Sungai_Kelambu

Kampung Sungai Kelambu adalah sebuah kampung yang terletak di pinggir Pekan Banting, Selangor. Nama Kampung Sungai Kelambu adalah berasal daripada nama sepohon kayu besar iaitu pohon Kelembau yang tumbuh di tepi sungai. Bermula dengan pembukaannya pada tahun 1945 oleh sekumpulan peneroka yang datang daripada kampung-kampung berdekatan, Sungai Kelambu telah mencapai pelbagai perubahan dan kemajuan dari segi infrastruktur, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan banyak lagi. Penduduk-penduduk kampung Sungai Kelambu hidup dengan harmoni dan aman damai di mana mereka menerapkan semangat kejiranan yang kuat serta saling tolong-menolong antara satu sama lain.Kampung Sungai Kelambu diterajui oleh seorang pemimpin pelapis dari generasi kedua dengan wawasannya untuk menuju ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih bermakna di alaf baru abad ke-21 ini. Beliau yang dimaksudkan ialah Encik Dimyati @ Timyati b. Saparman yang merupakan ketua kampung yang ketiga bagi Kampung Sungai Kelambu.Kampung Sungai Kelambu terletak di bawah kawasan Parlimen Sepang yang diwakili oleh YB. Dato’ Ir Mohd Zin b. Mohamed manakala Dewan Undangan Negeri(DUN) adalah di bawah Kawasan DUN Tanjung Sepat yang diwakili oleh YB Dato’ Dr. Hj. Karim b. Mansur. Kampung Sunagi Kelambu juga terletak di Daerah Kuala Langat iaitu di bawah pemantauan Tuan Asmawi bin Kasbi dan terletak di Mukim Tanjung Dua Belas(1) di mana Penghulu Mukim adalah Encik Abdul Aziz bin Kasim.Kampung Sungai Kelambu mempunyai visi yang tersendiri iaitu untuk melahirkan sebuah masyarakat yang cemerlang, beridentiti dan berdaya tahan dengan berorientasikan budaya masyarakat desa yang maju dan kolektif. Bagi merealisasikan visi tersebut beberapa misi kampung telah diwujudkan iaitu (1) Mewujudkan masyarakat sejahtera, cemerlang, beridentiti dan berdaya tahan. (2) Menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti dan terancang, dan (3) Mewujudkan sumber ekonomi mapan dan rangkaian kerja yang responsif kepada perubahan.