Sejarah Sulawesi

Menjelang 1400, sebilangan wilayah kerajaan pertanian telah muncul di bahagian barat lembah Cenrana, di pantai selatan, dan di pantai timur yang berhampiran dengan bandar Parepare dalam masa moden.[3]

Orang-orang Eropah pertama yang melawat pulau ini, yang mereka percaya adalah kepulauan kerana bentuknya yang lengkok itu, adalah pelaut Portugis pada tahun 1525 yang dihantar dari Maluku untuk mencari emas, kerana mereka mendengar bahawa pulau-pulau itu mempunyai reputasi sebagai pengeluar emas.[4] Belanda tiba dalam tahun 1605, dan dengan cepat diikuti oleh Inggeris yang kemudian menubuhkan sebuah logi di Makassar.[5] Pada tahun 1669, Laksamana Belanda Cornelis Speelman berhasil memaksa Sultan Hasanuddin dari Kesultanan Gowa untuk menandatangani Perjanjian Bongaya, yang menyerahkan kawalan perdagangan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda. Belanda telah dibantu menaklukan Gowa oleh Arung Palakka, pemimpin Kesultanan Bone. Belanda kemudian membina kubu di Ujung Pandang, mengusir pergi Inggeris, dan menjadi tuan serantau dan kerajaan yang dominan di Sulawesi bahagian selatan.

Pada tahun 1905, pulau Sulawesi telah seluruhnya menjadi bahagian daripada Hindia Timur Belanda, sehingga tiba masa pendudukan Jepun dalam Perang Dunia II. Selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Republik Indonesia, sekurang-kurangnya 4,000 orang di Sulawesi Selatan terbunuh oleh kempen Tentera Diraja Hindia Belanda (KNIL) di bawah arahan Kapten Raymond Westerling.[6] Berikutan pemindahan kedaulatan kerana Persidangan Meja Bulat Indonesia-Belanda pada bulan Disember 1949, Sulawesi menjadi sebahagian daripada negara persekutuan Republik Indonesia Syarikat, yang pada tahun 1950 diserap ke dalam negara kesatuan Republik Indonesia.[7]