The_Raven
The_Raven

The_Raven

"The Raven" ialah puisi naratif yang ditulis oleh penulis Amerika, Edgar Allan Poe. Ia pertama kali diterbit pada Januari 1845 dan terkenal disebabkan bahasanya yang digayakan, kemerduannya, serta suasananya yang berunsur kesaktian (supernatural). Ia mengisahkan seorang lelaki yang patah hati yang dikunjungi oleh seekor gagak (raven) bercakap dan perlahan-lahan menjadi hilang akal. Lelaki ini selalunya digambarkan sebagai seorang pelajar dan meratapi kehilangan kekasihnya, Lenore. Gagak tersebut, sedang ia bertenggek di atas ukiran kepala Pallas, menghasut perasaan sedih lelaki itu melalui pengulangan kata "Nevermore" ("tidak akan lagi"). Puisi ini menggunakan beberapa unsur klasik dan budaya rakyat.Menurut Poe dalam karangan susulannya pada tahun 1846 berjudul "The Philosophy of Composition", beliau telah menulis puisi ini dengan kaedah yang logik dan sistematik demi menghasilkan satu puisi yang mampu menarik cita rasa kritis dan popular. Puisi ini sedikit sebanyak diilhamkan daripada gagak bercakap dalam novel nukilan Charles Dickens, Barnaby Rudge: A Tale of the Riots of 'Eighty. Poe menggunakan meter dan rentak kompleks puisi "Lady Geraldine's Courtship" karya Elizabeth Barrett, serta menggunakan rima dalaman dan aliterasi dalam keseluruhan puisi ini."The Raven" pertama kali diatributkan dalam cetakan kepada Poe dalam akhbar New York Evening Mirror pada 29 Januari 1845. Meskipun penerbitannya tidak memberikan keuntungan yang besar kepada Poe, beliau menjadi terkenal dalam jangka hayatnya kesan daripada puisi ini. Tidak lama selepas itu, puisi ini dicetak semula, diparodi, diilustrasi dan menerima kritikan bercampur aduk. Namun, ia kekal menjadi salah satu puisi yang paling terkenal pernah ditulis.