Suar_suria
Suar_suria

Suar_suria

Suar suria adalah ledakan besar dalam atmosfera Matahari yang boleh melepaskan tenaga sebanyak 6 × 1025 joule[1](kira-kira satu perenam jumlah keluaran tenaga Matahari sesaat). Istilah ini juga memaksudkan fenomena yang seumpamanya di bintang-bintang lain, tetapi lebih tepat dikenali sebagai suar najam.Suar suria mempengaruhi seluruh lapisan atmosfera suria (fotosfera, korona, dan kromosfera), memanaskan plasma sampai suhu berpuluh juta kelvin serta memecutkan elektron, proton dan ion yang lebih berat sehingga menandingi kelajuan cahaya. Suar suria menghasilkan sinaran merentas spektrum elektromagnet di semua jarak gelombang, baik gelombang radio mahupun sinar gama. Kebanyakan suar berlaku di kawasan-kawasan aktif sekitar tompok matahari, di mana medan magent yang hebat menembusi fotosfera untuk menyambungkan korona dengan pedalaman matahari. Suar dikuasakan oleh pelepasan mendadak (kira-kira beberapa minit) tenaga magnet yang disimpan dalam korona. Suar suria yang berkuasa luar biasa boleh mencetuskan lentingan jisim korona.Sinar X dan sinaran ultraungu yang dipancarkan oleh suar suria boleh menjejaskan ionosfera Bumi dan mengganggu komunikasi radio jarak jauh. Pancaran terus radio pada jarak gelombang berdesimeter boleh mengganggu operasi radar dan peranti lain yang beroperasi pada frekuensi-frekuensi ini.Suar suria mula-mula diperhatikan di Matahari oleh Richard Christopher Carrington dan Richard Hodgson secara berasingan pada tahun 1859, sebagai pencerahan tersetempat di kawasan-kawasan kecil yang kelihatan dalam sekelompok tompok matahari. Suar najam turut diperhatikan di beberapa bintang lain.Kekerapan berlakunya suar suria adalah berbeza-beza, iaitu dari berkali-kali sehari apabila Matahari agak "aktif" atau kurang sekali seminggu apabila Matahari "pendam". Suar besar kurang kerap berlaku berbanding suar kecil. Kegiatan suria berubah-ubah dalam setiap kitaran 11 tahun (kitaran suria). Pada kemuncak kitaran suria, Matahari selalunya paling banyak bertompok, maka suar suria paling menjadi-jadi.