Prasarana Subang_Jaya

Setelah sekian lama, Subang Jaya berjaya dibangunkan sebagai satu komuniti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang baik. Dalam perbandaran ini terdapat banyak sekolah, kolej, hospital Pusat Perubatan Subang Jaya, tempat ibadat dan pusat komersial. Kompleks membeli-belah seperti Subang Parade dan ÆON BiG menjadi tumpuan utama pembeli tempatan. Di USJ pula, The Summit, Mydin dan Giant turut disediakan pusat membeli-belah alternatif kepada penduduk UEP Subang Jaya.

Subang Jaya dihubungkan erat dengan bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam serta Bandar Sunway dan Klang melalui serangkaian lebuh raya, iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Lembah Klang Baru, Lebuhraya Pantai Baru, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah, dan Lebuhraya Damansara-Puchong. Subang Jaya juga dihubungkan oleh KTM Komuter. Oleh sebab pencapaian yang tinggi, kemudahan yang terbanyak dan lokasi yang strategik, permintaan untuk hartanah di Subang Jaya meningkat, mengakibatkan kenaikan harga.

Subang Jaya juga dikenali sebagai kawasan institusi pengajian tinggi, di mana terletaknya kolej swasta yang masyhur seperti Kolej Tayor's, Kolej Inti, Kolej Metropolitan, Universiti Monash, Kolej Segi serta Kolej Universiti Sunway. Ini merupakan punca utama perumahan di kawasan itu, terutamanya di SS15, dijadikan penginapan bagi para penuntut. Pejabat-pejabat yang menawarkan perkhidmatan penuntut juga didirikan di situ.

Pada Mei 2007, terdapat satu cadangan untuk meluaskan liputan landasan LRT ke kawasan Subang Jaya dengan menyambungkan Aliran Kelana Jaya ke kawasan-kawasan stesen KTM Komuter Subang Jaya, SS14, SS15, SS16, Bandar Sunway, USJ 1 dan USJ 8 sebagai peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.[1]