Sejarah Tampin

Tampin merupakan nama tempat dan juga daerah di Negeri Sembilan. Tampin diperintah oleh Tengku Besar Tampin bermula dengan Syed Shaaban bin Syed Ibrahim Al-Qadri pada tahun 1832. Pemerintah yang terakhir adalah Syed Idrus bin Syed Muhammad sejak tahun 1944.

Asal-usul nama Tampin adalah daripada bekas makanan yang dikenali sebagai tampin yang diperbuat daripada daun mengkuang. Makanan yang biasanya diisi di dalam bekas tersebut adalah dodol. Pada zaman dahulu, Tampin adalah pusat perdagangan dan perniagaan antara penduduk dari kawasan Rembau dan Gemencheh dengan penduduk dari Alor Gajah. Daerah Tampin terbahagi kepada 7 mukim dengan keluasan keseluruhan adalah 87,868.82 hektar.

Orang tua-tua menyebut orang yang mula-mula meneroka Tampin ialah sepasukan perompak laut seramai 70 orang yang diketuai oleh Panglima Hitam, suku Batu Hampar. Tempat yang bernama Keru dan Tebong di Tampin sekarang mula dibuka oleh seorang suku Mungkal yang datang dari Machap di Melaka. Tempat yang bernama Repah pula mula dibuka oleh orang suku Batu Tiga, tetapi cerita ini tidak mempunyai tarikh dan bukti yang nyata.

Pada 28 Januari 1832, Datuk Undang Rembau bernama Datuk Nganit telah membuat surat perjanjian dengan orang Inggeris di Melaka. Beliau telah menyerahkan Tampin kepada Syed Shaaban, menantu Raja Ali. Syed Shaaban telah mangkat di Keru Tampin pada tahun 1850.

Pada tahun 1878, Datuk Haji Sahil iaitu Undang Rembau yang ke-15 telah menghantar angkatan perangnya untuk menyerang Tampin yang diperintah oleh Tengku Besar Tampin yang kedua, Syed Abdul Hamid bin Syed Shaaban. Angkatan perang Tengku Besar Tampin yang dipimpin oleh panglimanya yang bernama Memperang Khalifah telah melawan serangan dari Rembau dan berlakulah pertempuran di antara pihak Rembau dan pihak Tampin di tempat yang bernama Legong, menyebabkan banyak nyawa terkorban dan harta benda antara kedua-dua belah pihak. Akhirnya Rembau tidak dapat mengalahkan Tampin dan terpaksa berundur.[5]

Majlis Daerah Tampin telah ditubuhkan pada 1 Julai 1980, hasil daripada penyusunan semula pentadbiran melalui peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Lembaga Bandaran Tampin. Luas kawasan ialah 50 batu persegi atau 12,949 hektar.[6]