Suku_Suluk
Suku_Suluk

Suku_Suluk

Kaum Suluk atau Tausūg berasal daripada Kepulauan Sulu dan jolo sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan Bahasa Tausug atau dengan nama lain lebih tepat lagi Bahasa Sūg sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti ialah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budaya yang unik dan tersendiri. Antara contoh yang popular ialah pakaian tradisionalnya iaitu kuput (kupot), sablay, samrah dan batawi.Masyarakat Malaysia kurang mengenali siapa sebenarnya suku kaum Suluk yang terdapat di Sabah itu. Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk. Sebaliknya, mereka menggelar diri mereka Tausug yang secara harfiahnya membawa maksud "Orang dari Sulu". Suluk di Negeri Sabah tertumpu di kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kudat dan Kota Kinabalu. Perkampungan awal orang Suluk yang masih boleh dilihat sehingga hari ini ialah Pulau Tambisan di mana masyarakat Suluk di sana dominan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Namun, bahasa seharian mereka ialah bahasa Suluk yang bukan sahaja dituturkan oleh penduduk kampung keturunan Sulu,k malah turut dituturkan dengan fasih oleh suku etnik yang lain seperti Brunei, Kagayan, Bugis, Jawa, Cina dan Arab. Pulau Tambisan telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber di Negeri Sabah. Antaranya Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, YB. Senator Datuk Hajjah Armani Haji Mahiruddin, Mantan Timbalan Speaker Dewan Negara Malaysia dan Allahyarham Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan (Tawau). Menurut cerita lisan, Almarhum Sultan Jalaluddin Pablo adalah antara tokoh yang membuka perkampungan di Pulau Tambisan bersama-sama dengan ulama Arab. Kaum Suluk atau Tausūg ialah majoriti di Kepulauan Sulu dan bahasanya iaitu Bahasa Sūg ialah bahasa perantara atau lingua franca sebelum era kesultanannya lagi hingga kini. Kaum Suluk atau Tausug berasal daripada rumpun Melayu-Polinesia (Austronesia) sebagai mana masyarakat Nusantara di sekitarnya. Bahasa Sug yang dituturi mereka adalah mirip bahasa Melayu lama bercampur bahasa Arab dan bahasa etnik lain di sekitar Mindanao. Mengikut sejarah, bahasa asal Suluk sebenarnya adalah daripada bahasa asal Orang Tagimaha (Taguima dari Basilan).Mengikut sumber daripada Salsilah Sulu yang dicatat oleh pencatat sejarah Najeeb Saleeby dalam bukunya The History Of Sulu (Manila: 1908), suku kaum Tausug ini dan bahasanya berasal daripada beberapa etnik yang bergabung iaitu Buranun, Tagimaha, Baklaya, Orang Dampuan dan Orang Banjar. Suku kaum Buranun atau Bud Anun yang bererti orang bukit ialah salah satu subetnik orang Dayak yang mendiami Kepulauan Sulu. Suku kaum Buranun telah di-Islamkan oleh Sharifful Hashim dan orang-orang Bajau yang mengiringi Shariful Hashim dari Johor dan orang-orang Taguimaha (nenek moyang orang-orang Bajau Yakan) yang mengiringi Raja Baguinda dari Pulau Basilan. Mereka berhijrah ke Kepuluan Sulu sehingga terbentuk satu masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat Tausug.

Berkaitan