menghadiri sekolah menengah selama empat hingga lima tahun. Terdapat pelbagai subjek yang ditawarkan di sekolah menengah, termasuk bahasa Inggeris, bahasa ibunda, geografi, sejarah, matematik asas, matematik tambahan, kimia, fizik, biologi, bahasa Perancis dan bahasa Jepun.

Seseorang pelajar lazimnya mengambil tujuh atau lapan mata pelajaran, tetapi tidak kurang juga yang mengambil lebih daripada lapan. Sekali lagi, semua mata pelajaran dalam sekolah menengah diajar dan diuji dalam bahasa Inggeris, kecuali bahasa ibunda iaitu dalam bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil. Pada akhir sekolah menengah, para pelajar mengambil peperiksaan Singapore-Cambridge GCE 'O' Level, yang mana keputusannya menentukan jenis laluan pendidikan pasca menengah yang boleh dikejar oleh mereka.[89] Yuran sekolah di kebanyakan sekolah menengah awam adalah nominal, iaitu sekitar S$5 selepas subsidi.[90] Namun, terdapat beberapa sekolah menengah swasta yang mengenakan yuran beratus dolar sebulan.

Bukan semua pelajar menghadiri sekolah menengah. Ramai juga yang menghadiri institusi pendidikan vokasional seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di mana mereka mengejar sijil vokasional. Ada juga yang menghadiri Sekolah Sukan Singapura atau sekolah yang ada “Integrated Programme”, di mana mereka memintasi peperiksaan Singapore-Cambridge GCE 'O' Level sepenuhnya.

Selepas peperiksaan O Level yang diambil sekitar usia 16 tahun, para pelajar biasanya berdaftar dalam Kolej Rendah (Junior College), Institut Terpusat (Centralised Institute) atau Politeknik. Program dalam Kolej Rendah atau Institut Terpusat berkesudahan dengan peperiksaan GCE A Level selepas dua atau tiga tahun.

Terdapat lima politeknik di Singapura, iaitu Politeknik Singapura, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Temasek, Politeknik Nanyang dan Politeknik Republik. Politeknik di Singapura ini tidak menawarkan ijazah, sebaliknya pelajar politeknik mengejar diploma dalam tempoh pelajaran tiga tahun.

Terdapat lima buah universiti awam di Singapura: Universiti Kebangsaan Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura dan Institut Teknologi Singapura. Kerajaan telah membina banyak lagi universiti awam pada puluhan tahun lalu dengan harapan menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada 30% setiap kohort.[91][92] Kursus politeknik dan universiti dikendali dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Banyak sekali universiti luar negara yang membuka kampus di Singapura. Antaranya ialah INSEAD, Sekolah Perniagaan Chicago, Universiti New York, Universiti Las Vegas, Technische Universität München, ESSEC dan lain-lain lagi.[92]

Bahasa

Lihat juga: Singlish
Bancian populasi tahun 2010
Bahasa% penutur bahasa pertama
Cina
  
49.9%
Inggeris
  
32.3%
Melayu
  
12.2%
Tamil
  
3.3%

Kerajaan Singapura mengiktiraf empat bahasa rasmi, iaitu Inggeris, Melayu, Cina (Mandarin), dan Tamil.[93]

Bahasa Inggeris adalah yang paling dominan di Singapura,[1][2] tidak seperti negara jirannya di Malaysia dan Indonesia yang dikuasai oleh bahasa Melayu.[94] Bahasa Inggeris di Singapura ada pelbagai ragamnya, baik bahasa Inggeris piawai mahupun bahasa kriol berasaskan Inggeris yang dikenali sebagai “Singlish”. Di kalangan rakyat Singapura, bahasa Inggeris paling ramai penuturnya, diikuti oleh bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil.[3] Ejaan dan perbendaharaan kata yang diterima guna berasaskan bahasa Inggeris British,[95] tetapi ada sedikit kelainan, seperti kegunaan pants (dari Amerika, “seluar panjang”) yang jauh mengatasi trousers (dari British).[96] Penggunaan bahasa Inggeris begitu meluas di Singapura selepas tahun 1965, sejak pelaksanaan bahasa itu sebagai bahasa perantara utama dalam sistem pendidikan Singapura.[97] Di sekolah, anak-anak diwajibkan mempelajari bahasa Inggeris dan satu daripada tiga bahasa rasmi lain sebagai bahasa ibunda.[98]

Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan atas sebab sejarah dan simbolik,[4] dan menjadi bahasa pertuturan utama masyarakat Melayu Singapura. Bahasa Melayu digunakan dalam lagu kebangsaan, "Majulah Singapura"[99], pencetakan duit syiling dan perintah tentera. Namun demikian, kira-kira 85% rakyat Singapura tidak berbahasa Melayu.[3]

Penggunaan Bahasa Mandarin juga meluas di Singapura, hasil kempen dan usaha awam tajaan kerajaan untuk menyokong penerimaan bahasa Mandarin sebagai ganti untuk loghat-loghat Cina yang lain.[100]

Bahasa Tamil pula dipertuturkan oleh kira-kira 60% masyarakat India Singapura, atau 5% seluruh rakyat Singapura. Bahasa-bahasa India yang lain seperti Malayalam, Telugu dan Hindi turut digunakan oleh segelintir penduduk India di Singapura.

Rujukan

WikiPedia: Singapura http://www.24hrart.org.au/pdf's/Utama_Every.pdf http://english.peopledaily.com.cn/90001/90780/9134... http://business.asiaone.com/Business/News/SME+Cent... http://www.channelnewsasia.com/stories/afp_asiapac... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporebu... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/singaporelo... http://www.channelnewsasia.com/stories/specialrepo...