Sejarah Thailand

Rencana utama: Sejarah Thailand

Terdapat bukti bahawa Thailand diduduki manusia sejak 40,000 tahun yang lalu dengan artifak batu yang bertarikhkan zaman ini di Perteduhan Batu Tham Lod di Mae Hong Son. Serupa dengan rantau-rantau lain di Asia Tenggara, Thailand amat dipengaruhi oleh budaya dan agama India, bermula dengan Kerajaan Funan sekitar abad pertama Masihi hinggalah Empayar Khmer.[8] Thailand pada hari-hari terawalnya tertakluk kepada pemerintahan Empayar Khmer yang kukuh akar umbi Hindunya, sehingga pengaruhnya pada Thailand kekal hingga hari ini.

Tinggalan Wat Chaiwatthanaram di Ayutthaya

Pengaruh India ke atas budaya Thai sedikit sebanyak didatangkan daripada hubungan langsung dengan penetap India, tetapi terutama sekali dibawakan melalui kerajaan-kerajaan keindiaan Dvaravati, Sriwijaya, dan Kemboja.[9] E.A. Voretzsch percaya bahawa agama Buddha mengalir masuk ke dalam Siam dari India sekian lama sejak zaman Maharaja India Ashoka dari Empayar Maurya hingga alaf pertama Masihi. Kemudian Thailand dipengaruhi oleh dinasti Pallava dari India selatan dan Empayar Gupta dari India utara.

Menurut George Cœdès, "orang Thai mula-mula memasuki sejarah India Jauh pada abad ke-11 dengan disebutnya hamba abdi atau tawanan perang Syam" dalam epigrafi Champa, dan "pada abad ke-12, timbulan bes Angkor Wat" di mana "seangkatan pahlawan" diperikan sebagai Syam. Tambahan pula, "kaum Mongol selepas menawan Ta-li pada 7 Januari 1253 dan pendamaian Yunnan pada 1257, bukannya tidak menyenangi pembentukan serangkai negeri-negeri Thai kecil untuk menggantikan kerajaan-kerajaan keindiaan." Lembangan Menam asalnya diduduki oleh suku Mon, menjadi lokasi Dvaravati pada abad ke-7, diikuti Empayar Khmer pada abad ke-11. Sejarah Yuan menyebut akan sebuah duta dari kerajaan Sukhothai pada 1282. Pada 1287, tiga orang penghulu Thai iaitu Mangrai, Ngam Muang dan Ram Khamhaeng membentuk sebuah "ikatan persahabatan yang utuh".[4]

Setelah kejatuhan Empayar Khmer pada abad ke-13, di situ mekarnya pelbagai negeri yang ditubuhkan oleh kaum-kaum Tai, Mon, Khmer, Cham dan Etnik Melayu, seperti yang dilihat melalui berbilang tapak kaji purba dan artifak yang bertaburan di seluruh rupa bumi Siam. Namun sebelum abad ke-12, Kerajaan Sukhothai beragama Buddha dikira sebagai negeri Thai atau Siam pertama yang ditubuhkan pada tahun 1238.

Ekoran kemerosotan Empayar Khmer pada abad-abad ke-13 hingga ke-15, bangkitlah kerajaan-kerajaan Sukhothai, Lanna, dan Lan Xang (kini Laos). Namun seabad kemudian, kuasa Sukhothai ditelan oleh kerajaan baharu Ayutthaya yang ditubuhkan pada pertengahan abad ke-14 di hilir Menam atau Sungai Chao Phraya.

Duta Siam menyampaikan warkah kepada Paus Innocent XI, 1688

Peluasan Ayutthaya bertengahkan sepanjang Menam sementara kawasan lembah utara diperintah oleh Kerajaan Lanna dan lain-lain negeri kota Tai kecil-kecilan. Pada 1431, Khmer meninggalkan Angkor selepas dijarah oleh angkatan Ayutthaya.[10] Ketika ini Thailand menjalin hubungan perdagangan dengan negara jiran, baik China, India, Parsi mahupun Arab. Ayutthaya menjadi salah sebuah pusat perdagangan paling rancak di Asia. Pedagang Eropah tiba pada awal abad ke-16, bermula dengan misi adipati Portugis Afonso de Albuquerque pada 1511, diikuti oleh Perancis, Belanda dan Inggeris. Perang Burma–Siam (1765–1767) menyebabkan Ayutthaya rentung dan dijarah oleh Raja Hsinbyushin Konbaung.

Setelah jatuhnya Ayutthaya kepada Burma pada 1767, Taksin memindahkan ibu kota ke Thonburi selama kira-kira 15 tahun. Zaman Rattanakosin dalam sejarah Thai bermula pada 1782 dengan penubuhan Bangkok sebagai ibu kota dinasti Chakri di bawah Raja Rama I. Menurut Encyclopædia Britannica, "Sesuku hingga sepertiga penduduk sesetengah kawasan Thailand dan Burma merupakan hamba abdi dalam abad-abad yang ke-17 hingga yang ke-19."[11][12]

Abad ke-20

Penyerahan wilayah Siam kepada British dan Perancis mengikut tahun

Biarpun didesak oleh Eropah, Thailand adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh sebarang kuasa Barat.[13] Ia terkenal dengan gelarannya sebagai "Gajah Putih" Ini dianggap berkat daripada pemerintah cekap berturut-turut dalam empat abad yang lalu yang memanfaatkan persaingan antara Empayar British dan Perancis. Pada 1896, British dan Perancis menjamin lembah Chao Phraya sebagai negara penampan.[14] Apapun, pengaruh Barat menyebabkan banyak pembaharuan dan konsesi pada abad ke-19, terutama sekali penyerahan sebuah wilayah nuangan besar di timur Mekong kepada Perancis, serta penyerapan kawasan kaum Shan dan Karen serta Semenanjung Melayu secara beransur-ansur oleh British.

Dalam konsesi yang ditawarkan oleh dinasti Chakri kepada Empayar British untuk membalas jasa sokongan mereka, Siam menyerahkan empat buah wilayah etnik Melayu kepada British dalam Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Empat buah negeri inilah (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis) yang menjadi empat buah negeri utara Malaysia.

Pada 1917, Siam menyertai Pihak Bersekutu Perang Dunia Pertama dan dibilang sebagai antara negara yang berjaya di perang tersebut. Revolusi tanpa tumpah darah yang berlangsung pada 1932 dijalankan oleh gabungan pegawai tentera dan awam Khana Ratsadon menyebabkan peralihan kuasa yang mana Raja Rama VII terpaksa mengurniakan perlembagaan pertama kepada rakyat Siam, dan oleh itu menamatkan pemerintahan raja mutlak berkurun-kurun.

Pada 1939, nama negara "Siam" ditukarkan kepada "Thailand".

Perang Dunia Kedua

Peta Thailand ketika Perang Dunia Kedua (1941-1945)

Perang Perancis-Thai

Selepas Perancis ditakluki oleh Jerman Nazi pada Jun 1940, ramai di kalangan pihak Thai melihat peluang keemasan untuk menuntut kembali wilayah yang diserahkan kepada Perancis ketika zaman Raja Rama V. Kempen publisiti pimpinan nasionalis berlangsung di Bangkok pada 8 Oktober 1940. Pemerintah Thai berusul bahawa seandainya pihak Indocina Perancis tidak mampu mempertahankan diri, maka ia harus menyerahkan semula wilayah-wilayah yang diambil dari Thailand. Usul ini ditentang keras oleh Perancis yang kemudiannya mengerahkan tentera ke sempadan Thai di Aranyaprathet. Perdana Menteri Thai ketika itu, Plaek Phibunsongkhram menganggap hal itu sebagai tindakan perang. Biarpun tentera darat dan udaranya kurang daripada Perancis, namun Thailand memenangi kebanyakan pertempuran. Akan tetapi pihak Jepun risau bahawa kemaraan Thai akan menghambat mereka kerana Jepun dibenarkan untuk menduduki Indocina Perancis Utara. Oleh itu Jepun masuk campur untuk dalam konflik. Gencatan senjata ditandatangani pada 9 Mei 1941 dengan penyerahan sesetengah wilayah Indocina Perancis kepada Thailand.

Bergabung dengan Paksi

Pada 7 Disember 1941, Japan menuntut hak untuk mengerahkan tentera merentasi Thailand ke sempadan Malaya. Serangan Jepun dilancarkan pada pagi 8 Disember selaras dengan serangan-serangan di seluruh Asia dan melawan Tentera Diraja Thai selama enam hingga lapan jam sebelum Phibunsongkhram memerintahkan perletakan senjata. Sejurus selepas itu, Jepun diberi laluan, dan pada 21 Disember 1941, Thailand dan Jepun menandatangani perikatan tentera dengan protokol rahsia yang mana Tokyo bersetuju untuk menolong Thailand mengambil kembali wilayah yang terserah kepada British dan Perancis.

Susulan itu, Thailand mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat dan United Kingdom pada 25 Januari 1942 dan "menolong" Jepun dalam perang menentang Pihak Berikat sambil memelihara sebuah Gerakan Thai Bebas yang anti-Jepun. Kira-kira 200,000 orang buruh Asia (rata-ratanya romusha) dan 60,000 orang tawanan perang dari Pihak Berikat mengerjakan Landasan Kereta Api Burma di atas tanah Thai yang umum dikenali sebagai "Death Railway".[15]

Sejarah moden

Sejarah Thailand dari 1932 hingga 1973 dikuasai oleh kediktatoran tentera yang banyak menguasai tempoh tersebut. Tokoh-tokoh utamanya merupakan diktator Luang Phibunsongkhram (atau lebih dikenali sebagai Phibun) yang berpakat dengan Jepun ketika Perang Dunia Kedua, dan ahli politik sivil Pridi Phanomyong yang menubuhkan Universiti Thammasat dan menjadi Perdana Menteri sejenak selepas perang.

Selepas jatuhnya Pridi disusuli pula diktator tentera berturut-turut — Phibun sekali lagi, Sarit Thanarat dan Thanom Kittikachorn — apabila pemerintahan autoritarian tradisional bertembung dengan kebangkitan pemodenan dan pembaratan di bawah pengaruh Amerika Syarikat. Tamat tempohnya ditandai oleh peletakan jawatan Thanom ekoran pembunuhan beramai-ramai terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi yang diketuai oleh siswa-siswi Thammasat. Thanom tersalah anggap situasi itu sebagai rampasan kuasa lalu melarikan diri, meninggalkan negaranya hilang kemudi. Maka Raja Bhumibol (Rama IX) menitahkan agar canselor Universiti Thammasat Sanya Dharmasakti dilantik sebagai Perdana Menteri.

Thailand menolong Amerika Syarikat dan Vietnam Selatan dalam Perang Vietnam pada 1965–1971. Tentera Udara AS menempatkan jet pejuang F-4 Phantom di Pangkalan Udara Udon dan Ubon dan juga B-52 di U-Tapao. Tentera Thai juga menyaksikan pertempuran sengit dalam perang sulit di Laos yang berlaku dari 1964 hingga 1972.

Pada 1973 berlakunya pemberontakan ramai-ramai yang menamatkan kediktatoran tentera pimpinan antikomunis Thanom Kittikachorn, serta mengubah rupa sistem politik Thai. Terutama sekali, ia menyerlahkan kebangkitan pengaruh siswa-siswi Thai dalam politik.

Sepanjang 1980-an, Thailand diperintah oleh Perdana Menteri Prem Tinsulanonda yang memulihkan politik berparlimen. Selepas itu negara Thai kekal berdemokrasi kecuali pemerintahan tentera sekejap dari 1991 hingga 1992. Parti populis Thai Rak Thai pimpinan Thaksin Shinawatra memerintah dari 2001 hingga 2006. Pada 2006, protes beramai-ramai mass terhadap Thai Rak Thai atas dakwaan rasuah mencetuskan rampasan kuasa oleh tentera pada September. Pilihan raya umum Disember 2007 memulihkan kerajaan sivil, tetapi pada Mei 2014 satu lagi rampasan kuasa tentera mengembalikan kuasa mutlak kepada tentera.

Rujukan

WikiPedia: Thailand http://asiapacific.anu.edu.au/newmandala/2014/05/1... http://rspas.anu.edu.au/pah/human_rights/papers/20... http://www.ctv.ca/servlet/ArticleNews/story/CTVNew... http://asian-efl-journal.com/quarterly-journal/201... http://www.asiasentinel.com/politics/thailands-mas... http://www.bangkokpost.com/learning/learning-from-... http://www.bangkokpost.com/print/421966/ http://www.britannica.com/EBchecked/topic/589625/T... http://www.britannica.com/blackhistory/article-241... http://www.foxnews.com/story/0,2933,214562,00.html