Tekanan_wap

Tekanan wap atau tekanan wap seimbang adalah tekanan yang dikenakan oleh wap yang berada dalam keadaan keseimbangan termodinamik dan fasa-fasanya terletak dalam sistem tertutup. Semua cecair dan pepejal mempunyai kecenderungan untuk memeruap/menyejat menjadi bentuk gas, manakala semua gas mempunyai kecenderungan untuk memeluwap/memejalwap menjadi cecair/pepejal.Tekanan wap boleh menjadi petunjuk kepada kadar pengewapan sesuatu cecair. Ia menggambarkan kecenderungan zarah-zarah untuk terlepas daripada cecair (atau pepejal). Sesuatu bahan yang mempunyai tekanan wap yang tinggi pada suhu biasa/bilik dinamakan bahan mudah meruap. Tekanan wap sesuatu bahan meningkat pada kadar yang tidak linear dengan suhu, dan ini dinyatakan dalam hubungan Clasius-Clapeyron. Takat didih sesuatu cecair pada tekanan atmosfera (juga dinamakan takat didih biasa) ialah suhu apabila tekanan wap cecair tersebut menyamai tekanan atmosfera ambien. Apabila suhu semakin meningkat, tekanan wap akan mengatasi tekanan atmosfera dan ini membolehkan cecair terangkat untuk membentuk buih-buih dalam bahan tersebut.Tekanan yang lagi tinggi (dan juga suhu yang lebih tinggi) diperlukan untuk membentuk buih-buih pada dasar cecair, ini adalah kerana semakin dalam sesuatu cecair, semakin tinggi tekanan yang dikenakan oleh cecair.Tekanan wap untuk setiap satu komponen dalam sesuatu campuran menyumbang kepada keseluruhan tekanan dalam sistem tersebut, dan ini dinamakan tekanan wap separa. Contohnya, udara pada aras laut yang tepu dengan wap air pada suhu 20 °C mempunyai tekanan wap separa air sebanyak 24 mbar, tekanan wap separa nitrogen sebanyak 780 mbar, tekanan wap separa oksigen 210 mbar dan tekanan wap separa argon 9 mbar.

Berkaitan