Tempayan
Tempayan

Tempayan

Tempayan merujuk kepada sejenis bekas yang diperbuat daripada tembikar. Bekas ini bermulut luas dan terdapat dalam pelbagai saiz, kekadang dengan pelbagai ukiran tetapi biasanya tanpa ukiran. Selain itu, terdapat juga tempayan yang mempunyai ukiran timbul pada bahagian sisinya. Tempayan ini berasal dari negeri China, dan digunakan bagi menyimpan barangan, makanan, air dan sebagainya. Apabila barangan yang di dalamnya habis dijual, bekas ini turut dijual. Tempayan mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya penggunaan untuk membuat ikan pekasam, menyimpan air basuh kaki, memeram air tapai, dan malah digunakan bagi menyimpan mayat di kalangan orang pribumi Borneo. Di kampung-kampung sekitar tahun 1960-an dan sebelumnya, orang Melayu meletakkan tempayan ini di kaki tangga depan untuk menyimpan air bagi membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Selain itu, tempayan juga digunakan sebagai tempat membakar roti tempayan. Suatu waktu dahulu, orang Kelantan berperahu sarat dengan tempayan berisi budu untuk dijual menyusuri sungai.